Showing posts with label tauhid. Show all posts
Showing posts with label tauhid. Show all posts

02 February 2010

Ta'aluk Sifat Qudrat & Iradat


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Allah Ta'ala telah sempurna zatNya. ZatNya yang Maha Esa tidak perlukan tambahan, pengurangan, keturunan ataupun kematian.

Berbanding manusia yang tidak sempurna kejadiannya = ada kuat (tetapi tidak sekuat badak sumbu), ada lemah, ada bijak (tetapi tidak boleh mengira rambut sendiri), perlukan keturunan (kerana perlukan kasih sayang), akan mati (jika umur 150 tahun akan terasa sunyi kerana rakan-rakan telah tiada).

Ta'aluk ialah kerja sifat/ bidang kerja sifat/ halatuju/ liputan.

Bermakna Ta'aluk Sifat Qudrat & Iradat ialah liputan kuasa dan kehendak Allah Ta'ala adalah ke atas apa. Bermakna Allah Ta'ala ada kuasa, dan kuasa Allah akan Dia gunakan untuk perkara apa. Ini yang akan diterangkan sebentar lagi.

Disini Ta'aluk Sifat Qudrat Allah Ta'ala adalah hanya ke atas "perkara yang harus" sahaja iaitu perkara mumkin (yg harus/boleh jadi ada atau boleh jadi tiada).

Tidak kepada perkara mustahil iaitu perkara yang mustahil telah ada / akan ada contohnya anak tuhan, ibubapa tuhan, tuhan lain. Bermakna mustahil Allah Ta'ala akan menggunakan kuasaNya untuk menjadikan anaknya, ibunya, bapanya, tuhan lain. Kerana perkara mustahil ini tidak dapat diterima akal yang waras akan kewujudannya. Takkanlah Tuhan nak jadikan perkara yg "mustahil ada".

Pegangan agama Kristian adalah sesat dan menyeleweng kerana menganggap tuhan berkongsi kuasa dengan anak tuhan (jesus) dan ruh qudus (jibril).

Begitu jugalah tidak ia berta'aluk kepada perkara "wajib ada" iaitu ZatNya Yang Maha Esa. Takkanlah Tuhan nak jadikan diriNya sendiri sedangkan diriNya telah sempurna sejak azali dan tidak perlu penambahan / pengurangan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

27 September 2009

BASIR - MELIHAT


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Allah Ta'ala Maha Melihat setiap segala sesuatu yg terjadi di alam ini. Dia melihat tanpa ada sekatan, sempadan, tidak terhijab dengan jauh atau dekat, besar atau kecil, gelap atau terang, dalam bilik yg tertutup atau ditengah padang yg terbuka.

Tuhan melihat tanpa menggunakan alat penglihatan seperti mata, lensa kamera atau mikroskop. Semua alat ini terbatas penglihatannya. Jika Tuhan perlu kepada mata, maka jadilah Ia lemah seperti makhluk.

Sudah tentulah Tuhan Maha Melihat semut hitam yang berada di atas batu hitam ditengah malam yg gelap gelita (tanpa cahaya) dicelah timbunan batu. Juga Maha Melihat seorang manusia yang dizalimi ditengah lautan padang pasir dan Maha Melihat seekor anjing yang sedang dibantu mendapatkan air oleh seorang pelacur ditengah hari yg terik.

Kalau begitu kenapa Tuhan tidak membantu orang Islam yg sedang dizalimi di Bosnia, Palestin, Iraq dll atau membantu umat Islam Aceh yg dilanda Tsunami? Bukankah Tuhan yg sama juga yg menetapkan dan menggerakkan musibah tersebut ke atas umat Islam zaman ini. Ada Tuhan yang lain kah? Tidak ada....

Adab kita sebagai hambaNya, sentiasalah cari kesilapan dan kelemahan diri yg menyebabkan Tuhan berkehendak menetapkan sesuatu bala' dan musibah. Jika Tuhan memandang kita dengan rahmatNya, tentu Dia tidak akan biarkan kita dihina dan dizalimi oleh musuhNya.

Untuk menunjukkan tanda kebesaran dan kehebatan Tuhan, Dia menganugerahkan pandangan menggunakan mata hati bagi mereka yg telah terbuka hijab dimana ia adalah sangat tepat. Pun begitu para wali Allah masih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam tipudaya ("makar") dari Allah Ta'ala. Setiap apa yg dilihat tetap akan jadi rahsia yg hanya boleh diluahkan kepada sahabat terdekat yg amanah (dipercayai) memegang rahsia Allah.

Zaman ini kaum yahudi sering memasukkan kemahiran pandang tembus dinding dan alam ghaib kepada watak ciptaan mereka seperti yg ada pada watak superman dan hero-hero filem yg lain.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 August 2009

TAFSIR AL-QURAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Izinkan saya menjelaskan sedikit penerangan tentang Kalamullah.

Allah Ta'ala Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui telah berkata-kata kepada malaikat Jibril a.s. tanpa lafaz, tanpa suara dan tanpa jihhat (arah menghadap). Lalu difahami oleh Jibril erti segala kandungan Al-Quran (dengan izin Allah Ta'ala) dan diperintah oleh Allah Ta'ala untuk mengambil lafaznya dari Luh Mahfuz menerusi Malaikat Israfil a.s.. Setiap huruf di dalam Al-Quran di Luh Mahfuz sebesar Jabal Qaf. Dibawah setiap huruf itu terdapat beberapa pengertian diluar kemampuan makhluk mengetahuinya kecuali Allah Ta'ala sahaja. Lafaz Al-Quran tersebutlah yg turun kepada Rasulullah s.a.w.. Malaikat Jibril a.s. mengambilnya dari Luh Mahfuz dan direncanakan kepada malaikat Safarah perkataan demi perkataan agar boleh ditulis. Malaikat Safarah berada di Baitul Izzah (langit dunia). Penurunan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah adalah secara sekaligus.

