10 March 2009

Fitrah


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

 Fitrah bermaksud naluri beragama Tauhid kerana roh itu telah mengaku dan mengenal keesaan, keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.

Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah menciptakan manusia daripada roh dan jasad. Roh sebelum ditiupkan ke dalam jasad belum lagi dinamakan manusia. Ia masih lagi dinamakan roh. Begitu juga halnya dengan jasad. Asal kejadian roh ini adalah di dalam keadaan fitrah.

Firman Allah s.w.t :

Dialah fitrah yang Allah taala jadikan sesuai pada manusia,tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah,itulah agama Allah yang betul tetapi  ramai manusia tidak mengetahui

(Ar-rum ayat 30)

 Fitrah bermaksud naluri beragama Tauhid kerana roh itu telah mengaku dan mengenal keesaan, keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.

“ Bukankah aku Tuhan kamu ?” jawab sekalian roh :“Bahkan kami telah menyaksikan engkaulah Tuhan kami ”. (Al-A’raf ayat 172)

 Kemudian apabila roh ditiupkan ke alam jasad dan jasad menjadi penyatuan dengan roh maka bermulalah titik permulaan dinamakan manusia. Jasad mempunyai dua kegelapan :

1-      Kegelapan asal kejadian tanah, air, api dan angin

2-     Kegelapan asal kejadian air yang hina

 Daripada kedua - dua asal kejadian ini, terbentuklah satu jisim yang tersangat halus yang dinamakan nafsu. Tabiat nafsu ialah sentiasa cenderung kepada asal kejadiannya dan sentiasa mendesak supaya melakukan kejahatan dan dosa.

Firman Allah s.w.t :

 “ Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendesak supaya melakukan kejahatan”. (Yusof ayat 53)

Fitrah atau naluri beragama Tauhid yang ada pada roh itu berkekalan sehingga jasad manusia dilahirkan ke dunia ini. Kemudian apabila manusia dilahirkan ke dunia ini maka bermulalah nafsu menguasai roh. Sementara roh pula terpaksa mengikuti kehendak asal kejadian jasad. Maka pada ketika itu manusia memerlukan kepada wahyu sebagai panduan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Tanpa wahyu seseorang itu akan dicorak mengikut acuan orang yang melahirkannya. Sekiranya seseorang itu dilahirkan oleh ibu bapa yang A’si, Yahudi, Nasrani atau Wathani maka kanak - kanak itu akan menjadi A’si(pelaku maksiat), Yahudi,Nasrani dan Wathani (penyembah berhala . Sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

 “ Setiap seseorang itu dilahirkan ia di dalam keadaan fitrah ( naluri beragama Tauhid) maka kedua ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani ”

Disebabkan adanya nafsu ini Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul dan disebabkan adanya nafsu ini Allah s.w.t membangkitkan juga para Auliya’ullah sehingga hari Kiamat. Tujuannya ialah untuk membimbing manusia supaya kembali kepada asal kejadian roh dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Wahyu terbahagi kepada dua bahagian :

1.       Yang ditilawahkan atau dibaca : iaitu kalamullah yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril a.s. Wahyu ini dinamakan Al-Quranul Karim.

 

2.      Yang tidak ditilawahkan atau tidak dibaca : iaitu perkataan, percakapan Nabi Muhammad s.a.w perbuatannya dan pengakuannya yang diambil oleh alim ulama’ daripada sahabat-sahabat Baginda. Kemudian mereka menyusunnya di dalam kitab - kitab yang dikenali dengan Al-hadis.

 

PANDUAN  Al-QURAN DAN Al-HADIS

 Kedua-duanya merupakan panduan bagi manusia untuk menuju kepada Allah s.w.t . Tanpanya manusia akan teraba - raba di dalam memenuhi kehendak nalurinya.Maksud dan tujuan ia diturunkan oleh Allah taala melalui Jibril ialah untuk membimbing manusia dengan nur wahyu tersebut supaya manusia tidak terjerumus ke dalam jurang kekufuran, kesyirikan dan kesesatan. Sabda Nabi s.a.w :

Maksudnya : Daripada Anas bin Malik yang meriwayatkannya secara mursal telah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua - duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.

