Showing posts with label diari ustaz. Show all posts
Showing posts with label diari ustaz. Show all posts

16 June 2009

SULUK DI KAKI BUKIT


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana mengizinkan saya bersuluk selama 3 hari di sebuah surau dekat kaki bukit. Berpuasa selama 3 hari berturut-turut diluar bulan Ramadhan amat berat bagi manusia biasa. Apatah lagi mengurung diri di dalam surau, membuat tumpuan kepada Allah Ta'ala setiap saat dan memenuhkan masa di atas sejadah. Semua ini telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. di gua Hira', Jabal Nur. Begitu juga dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam Al-Ghazali dan Wali Songo.

Ibarat Kem Motivasi Iman, suluk membina semangat beribadah secara individu, mengikhlaskan diri berzikir tanpa disuruh, dan menahan sabar lapar dan dahaga berpuasa. Dengan kos yg minimum dan dibawah bimbingan Guru Mursyid, kesan yang didapati berdasarkan sejauh mana tumpuan seseorang kepada Allah. Mungkin cepat dan mungkin lambat. Tetapi kebiasaannya ia tetap ada kesan ke arah kebaikan.

Beruzlah (menyendiri) dari masyarakat yang sedang tenggelam dengan zulmat (kegelapan maksiat) memberi peluang kepada hati bersinar, mengkoreksi diri , membetulkan hati dan perbuatan agar bertepatan dengan kehendak Syariat. Merehatkan diri dari maksiat harian dan menyedarkan diri tentang halal dan haram dalam kehidupan seharian.

Sebelum masuk suluk saya rasa "Kalau aku mati hari ini, beginilah rasanya kehidupan baru di alam kubur. Sunyi sepi dari kesibukan dunia. Dunia tetap akan sibuk tanpa aku. Yang terpampang hanyalah dosa dan kelalaian silam yang perlu di sesali. Tetapi, sekarang aku masih hidup dan Tuhan masih lagi beri peluang kepadaku memperbaiki ibadahku". Jangan lalai lagi.................!!!

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 October 2008

PERGI KE ZAWIYAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Saya baru pulang dari sebuah surau. Biasanya setiap minggu saya berkunjung ke sana utk membersihkan hati. Jika selepas 40hari saya tidak ke sana, fikiran saya akan kusut berserabut.

Apa tidaknya, kehidupan hari ini sangat mencabar. Fikiran berserabut. Hatta dalam solat pun teringat macam-macam. Sebelum azan maghrib, kedengaran suara lelaki membaca alunan selawat yg syahdu. Lepas solat maghrib berjemaah, kami berwirid, kemudian berzikir "La ilaha illallah" dgn berdiri lebih kurang 20 minit hingga isyak. Alhamdulillah, kali ni tak terasa penat. mungkin kesan dari tahajjud pagi tadi atau mungkin saya dah nak mati.

Teringat saya kpd Hadith Rasulullah s.a.w. yg bermaksud "Jika kamu melintasi taman syurga, hendaklah kamu singgah. Lalu sahabat bertanya "apa itu taman syurga?". Baginda menjawab "Halaqah zikir".

Walaupun saya seorang ustaz, tetapi saya bukanlah ahli zikir, jauh sekali Ahlullah (wali Allah). tetapi saya hanya mampu datang dan menumpang majlis zikir para Ahlullah dan org soleh.

*zawiyah ialah sudut / tempat berkumpul ahli tarekat

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.