Apabila Allah Ta'ala mahu menurunkan sesuatu daripada Al-Quran kepada Rasulullah s.a.w., Dia akan berfirman tanpa huruf, tanpa suara dan baginda akan faham KalamNya yang diturunkan mengikut kadar tertentu dan secara beransur-ansur hingga sempurna selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).

Demikianlah yang tercatit dalam Kitab Aqidatun najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad al-Fathani.

Ramai orang keliru tentang konsep Al-Quran sebagai sebahagian dari Kalamullah. Kalamullah beerti kata-kata (firman) Allah Ta'ala. Allah Ta'ala telah berkata-kata dan kata-kataNya telah dicatatkan di dalam kitab Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Ini dikategorikan sebagai kalam lafzi kerana ia dicatat, ada huruf, boleh dibaca oleh manusia.

Adapun kata-kata Allah Ta'ala yang didengar oleh Jibril a.s. di alam atas merupakan kalam Nafsi yang tiada huruf, tiada, lafaz, tiada bunyi dan tidak perlu menghadap mana-mana arah yang tidak terpisah dari zatNya.

Contoh mudah kalam lafzi; zaid bercakap lalu didengar oleh Ali. Ali menulis kata-kata Zaid didalam bukunya. Manakala kalam nafsi; kata-kata zaid yg hanya didengar & difahami oleh Ali yg mempunyai bunyi.

Kalam Nafsi inilah yang disifatkan Qadim oleh Imam Ahmad bin Hambal. Manakala ulama' Muktazilah menyangka Kalamullah hanya terhad kepada lafaz-lafaz yg dapat ditulis didalam mushaf Al-Quran (mushaf: kitab/buku). Jika diperincikan maksud memanglah mushaf Al-Quran adalah hadith (sesuatu yang baharu), yang baru dicetak ada dijual di kedai dan yang lama/ lusuh/ usang ada disimpan dirumah.

------tamat bahagian 1--------------------

Zaman Rasulullah s.a.w. para sahabat sangat berhati-hati dalam memahami makna Al-Quran. Mereka memahami Al-Quran menggunakan mata hati (kasyaf). Oleh kerana itu mereka jarang bertanyakan maksud ayat-ayat Al-Quran kecuali ayat-ayat yang penting yang perlukan penjelasan lanjut dari utusan Allah. Ini kerana bagi mereka setiap ayat Al-Quran hanya difahami dengan tepat maksudnya oleh utusan Allah iaitu Rasulullah s.a.w. yang rapat hubungannya dengan Allah.

Zaman silih berganti, kewafatan Rasullullah s.a.w. membuatkan para sahabat hilang sumber penjelasan. Lalu sesetengah mereka menjadikan Ibnu Abbas dan Kibar Sahabat (sahabat besar) sebagai rujukan. Penjelasan yang sedikit dan terhad dari mereka ini diriwayatkan dan dikumpulkan didalam Tafsir Thobari.

Zaman silih berganti, ulama semakin ramai. Kefahaman mereka terhadap isikandung Al-Quran juga berbeza (khilaf). lalu disinlah letaknya peranan Wali Allah yang diberi ilmu kasyaf (terbuka hijab) untuk memahami Al-Quran mengikut kefahaman yang difahami oleh Rasulullah s.a.w. bersesuaian dengan keredhaan Allah Ta'ala. Maka anda akan lihat ayat-Al-Quran yang ditafsir oleh mereka yang kenal Allah adalah berbeza dengan orang yang mentafsirkan Al-Quran menggunakan logik-akal masing-masing yang terbatas. Anda akan jumpa permasalahan ini dalam perbahasan tentang ayat muhmakat dan ayat mutasyabihat.

Jika anda salah dalam mentafsirkan titah sultan, tentu anda akan dipenjarakan walaupun anda tersalah memahaminya kerana terikut-ikut dengan tafsiran masyarakat awam.

Oleh itu, ulama' sangat berhati-hati dan beradab dalam hal ini. Istighfar banyak-banyak jika anda ingin mengeluarkan satu tafsiran ayat al-Quran. Ana tak guna tafsir pimpinan Ar-Rahman kerana ia dikritik banyak oleh ulama' sufi dan zahiri kerana diuduh mengaburi ayat yang berkaitan dengan hukum hudud. Dari segi "siqah" dan "dhabit" penulisnya juga dipertikai.

Berhubung isu ayat 35 dalam Surah Al-Maidah, ana syorkan agar tuan-tuan melihat tafsiran yang diberikan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam Al-Ghazali, Syeikh Ibnu Athoillah As-Sakandari, Muhammad Amin Al-Kurdi dan lain-lain ulama' sufi yang masih hidup dan telah terbuka hijab serta dikurniakan Allah ilmu Laduni (ilmu terus dari Allah Ta'ala). Dan kerana mereka ini mendengar kalam Allah yang terkini. Bukankah Allah itu bersifat Kalam dan Kaunuhu Mutakalliman. Kalam= mampu berkata-kata. Kaunuhu Mutakalliman= keadaan Allah Ta'ala yang berkata-kata.