Sumber wahyu daripada Al-Quran dan Al-Hadis juga dipanggil syariat . Ia diselidiki, dikaji dan disusun oleh para ulama dalam bentuk hukum - hakam dan sebagainya dan dinamakan dengan kitab tauhid, feqah dan tasauwwuf untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada manusia untuk kembali kepada tuntutan fitrah atau naluri beragama tauhid. Oleh itu ulama -ulama Muhaqqiqin telah mengariskan empat panduan yang mesti ditempuh oleh manusia untuk memenuhi fitrah dan mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya iaitu :

                 i.            Syariat

               ii.            Toriqat

             iii.            Hakikat

             iv.            Makrifat

 v  Ta’rif syariat ialah segala hukum - hakam yang diturunkan Allah kepada Rasulullah daripada Al-Quran dan Al-Sunnah secara nas dan dalil dan segala amalan yang dilakukan oleh anggota zahir iaitu seperti bacaan - bacaan wirid terutama sekali wirid zikir tariqat dan ibadat - ibadat zahir yang lain seperti solat fardhu dan sunat .

v  Ta’rif toriqat ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram dan makruh lebih-lebih lagi perkara yang harus dan melaksanakan perkara - perkara yang wajib dan sunat  sekadar  yang terdaya di bawah bimbingan seorang yang berpengalaman dan sampai kepada Allah  s.w.t (Arifbillah) sepertimana Rasulullah s.a.w membimbing sahabat – sahabatnya.

  v  Ta’rif haqiqat ialah terbuka hijab diantara seseorang dan diantara apa yang ia imani dengannya daripada zat Allah taala, sifat keagungan dan kebesaran Allah, hakikat kenabian, kesempurnaan dan keistimewaan para Nabi dan Rasul dan para sahabatnya, kedahsyatan hari qiamat dan lain-lain lagi seolah - olah beliau dapat melihat dan merasai dengan mata kepala .

  v  Ta’rif ma’rifah ialah pengenalan seseorang kepada Allah taala secara Haq (pengenalan yang tidak bercampur aduk dengan kekerohan jasad dan bersesuaian dengan pengakuan mereka di alam zuriat ketika Allah taala bertanya :

 “ Bukankah aku Tuhan kamu ?” jawab sekalian roh : “ Bahkan kami telah menyaksikan     engkaulah Tuhan kami ”.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

08 March 2009

Tawassul

(Al-maidah ayat 35)
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Tawassul ialah perantaraan. Dalam istilah tasawwuf, tawassul bermaksud perantaraan untuk membimbing mendekati Tuhan. 

Dalam sistem dunia, jika kita hendak berjumpa dengan sultan, perlulah kita berjumpa dengan ketua adat istiadat terlebih dahulu agar kita tidak tersalah adab dengan sultan. Kalau tersalah adab, sultan murka, padah hukumannya.  Kita perlu bimbingan dari ketua istiadat agar dia membimbing kita cara menghadap sultan dengan betul, cara bercakap dengan sultan, cara duduk, cara berdiri, cara makan, cara ketawa, cara meminta izin mengundur diri dan macam-macam lagi adab yg perlu dipatuhi.

Di dalam mengharungi perjalanan menuju kepada Allah s.w.t , seseorang itu memerlukan seorang yang Arifbillah untuk membimbingnya supaya dapat membersihkan diri daripada segala kekeruhan dan kekotoran hati sehingga dia sampai mengenal Allah s.wt. 

