Showing posts with label adab. Show all posts
Showing posts with label adab. Show all posts

28 February 2009

Kefahaman Agama



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan berbeza IQ, latarbelakang, perangai. Oleh itu, untuk memahami agama sepertimana yang difahami oleh Rasulullah s.a.w. dan para awliya' adalah suatu cabaran hebat yang perlukan masa dan rahmat Allah Ta'ala.

Semakin dalam kita mengaji agama semakin banyak yang kita tahu dan kadang-kala semakin memeningkan kepala kita. Pergi masjid A, ustaz A cakap "Siapa sebut La ilaha illa Allah, nescaya masuk syurga". Mudahnya untuk berjaya di alam akhirat. 

Tapi bila pergi masjid B, ustaz B kata "Siapa yang ada takabbur walau sebesar zarah (atom) dalam hatinya, nescaya masuk neraka". Masya Allah, sukarnya nak berjaya.

Makin lama mengaji agama, makin confuse. Nasihat yang manakah perlu kita ikuti?. 

Sebenarnya, nak fahami agama perlu sungguh-sungguh munajat, minta pada Tuhan. Sungguh-sungguh perlu disertai dengan membanyakkan bacaan selawat. Hanya dengan berselawat, semoga Tuhan memberi rahmat kepada kita dengan mengurniakan kefahaman yang betul. Kefahaman yang menjadi ubat hati, ubat penyakit malas, riyak, sombong, ego, hasad, jahil, bahlul, penipu, tidak amanah, buang masa, membanyakkan perkataan dan perbuatan yang sia-sia dll.

Tuhan berfirman dalam Hadith Qudsi "Aku tidak mengumpulkan ke atas hambaKu 2 ketakutan dan 2 keamanan. Siapa yang takutkanKu di dunia, nescaya Aku berikan keamanan baginya di akhirat. Siapa yang rasa aman terhadapKu di dunia, nescaya Aku berikannya balasan ketakutan di hari Kiamat".

Punca manusia hari ini jadi jahat ialah sebab mereka tidak kenal Tuhan yang Maha Pengazab, Maha Takabbur, Maha Menggagahi. Manusia yang jahil sentiasa tenggelam dalam tipu daya syaitan dengan mengandaikan lepas buat maksiat, Tuhan akan ampunkan dosanya (Tuhan Maha Pengampun, Maha Pemaaf). Begitulah setiap kali membuat dosa hinggalah mati - Nauzubillah. Tujuan andaian itu adalah suapaya mereka aman berbuat maksiat dan dapat menikmati hidup dengan bersenang-senang, bergembira, berhibur, berfoya-foya, berlawak jenaka, ceria dll.

Ini bertentangan dengan perasaan Rasulullah s.a.w. yang "Jika kamu tahu apa yang aku tahu tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis".

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

17 February 2009

ADAB ZIARAH KUBUR


(gambar: makam Tok Kenali di Kota Bharu)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Suatu kisah

Semasa menziarahi makam rijalul ghaib, seorang tuan guru telah diberi teguran terhadap pemikiran beliau pada masa itu. Pada mulanya beliau tefikir "Buat apa aku nak minta daripada dia (Tok Kenali), dia pun dah mati, bukan boleh buat apa-apa pun lagi." Tiba-tiba beliau terdengar suara rijalul ghaib yang berkata: "Bukan macam itu, apabila kita datang menziarahi makam orang-orang soleh, kita hadiahkan bacaan Al-Quran kepada mereka, kemudian bacalah doa sebegini "Ya, Allah, kau anugerahkanlah kepada hambaMu ini keimanan, ketakwaan dan kesolehan sebagaimana keimanan, ketakwaan dan kesolehan yang telah Kau anugerahkan kepada mereka." (Foot note: Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. )

 Rijalul ghaib telah mengajar beliau, iaitu adab menziarahi makam para solehin dan yang paling penting ialah supaya kita jangan syirik dengan makam-makam orang soleh sebagaimana yang dilakukan oleh manusia-manusia yang jahil dan taksub dengan wali-wali Allah. Beliau sangat tidak menyenangi sikap sebahagian kaum muslimin yang keterlaluan dalam menziarahi makam para aulia' sehingga membuat amalan bidaah dan syirik.

"Mereka ini hanya mencari para aulia' yang sudah meninggal dunia tapi tidak mahu mencari para aulia’ yang masih hidup, seolah-olah mereka mahu aulia' yang sudah meninggal itu hidup semula dan membimbing mereka, kalau begitu lebih baik minta Rasulullah SAW hidup semula untuk membimbing kita, ini lebih afdhol!" Ucapan ini  merupakan salah satu peringatan yang sering dinyatakan oleh tuan guru ini dalam syarahan-syarahan beliau.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.