Semoga Allah Ta'ala menunjukkan kita jalan yg benar dan diredhaiNya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

29 July 2009

INSYA ALLAH VS YAKIN BOLEH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sabda Nabi sa.w.:
Tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan tiada kekuatan untuk meninggalkan maksiat melainkan dengan (izin) Allah sahaja.

Dalam perbahasan sifat qudrat, kita telah yakini bahawa makhluk tidak dapat memberi apa-apa kesan atas usahanya. Kerana setiap sesuatu itu dijadikan oleh Allah dan diizinkan terjadi atas kehendak Allah Ta'ala. Walaupun mazhab Asyairah melihat, makhluk dikurniakan usaha yg akan dihakimi dipadang mahsyar, usaha tersebut sebenar-benarnya adalah datang dari taqdir Allah yg telah ditetapkan sejak azali lagi. Maka secara hakikatnya usaha itu tidak wujud dan hanya sekadar bayangan dan tempat pengadilan Allah diakhirat kelak. Inilah yg dipegang oleh Mazhab Ahli Mukasyafah (orang yg terbuka hijab)

Disini secara hakikat sebenarnya, makhluk tidak ada hak ke atas Allah Ta'ala kerana hanya Allah Ta'ala sahaja yg berhak ke atas setiap makhluk yg Dia jadikan. Tidak ada persoalan "kenapa Tuhan taqdirkan aku buat maksiat". Yang ada bagi makhluk hanyalah "Inni kuntu minaz zolimin, Rabbana zolamna dan inni zolamtu nafsi" pengakuan aku telah menzalimi diriku dengan berbuat dosa, salah dan silap sepertimana Nabi Adam a.s. , Nabi Nuh a.s dan doa yang Rasulullah s.a.w. ajar kepada Saidina Abu Bakar r.a.

Dengan ini jelaslah bahawa makhluk tidak berdaya melakukan sesuatu melainkan dengan kuasa dan izin dari Allah. Perkataan "Kita boleh" sebenarnya berlawanan dengan "La haula wala quwata illa billah". Boleh menunjukkan kepastian, yakinan dan kekuasaan manusia untuk mencapai sesuatu. Iktikad yg berdosa & kesilapan ini harus difahami dengan hati melalui talqqi ilmu Tauhid dari guru yang mempunyai tauhid dalam hati. Bukan dari hati yg kufur dan kafir walaupun mempunyai Ph.D.

Sila amat-amati doa Nabi Khidir a.s. ini:
“Dengan nama Allah, segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tidak ada yang mendorong kepada kebaikan melainkan Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tidak ada yang memaling (menjauhi) kejahatan melainkan Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, adalah segala nikmat itu semata-mata daripada kurnia Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan tiada kekuatan untuk meninggalkan maksiat melainkan dengan (izin) Allah sahaja.”

Dengan sebab itu "boleh" dilabelkan oleh ulama' sebagai kefahaman muktazilah yg menyangka makhluk itu dikurniai Allah kuasa tersendiri untuk berusaha dan menetapkan nasibnya. "Siapa berusaha pasti berjaya", "Yakin kita boleh", "Malaysia boleh" "PASTI boleh" "pasti berjaya" dll. Iktikad muktazliah ini dihukumkan "berdosa" jika dipegang dalam hati.

Para wali Allah hanya berusaha ke arah kebenaran dan tidak malas. Jika dikehendaki Allah berjaya usaha tersebut, maka semakin yakinlah kepada qudrat Tuhan. Sebaliknya jika dikehendaki Allah usaha tersebut gagal, maka baiki kelemahan diri, post mortem dan sabar adalah ubatnya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 May 2009

SAMAK - Mendengar


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Samak ertinya mendengar. Tuhan Maha Mendengar. Pendengarannya meliputi keseluruh alam samada kuat atau perlahan, jelas atau bisikan, ada halangan atau tidak, didalam bilik atau ditengah lautan, ada bunyi atau tidak ada bunyi, tanpa alat mendengar seperti telinga. 

Allah Ta'ala sentiasa mendengar dan faham setiap bunyi percakapan dan sumbernya samada ia datang dari makhluk manusia, haiwan, pokok, angin atau makhluk halus seperti jin, syaitan. Semua bunyi dan bahasa didengari & difahami oleh Tuhan Pencipta Alam kerana bunyi dan bahasa adalah makhluk ciptaanNya.

Setiap makhluk yang Tuhan jadikan ada bahasanya. Tuhan anugerahkan kepada Nabi Sulaiman a.s. kefahaman terhadap bahasa angin. Angin bercakap. Air bercakap. Bumi bercakap. Kubur bercakap. Ulat & batu bercakap. Syurga neraka bercakap. Tapi bahasa mereka hanya Tuhan yang faham. Dan Tuhan anugerahkan faham bahasa tersebut kepada sesiapa yg Tuhan kehendaki.

Ada bahasa percakapan. Ada bahasa bunyi. Ada bahasa gerak-geri. Ada bahasa gelombang. Bahasa percakapan seperti bahasa Melayu. Bahasa bunyi seperti jeritan neraka memarahi penghuninya. Bahasa gerak-geri seperti bahasa org bisu menggunakan tangan. Bahasa gelombang seperti suara org ditalian telefon bimbit bergerak ke udara tanpa bunyi tetapi ia masih dapat didengari oleh orang yg ada alat utk menerima gelombang yg sama cth tv dengan tv, radio FM dengan radio FM. Semua ini dapat digunakan oleh org muslim & kafir (yg Tuhan sayang & yg Tuhan benci). Semua bahasa ini dapat didengari oleh Tuhan.