Allah s.w.t berfirman di dalam surah  Al-maidah ayat 35 :

“ Wahai orang-orang yang beriman takutlah kepada Allah dan carilah wasilah kepadanya ” Di dalam ayat tersebut Allah taala menyatakan dengan wasilah yang bermaksud rabitoh atau perantara. Kata Al-Imam Ibnu Kathir r.a :

  Wasilah ialah sesuatu yang dapat menyampaikan dengannya untuk menghasilkan maksud”  

Kata Imam Sayuti didalam Tafsir Al-Jalalain :

 “ Setiap sesuatu yang mendekatkan seseorang kepada Allah taala yang terdiri daripada ketaatan kepadanya ”.

Bagi golongan sufi, wasilah bermaksud seorang Arifbillah  yang mampu mentarbiah dan membimbing manusia untuk menggilapkan jiwa daripada nafsu-nafsu yang tercela sehingga ia dapat mengenal Allah taala dengan sebenar – benarnya. Mereka juga dikenali dengan Syeikh, Mursyid atau Murabbi. Tanpa bimbingan daripada mereka manusia akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Kata Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi di dalam kitab Tanwirul Qulub  :Sesiapa yang tiada guru yang membimbingnya maka syaitanlah yang menjadi gurunya.”

HUKUM BERWASILAH

Berwasilah kepada seorang Syeikh yang bersambung sanadnya sampai kepada Rasulullah s.a.w adalah wajib bagi mereka yang mahu mengharungi perjalanan mengenal Allah dengan sebenar - benarnya. Kata Syeikh Tajuddin Naqshabandi di dalam Risalah Al-Makiah : Ruj  : Sairus salikin Jilid 3, Abdul Samad Palembang :

 “ Mencari guru di dalam perjalanan ahli sufi adalah wajib ke atas setiap murid yang salik dan jikalau adalah ia daripada sebesar - besar ulama sekalipun ”.

Untuk renungan:
Orang awam bila buat salah ditegur oleh para ustaz. Bila ustaz buat salah siapa yang akan tegur mereka? Jawapan: Mereka akan ditegur oleh ulama' itupun jika mereka ada guru yg masih hidup yang melihat tindak tanduknya. Para ustaz sebenarnya  perlu berguru dengan Ulama'. Inilah maksud "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahat (kubur). 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

06 March 2009

KENANGAN DI DUNIA

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Tajuk Sajak: Kenangan di dunia
Oleh: Blog Ustaz Sufi

Apa yang ada pada harta pangkat dan rupa
Melainkan ia permainan dunia belaka
Permainan ini amatlah rugi
Bagi sesiapa yang melibatkan diri

Dunia tetap akan berubah
Menjadi layu dahulunya indah
Kulit yang licin akan berkedut
Jiwa yang kosong akan terkejut
Nikmat di dunia dikecapi sudah
Kemanisan iman dan ibadah tidaklah pernah

Tatkala maut datang menjelang
Jiwa yang hening menjadi girang
Menunggu pulang ke hadrat Ilahi
Penutup tirai lakonan azali

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

04 March 2009

Imam Sayuti r.a.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Nama sebenar: Abdul Rahman bin Abu Bakr As-Suyuti

 Imam As-Suyuti terkenal kerana alimnya dalam ilmu Hadis sehingga beliau digelar ‘Syeikhul Hadis’. Di samping itu beliau juga terkenal sebagai seorang yang diberi oleh Allah banyak Karamah.

 Kelebihan Imam Suyuti dalam ilmu Hadis menyebabkan beliau sering difitnah oleh orang-orang yang menaruh hasad terhadapnya.

 Di Mesir, beliau pernah memberi fatwa yang tidak disenangi oleh beberapa orang yang merasa bersalah akibat fatwanya itu. Mereka menghasut supaya beliau disakiti. Seorang lelaki telah memukulnya dan melemparkan beliau ke dalam sebuah kolam bersama pakaiannya. 