Ada bahasa yg Tuhan anugerahkan kepada kekasihnya sahaja iaitu bahasa hati yg dapat menghubungkan antara wali-wali Allah diseluruh dunia samada yg masih hidup atau yg telah meninggal dunia. Bahasa ini tiada bunyi dan tiada suara. Dan kadang-kala bahasa ini ada suara dan boleh melangkau ribuan kilometer seperti Saidina Omar r.a. memberi arahan kepada tentera Islam yg sedang bertempur ratusan kilometer dari tempatnya.

Pohonlah pertolongan Tuhan walaupun anda berada ditengah lautan, ditengah angkasaraya, di celah awan biru kerana Dia Maha Mendengar.

Suara hati yg buruk (cth melaknat org lain) tidak dikira dosa disisi ilmu feqah. Tetapi ia tetap dikira kesalahan & keburukan disisi wali Allah. Janganlah menipu Tuhan dengan menyembunyikan suara buruk hati anda. Setiap lintasan suara hati yg buruk tidak terlepas dari pendengaran Tuhan. Bertaubat, mengaku salah & membersihkan hati darinya adalah jalan terbaik utk menghadapinya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

20 May 2009

SIFAT HAYAT - Hidup


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Hayat ertinya hidup. Allah Ta'ala wajib bersifat hayat iaitu hidup. Hidup yang berbeza dengan hidupnya makhluk. Hidup yang tidak didahului mati dan tidak juga diakhiri mati. Hidup tanpa nyawa, tanpa bernafas, tanpa makan, minum, tempat tinggal, pakaian. Hidup yang tidak terikat dengan kehidupan yang lain.  Hidup yang tidak perlukan tubuh-jasad-kulit seperti manusia. Hidup yang tidak perlukan tempat untuk berpijak, masa untuk tua, arah untuk dihadap.

Hidup makhluk perlukan makan, minum untuk dapat sedikit tenaga, lalu berupaya bangun bekerja. Hidup jenis ini tidaklah sempurna kerana ia akan lemah tanpa makan, minum. Sedangkan Tuhan wajib bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi Tuhan.

Sempurnanya hidup manusia bila hidup mereka ada nyawa, jasad dan anggota yang dapat dipuji jika cantik, dapat dipukul jika jahat, dapat di hukum penjara jika buat jenayah. Sedangkan kesempurnaan ini adalah kekurangan disisi Tuhan kerana Tuhan tidak hidup dalam batasan dan peraturan makhluk. Jika Tuhan dapat di ikat lalu disalib itu tandanya tuhan itu lemah dan tidak berkuasa penuh. Ini mustahil bagi Tuhan.

Kehidupan manusia perlukan pakaian dan tempat tinggal untuk berlindung dari panas-sejuk, binatang buas, serangan musuh dan ribut banjir bencana. Kelemahan ini memang wujud pada makhluk kerana makhluk bersifat lemah dan memerlukan bantuan dan tempat berlindung. Kelemahan seperti ini tidak wujud pada Tuhan. 

Walaubagaimanapun, Tuhan ada rumah di dunia iaitu masjid, ka'abah (baitullah). Tetapi ia bukanlah untuk berlindung. Sebaliknya untuk dikunjungi oleh mereka yang beriman untuk menunjukkan amalan taat kepadaNya. Tuhan juga ada arasy (istana) di langit. Tetapi ia adalah lambang keagungan Tuhan yang Maha Berkuasa. Tuhan juga ada kursi (singgahsana) di dalam arasy tetapi ia sebagai lambang kebesaran, kekuasaan, kemuliaan, kehebatan Allah Ta'ala.

Tuhan hidup tanpa nyawa. Kerana nyawa itu sendiri adalah makhluk Tuhan. Tuhan Maha Kaya dalam mencipta nyawa untuk seluruh makhlukNya. Tidak perlulah Tuhan recycle nyawa manusia untuk dijadikan nyawa binatang seperti yang ada dalam fahaman reincarnation atau hukum karma.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

15 May 2009

SIFAT ILMU


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ilmu bermaksud pengetahuan tentang sesuatu dengan benar dan tepat dan bukanlah maklumat yang masih diragui kebenarannya.

Allah Ta'ala wajib bersifat ilmu iaitu tahu dengan tepat tentang keadaan zatNya dan segala sesuatu selain dariNya. Sesuatu selainNya dinamakan "alam".  Maksudnya, Tuhan Maha Mengetahui segala-gala yg berlaku di alam ini samada perkara ini besar atau kecil, mudah atau sukar, makro atau minor, banyak atau sedikit, gelap atau terang, jauh atau dekat, terdedah atau tersorok dll.

Tuhan maha Mengetahui jika ada seekor anak semut yang berada di atas batu hitam dimalam yang gelap tanpa bulan. Tuhan juga Maha Mengetahui apa yg zahir diucapkan oleh hambaNya dan apa sahaja yg terdetik di dalam hati mereka. Segala-galanya tidak terlepas dari pengetahuan Allah Ta'ala kerana Dia lah yang menjadikan setiap sesuatu (hatta sebiji atom) dan Dia lah yang berkuasa menggerakkan setiap sesuatu yang muafakat dengan kehendakNya.