Imam Suyuti kemudian meninggalkan Mesir dan enggan datang lagi ke negeri itu, sementara orang yang memukulnya hidup melarat dan merasa lapar sepanjang waktu. Dia sentiasa berhutang dengan orang lain untuk membeli makanan, tetapi tidak berdaya membayar hutangnya. Setiap hari orang datang mengetuk pintunya menagih hutang, namun dia madsih berhutang dengan orang lain.

 Ada sekumpulan orang hendak menguji Karamah Imam Suyuti, lalu mereka meminta beliau menyatakan (menerusi kasyafnya) apa yang akan terjadi pada seorang penguasa daerah yang terkenal zalim terhadap rakyat di daerah itu.

 Imam Suyuti berkata, penguasa yang zalim itu pada sekian hari akan terbunuh dan akan diganti dengan orang yang namanya fulan bin fulan.

 Denagn niat buruk, mereka menyampaikan ramalan Imam Suyuti itu kepada penguasa yang zalim itu hingga penguasa itu memerintahkan orang-orangnya mencari Imam Suyuti untuk dihukum bunuh.

 Tetapi Imam Suyuti berjaya meluluskan dirinya dan tidak dapat dikesan selama 40 hari hingga penguasa yang zalim itu sendiri terbunuh dan diganti dengan penguasa yang lain.

 Syeikh Najmul Ghazi meriwayatkan dari seorang khadam Imam Suyuti yang bernama Muhammad bin Ali Al Hibak yang bercerita bahawa Imam Suyuti pernah berkata kepadanya : ‘Aku akan bawa engkau ke Masjid Al Haram untuk bersembahyang Asar, dengan syarat engkau tidak memberitahu sesiapa tentang hal ini sepanjang hayatku.’

 Khadam itu bersetuju mematuhi syarat tuannya itu. Maka Imam Suyuti pun memengang tangannya dan menyuruh dia memejamkan matanya. Kemudian dia ditarik oleh Imam Suyuti berjalan sejauh 27 langkah. Kemudian beliau disuruh membuka matanya. 

Kata khadam itu : ‘Masa aku membuka mata, aku lihat kami sedang berada di Ma’la dekat kuburan Siti Khadijah. Kami menziarahi kuburnya dan kubur Imam Fudhail bin Iyadh dan Sufyan bin Uyainah. Kemudian kami masuk ke Masjid Al Haram dan tawaf serta minum air Zam-zam. Bila sampai waktu Asar kami pun sembahyang Asar berjama’ah.

 Kemudian Imam Suyuti berkata : ‘Perjalanan kita dari Mesir ke Makkah ini tidak menghairankan. Lebih hairan, ada seorang Mesir yang duduk hampir dengan kita tapi tidak mengenal kita’.

 Imam Suyuti berkata : ‘Sekarang tugas kita di sini telah selesai. Jika kamu mahu tinggal di sini saya izinkan.’ Tetapi khadamnya lebih suka untuk pulang. Lalu Imam Suyuti memegang tangannya dan membawa dia berjalan tujuh langkah sambil memejamkan matanya.

 Bila dia membuka matanya, dilihatnya mereka sedang berada di daerah Juyusyi, di kota Khahirah. Dia mengikut Imam Suyuti ke Masjid Ibnu Tulun dengan menunggang keldainya.

 Salah seorang murid Imam Suyuti bernama Syeikh Abdul Qadir As-Syadhili meriwayatkan bahawa Imam Suyuti pernah berkata : ‘Aku pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga (bukan dalam mimpi). Aku dipanggilnya : ‘Wahai Syeikhul Hadis!’ Dan aku pernah bertanya : ‘Ya Rasulullah s.a.w. apakah aku termasuk ahli syurga?’ Rasulullah menjawab : ‘Ya benar.’ Aku bertanya lagi : ‘Tanpa diseksa dahulu?’ Baginda menjawab : ‘Ya, sesuka hatimu.’ 

Syeikh Abdul Qadir As-Syadhili pernah bertanya : ‘Wahai tuan guru, berapa kali tuan berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga?’ Imam Suyuti menjawab : ‘Lebih 70 kali.’