Kita sebagai hamba yang jahil, hina, buta, pekak lagi banyak dosa wajib sentiasa bertaubat atas apa yg kita cakap dan terdetik dalam mulut dan hati yang tidak bersesuaian dengan kehendak dan keredhaanNya. Hati kena jujur dan lurus. Jangan kita jadi munafik. Cakap tak serupa bikin. Zahir mukmin tetapi jiwa kafir dan munafik. Solat belakang Rasululullah s.a.w. tetapi berkawan dengan orang fasiq dan kafir. Semua rahsia dalam hati kita Tuhan tahu. Dan Dia berhak memberitahunya kepada kekasihnya (Wali Allah). Oleh kerana itulah dikatakan bahawa Wali Allah telah dapat percikan kecil dari lautan ilmu Allah Ta'ala. Ilmu Laduni.

Ilmu Pengetahuan Tuhan amat luas dan Tuhan Maha Bijaksana menyusun setiap sesuatu yg berlaku. BijaksanaNya menyusun alam yg terdiri dari bumi, langit dan bintang yg tidak berlanggaran antara satu sama yg lain. BijaksanaNya membahagikan tugas dan peranan binatang jinak-buas, udara panas-sejuk, tekanan tinggi-rendah, manusia pemimpin-rakyat sehingga susunanNya dikagumi oleh setiap makhluk baik mukmin atau kafir.

Oleh itu kita perlu akui kebodohan diri kita hendak mencaturkan alam, menyusun semuladan mengubah susunan Tuhan. Seringkali kita rasa bijak dan cerdik walaupun sebenarnya ilmu itu segala-galanya datang dari Tuhan. kita hanyalah dianugerahkan sepercik ilmu dari lautan ilmu Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kita juga perlu akui kebodohan kita hendak melaksanakan perintah Allah dalam keadaan yang bersesuaian dengan keredhaanNya. Selalulah mengakui kebodohan diri. Semoga satu masa nanti Tuhan akan anugerahkan kita mata hati dan ilmu laduni (ilmu yg diperolehi tanpa belajar) untuk membezakan antara yg betul dan yg salah. Sebagaimana Tuhan anugerahkan kepada Nabi Khidir a.s. semasa mendidik Nabi Musa a.s. Jangan cuba menipu Tuhan dengan menipu Wali Allah. Kita takkan berjaya menipu mereka. Nauzubillah.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

10 May 2009

IRADAT - IZIN & KEHENDAK


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Iradat ertinya berkehendak. Allah Ta'ala ada kehendakNya yg tersendiri dan setiap sesuatu yg berlaku adalah mengikut kehendak dan izinNya. 

Setiap yg berlaku adalah disebabkan kehendakNya dan bukan tersilap, automatik, semulajadi, tersasul. 

Setiap kehendak Allah Ta'ala ada hikmahnya.  Kita sebagai makhluk yg bodoh, jahil, hina lagi banyak dosa kadang-kadang memandangnya sebagai baik-buruk, cantik-hodoh, mulia-hina, cerdik-jahil, cerah-ribut, aman-perang, syurga-neraka dll. Manusia yg cerdik, kaya, mulia dilahirkan atas kehendak Tuhan. Begitu juga manusia yang hodoh, hina, miskin pun lahir atas kehendak Tuhan. Semua ini ujian buat si hamba melalui bukti taqwa mereka yg akan membezakan tempat di akhirat.

Walaubagaimanapun, adab kita kepada Tuhan, janganlah kita sibuk menyebut "Tuhan jadikan tahi". Tetapi fikirkan apa hikmah Tuhan jadikan ia dan dilarang menyebut-nyebutnya kecuali untuk tujuan mengajar dan belajar.

Kadang-kadang kehendak Tuhan berlawanan dengan kehendak nafsu kita yg jahat contohnya kita hendak hari cerah tetapi Tuhan turunkan hujan. Bila ini berlaku kita sebagai hamba wajib minta ampun kerana bersalahan kehendak dengan Tuhan. Mungkin nafsu kita nak cuaca cerah agar mudah kita buat maksiat / salah dengan Tuhan tanpa kita sedar. Ini perlu kita cermin diri sendiri.

Kadang-kadang, kita hendak menang, tetapi Tuhan beri kalah. Kita sudah berusaha tetapi Tuhan menentukan "kalah" utk kita. Mesti ada hikmah disebalik ketentuan Tuhan itu. Sebagai hamba, kita kena baiki diri dan kelemahan yg mengundang kekalahan itu.

Kadang-kadang Tuhan dah tetapkan sejak azali bahawa kita miskin hingga akhir hayat tetapi kita hendak juga kaya. Bila ini berlaku kita perlu mengosongkan hati dengan zuhud terhadap kaya atau miskin. Dalam masa yg sama kita wajib bekerja kerana kita masih dalam tingkatan/ maqam usaha. Lainlah jika kita telah capai maqam tajrid seperti Maryam yg dapat makanan dari langit tanpa usaha.

Firman Allah Ta'ala: "Kadang-kadang sesuatu itu buruk bagi kamu tetapi ia sebenarnya adalah baik untuk kamu. Dan kadang-kadang kamu suka sesuatu tetapi ia sebenarnya tidak baik untuk kamu". 

Untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, kita perlulah mengutamakan kehendak Tuhan. Untuk permulaan, kosongkan hati dan buang angan-angan serta pendekkan cita-cita. Serahkan semua keputusan kepada Tuhan. Dalam masa yg sama buat kerja seperti biasa tanpa dikurangi usaha dan ikhtiar. Insya Allah Tuhan akan buka hati anda memahami kehendakNya dengan lebih dekat.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

15 February 2009

QUDRAT - MAHA KUASA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ertinya Tuhan Maha Kuasa. Allah Ta’ala berkuasa mengadakan sesuatu yang “mumkin” atau mentiadakannya atas muafakat iradatNya.

Sabda Nabi s.a.w. "Tidak bergerak walau sebutir atom melainkan dengan izin Allah Ta'ala". Setiap atom yg bergerak, berubah, bertindakbalas adalah disebabkan kehendak dan kuasa Allah Ta'ala. Samada ia perkara baik atau buruk, kedudukan mulia atau hina, kaya atau miskin, cerdik atau bodoh, wajah yg indah atau hodoh, nasib baik atau malang, masuk syurga atau neraka, cuaca cerah atau ribut, keputusan menang atau kalah segala-galanya ditentukan oleh kehendak (iradat) dan kuasa (qudrat) Allah Ta'ala.

Tidak meletup sebiji bom dengan sendiri melainkan jika Tuhan memberinya sedikit kuasa utk meletup. Janganlah kita syirik dengan kehebatan bom yg disangka dapat menghancurkan sebuah bandar, tetapi hendaklah kita hilangkan perasaan takut pada makhluk (bom) hingga muncul yakin yang haq iaitu "La haula wala quwata illa billah (Tiada daya dan kekuatan melainkan kekuasaan Allah Ta'ala" 

Setiap sesuatu telah ditaqdirkan oleh Allah Ta'ala sejak azali. Tuhan pilih ikut kehendakNya kerana hanya Dia yg memiliki segala isi alam dan hanya Dia yg berhak membuat pilihan. Makhluk tidak memiliki apapun. Setiap pilihan Tuhan ada hikmahnya (pengajaran). Hikmah itu tidak diketahui kecuali mereka yg hampir denganNya dan diberi faham oleh Tuhan.

Adab kita (Ahli Sunnah wal Jama'ah) dengan Tuhan;
Tuhan tidak ditanya di akhirat tentang apa yg dibuat, tetapi makhluk lah yg akan ditanya tentang apa yg telah mereka buat lalu dihisab. Yg baik dihisab, yg jahat di azab.

walaupun kita tahu segala-gala suratan taqdir telah ditentukan oleh Allah ta'ala sejak azali, apa yg perlu kta lakukan ialah "buat kerja kita sebagai hamba".

Pegangan yang salah dan berdosa;
1. Pegangan Muktazilah: Kita boleh, pasti, confirm menang jika berusaha.

2. Pegangan Jabariyah: Makhluk tiada kuasa dalam berusaha (umpama bulu dilayangkan angin)

bersambung...
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

09 February 2009

WAHDANIYYAH - ESA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ertinya: Esa Allah Ta’ala pada Zat, sifat dan perbuatan.

Esa pada zat: 

1. Zat Allah Ta’ala tidak tersusun daripada dua bahagian atau lebih yang boleh dibahagi-bahagi (ZatNya tidak boleh dibelah atau dikerat). (menafikan Kam Muttasil pada zat Allah Ta’ala). Berbeza dari makhluk yang mempunyai anggota badan, pokok yg mempunyai bahagian-bahagian (dahan, batang, daun dll).

2. Tiada zat lain seumpama Zat Allah (menafikan Kam Munfasil pada zat Allah Ta’ala)

Terdapat 5 kam yang mustahil bagi Allah Ta'ala:
1. Kam Muttasil pada zat
2. Kam Munfasil pada zat
3. Kam Muttasil pada sifat
4. Kam Munfasil pada sifat
5. Kam Munfasil pada afa’al

Kam Muttasil pada zat ialah jasad makhluk terbina / tersusun daripada beberapa juzuk (bahagian = kepala, badan, tangan, kaki dll). 

Kam Munfasil pada zat pula ialah berbilangnya jasad makhluk kepada beberapa unit yang sama (jasad Abu, Ali, Zaid lebih kurang serupa bentuknya, dari jenis yg sama iaitu manusia). 

Kedua-dua kam ini mustahil bagi Allah Ta’ala.

Esa pada sifat: 

1. Allah Ta’ala tidak mempunyai dua sifat atau lebih daripada jenis sifat yang sama contohnya 2 qudrat atau 3 qudrat. (menafikan Kam Muttasil pada sifat Allah Ta’ala).

2. Makhluk tidak ada sifat yang serupa seperti sifat qudrat Allah Ta’ala. Makhluk ada qudrat tetapi terbatas, tidak memberi manfaat atau mudharat dan tidak memberi kesan. (menafikan Kam Munfasil pada sifat Allah Ta’ala).

Esa pada Af’al: 

1. Allah Ta’ala tiada sekutu (rakan kongsi) dalam menjadikan mana-mana perbuatanNya. Makhluk tidak masuk campurtangan dalam urusan perbuatan Allah Ta’ala. (menafikan Kam Munfasil pada Af’al Allah Ta’ala).

2. Segala yang terjadi adalah perbuatan Allah Ta’ala. Bukan disebabkan oleh perbuatan makhluk contohnya api tidak memberi kesan bakar atau panas. Yang memberi kesan atau bekas hanyalah Allah Ta'ala (menafikan Kam Munfasil pada Af’al Allah Ta’ala).

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :
“Fikirlah kamu tentang segala kejadian dan janganlah kamu fikirkan tentang Tuhan Yang Maha Pencipta yang menjadikan sekelian makhluk kerana sesungguhnya Dia tidak dapat diliputi (digambarkan) oleh fikiran kamu”.

Apa sahaja persamaan antara Tuhan dan makhluk perlulah dinafikan kerana kesempurnaan pada makhluk adalah kekurangan jika ia ada pada pihak Tuhan. Contoh, jika ada 2 qudrat (kuasa) yg terhebat, mustahil keduanya sama hebat, maka ia akan mengurangkan kuasa salah satu darinya. jika ada kuasa yg sama dari tuhan A dan tuhan B, ini bermakna kuasa yg ada pada salah satu adalah lebih lemah berbanding yg lain. Atau jika kuasa tuhan A lebih kuat, maka kuasa tuhan B menjadi ancaman bagi kekuasaan A, kerana ia hampir sama hebat.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

04 February 2009

QIYAMUHU TA'ALA BINAFSIHI



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ertinya

1.    Allah Ta’ala berdiri dengan sendiriNya atau

2.    Allah Ta’ala tidak berkehendak (tidak perlukan) kepada zat lain untuk menempatkan diriNya padanya sepertimana segala aradh (sifat) atau

3.    Allah Ta’ala tidak berkehendakkan (tidak perlukan) kepada yang menjadikanNya bahkan Dia yang menjadikan segala sesuatu.

Dia tidak berhajat (tidak perlu) kepada zat dan tidak berhajat kepada pembuat yang menjadikanNya.

Dia tidak berhajat (tidak perlu) kepada zat maksudnya Dia sendiri itu zat, bukan sifat kerana sifat itu ada dengan adanya zat dan tidak boleh berdiri dengan sendiri samada sifat yang qadim atau sifat yang baharu.

Dia tidak berhajat kepada pembuat yang menjadikanNya maksudnya Dia itu pasti qadim, bukan baru kerana yang berhajat kepada pembuat itu ialah segala kejadian yang baru.

Tuhan tidak perlukan bantuan utk terus hidup, berkuasa.

Lawan sifat ini ialah Tuhan berkehendak kepada zat atau kepada yang menjadikanNya.

Pengajaran dari surah Al-Ikhlas di atas:

Ayat 1: Menafikan dakwaan tuhan itu banyak dan berbilang-bilang

kerana Ahad ialah Esa pada ZatNya, sifatNya dan af’alNya (perbuatanNya).

 Ayat 2: Menafikan kekurangan, sedikit dan tidak umum liputan kuasaNya.

 Ayat 3: Menafikan illat (sebab) bagi kewujudan selainNya.

Menafikan ma’lul (penyebab) kewujudan Allah kerana selainNya.

 Ayat 4: Menafikan syabih (keserupaan) dan nazhir (tandingan) bagi Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

03 February 2009

MUKHALAFATUHU LIL HAWADITH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

MUKHALAFATUHU LIL HAWADITH beerti Allah Ta'ala tidak sama dengan segala kejadian yang baru atau dengan segala makhlukNya. Kelainan Allah Ta'ala daripada sesuatu kejadian yg baru.

Kelainan dari segi:
1. ZAT. iaitu tiada zat yg serupa seperti zat Allah Ta'ala. kerana Allah Ta'ala bukan dari jenis cahaya (nur) dan bukan juga jenis gelap (zulmah), bukan dari jenis langit atau bumi atau apa yg ada diantara keduanya. Zat Tuhan juga tidak perlukan ruang, tempat untuk wujud.

2. SIFAT. Tiada sifat yg serupa dengan sifat Allah Ta'ala kerana semua sifat Tuhan itu qadim (telah sedia ada sejak azali) dan tidak bergantung kepada sesuatu.

3. PERBUATAN. tiada perbuatan yg serupa dengan perbuatan Tuhan. Makhluk nak sesuatu kena usaha contohnya suap makanan untuk makan & kenyang. sedangkan perbuatan Tuhan hanyalah dengan sekali firmanNya setiap sesuatu pasti akan jadi.

Ulama kata:
1. Setiap apa yg terbayang kepada kita ianya adalah kejadian baru, dan kita hendaklah iktikadkannay berlainan dari Allah Ta'ala.

2. Zat Allah Ta'ala berlainan daripada makhluk dalam segala sesuatu.

Jika kita nampak lembaga berasap-asap, ia bukanlah Tuhan tetapi ia adalah asap. Patung berhala juga adalah makhluk kerana kita dapat lihat dengan mata kasar kita.

Oleh itu mustahil Tuhan sama seperti makhluk (jirim/ jisim) yg mempunyai 4 perkara:
1. Baru
2. Bersusun.
3. Bertempat
4. Menerima 'Aradh (sifat bau, warna dan rasa)

Golongan wahabi kata Tuhan turun ke bumi dari langit. ini silap besar. Tuhan tidak memerlukan tempat kerana tempat adalah sebahagian daripada alam. Alam adalah makhluk yg baharu. Jika Tuhan perlukan tempat, maka Tuhan perlukan makhluk utk wujud. Ini mustahil.

Point penting dalam perbahasan sifat ini ialah menafikan penyamaan antara Tuhan dengan makhluk. 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

23 January 2009

SIFAT BAQA' - kekal


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Qidam beerti kekal. Allah Ta'ala Maha Kekal kewujudanNya. Dia tidak akan binasa selama-lamanya. Kewujudan Tuhan tidak akan berakhir, mustahil ada kesudahan dan pengakhiran kewujudanNya.

Sedangkan makhluk ada akhiran. Setiap yg hidup (dikalangan makhluk) pasti akan merasai mati (hilang kuasa, hancur jasad, tidak berdaya dialam akhirat).Walaubagaimanapun, ada 8 perkara yg akan kekal tiada akhir iaitu:
1. Arays (Istana Tuhan)
2. Kursi (Singgahsana Tuhan)
3. Neraka (Api yg menyala)
4. Syurga (Taman yg indah)
5. Ajbu zanbi (benih anak Adam)
6. Roh
7. Luh Mahfuz (papan tulis di langit)
8. Qalam (pena di langit)
Lapan perkara ini ada permulaan tetapi tiada kesudahan berdasarkan dalil dari Quran dan Hadith.

Nota: KITA SUKA MENGINGATI HARI KELAHIRAN SENDIRI TETAPI KENAPA KITA LUPA PADA HARI KEMATIAN?

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

08 January 2009

SIFAT QIDAM - Sedia Ada


(gambar: putaran kehidupan / daur)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Qidam ertinya sedia ada iaitu kewujudan Allah Ta'ala tidak didahului oleh tiada. Memang Tuhan telah sedia ada sejak azali (masa lalu yg tidak ada awal). Kewujudan Tuhan juga tidak disebabkan oleh sesuatu sebab.

Berbanding makhluk yg ada permulaan, iaitu permulaan kewujudannya seperti permulaan manusia dari setitis air mani yg hina (keluar dari lubang najis air kencing). Kewujudan manusia juga disebabkan hasil perkongsian hidup ibubapa mereka.

sifat Qadim menafikan DAUR DAN TASALSUL

DAUR: putaran kejadian. contoh A jadikan B. B jadikan C. C jadikan A. Ia seperti proses kejadian pokok yg terhasil dari benih kemudian jadi pokok, kemudian jadi buah yg ada biji benih didalamnya.

TASALSUL: rantaian kejadian. contoh A dijadikan oleh Z. Z dijadikan oleh Y. Y dijadikan oleh X seterusnya hingga tiada kesudahan permulaan.

DAUR adalah mustahil bagi Tuhan kerana ia membayangkan kejadian yg saling memerlukan. Ini mustahil bagi Tuhan Yg Maha Kuasa dan Maha Berdiri Sendiri.

TASALSUL adalah mustahil bagi Tuhan kerana ia membayangkan kejadian yg tidak tahu pokok pangkal / asal usul. Ini mustahil bagi Tuhan Yg Maha Esa yg tidak ada sesuatupun yg sebanding denganNya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

22 November 2008

BUMI MILIK ALLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Manusia pertama yg tinggal di planet bumi ialah Nabi Adam a.s. yg merupakan hamba Allah yg beragama Islam, yg paling tawadhuk dan taat pada zaman itu. Tuhan ajar nama pokok, alat, benda dll yg terdapat di bumi dan cara menggunakannya. (rujuk surah al-Baqarah). Bukannya seperti yg org kafir faham, manusia dgn sendiri belajar melalui akalnya.

Bermakna, bumi ini telah diamanahkan oleh Allah ta'ala kepada hambaNya yg merupakan orang Islam. Pada zaman Nabi Nuh a.s., Tuhan telah binasakan orang kafir kerana keingkaran mereka menyembah Allah. Begitu juga pada zaman Nabi Luth a.s., Nabi Saleh a.s, Nabi Musa a.s.

Sepatutnya kita berusaha meramaikan orang Islam, mengalunkan azan, memperbanyakkan masjid di bumi Allah ini. Bukanlah mengurangkan masjid, menghalang dakwah Islam, menyerahkan urusan org Islam kpd org kafir.

Janganlah kita segan @ malu mempromosikan Islam, sunnah Nabi, syiar Islam kerana bumi ini Tuhan wariskan kpd hambaNya yg mukmin. Bukannya seperti yg diajar oleh ahli sejarah Inggeris bahawa penduduk nusantara asalnya beragama hindu / buddha. (bukti Islam bertapak awal dinusantara  : http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/ )

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

21 November 2008

ALLAH WUJUD


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Allah Ta'ala bersifat wujud. Iaitu ADA dan TETAP ADA. Wujud yang hakiki. benar-benar wujud yang tidak tergambar akan ketiadaanNya. Wujud dengan Zat tanpa jasad, anggota dan jisim. Tanpa arah dan tempat. Wujud sejak azali iaitu tanpa permulaan. Wujud yang kekal tanpa akhiran.

Manakala makhluk ialah selain Allah. makhluk wujud bukan hakiki. wujud majazi iaitu sementara, kejap ada-kejap tiada. Wujud seperti ilusi, fatamorgana dan bayang-bayang yang boleh lenyap, hancur, fana' pada bila-bila masa. Tidak kekal kewuudannya. 

Ia wujud seperti bayang-bayang pokok di permukaan sungai. ia tidak dapat halang sampan yang lalu disepanjang sungai. Seperti bayang-bayang pokok yg panjang tetapi kabur pada waktu pagi, pendek ditengahari, panjang & jelas pada petang tetapi hilang pada waktu malam.

Pengajaran: Kita sebenarnya tiada. Hanya AllahTa'ala sahaja yg ADA. Kewujudan kita hanya bergantung pada pinjaman nyawa, jasad dan kuasa yg terhad dan sementara. SEDARLAH!!! Tidak ada apa yg boleh kita banggakan. 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.