Imam Suyuti wafat di Kahirah, Mesir tahun 911 Hijriyah.

 Sila rujuk kitab2 terkenal dalam bahasa Arab:

1. Jamik Karamatul Aulia - Al Allamah Syeikh Yusuf bin Ismail an Nabhani

2. Tazdkiratul Aulia - Fariduddin Atar

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

AGAMA SAMAWI

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Zaman Nabi Adam a.s. (pertama) manusia menyembah Allah Ta'ala tanpa ada nama agama. Cara beribadah mengikut cara Nabi Adam a.s. dan segala hukum-hakam tidaklah dibukukan melainkan dalam ingatan setiap orang yg beriman (tulisan belum digunakan).

Zaman Nabi Ibrahim a.s. (ke-6), ajaran yg baginda bawa dikenali sebagai agama Hanif. Baginda dibekalkan dengan suhuf (kitab kecil) untuk memudahkan tugas dakwahnya. (Selain Nabi Ibrahim terdapat lagi nabi-nabi lain yang turut menerima suhuf ini seperti Nabi Idris, Nabi Syits dan Nabi Musa).

Zaman Nabi Musa a.s. (ke-14), dakwah baginda disokong dengan Kitab Taurat yang mengajar manusia tentang ibadah dan syariat.

Zaman Nabi Zakaria a.s., Yahya a.s. dan Isa a.s. ramai manusia telah kenal dengan agama Hanif dan berpegang dengan undang-undang syariat kitab Taurat. Malangnya hanya segelintir sahaja yang mengakui kenabian ketiga-tiga nabi tersebut. Mereka anggap nabi yang terdahulu lebih hebat dan perlu diikuti, sedangkan nabi yg sedang menjalankan tugas masih perlu diragui.

Hasad dengki yg datang dari ulama' Yahudi menyebabkan Nabi Zakaria a.s. dan Nabi Yahya a.s. di bunuh. Mereka juga berniat membunuh Nabi isa a.s. tetapi telah diselamatkan oleh Allah Ta'ala. Inilah kisah terakhir nabi dari kalangan Bani Israel (bangsa Yahudi).

Selepas zaman itu Nabi Muhammad dilantik oleh Allah Ta'ala (bangsa arab) untuk menyeru manusia mengenal Tuhan melalui nama agama"Islam", kitab "Al-Quran" dan syariat baru yg memansuhkan segala ajaran dan ktab yg terdahulu.

nota: agama Samawi ialah agama yg datang dari pihak langit iaitu agama yg bersumberkan wahyu dari Tuhan, bukan ciptaan manusia. Ini bermakna zaman dahulu nama agama tidak di "brand"kan tetapi ajarannya betul dan tepat serta ia diturunkan melalui malaikat Jibril a.s. kepada manusia yg Tuhan lantik (para Rasul). Tetapi agama samawi selain Tslam telah dipesongkan dan diubah kandungannya menyebabkan ianya dibatalkan oleh Tuhan. Agama tersebut ialah agama Kristian (kitab Taurat/ Old Testament dan agama Yahudi (Kitab Injil / new Testament).

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

02 March 2009

SANAD DAN SILSILAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

 Dalam ilmu Hadith kita membandingkan periwayat hadith yang kita sebut sebagai ahli sanad. (Sanad ialah sandaran ilmu yang diterima dari seseorang). Melalui nama ahli sanad kita dapat tahu tentang martabat hadith tersebut samada diterima atau ditolak. Jika hadith tersebut diterima dari seorang periwayat yang suka menipu, tentulah hadith tersebut ditolak, tidak boleh diamal bahkan haram meriwayatkannya kepada orang lain (haram menceritakan kandungan hadith tersebut kerana ditakuti ia bukan dari Rasulullah s.a.w. / rekaan orang biasa).

 Dalam ilmu tajwid ada sanad bacaan Al-Qur'an. Syeikh dan para qari Al-Quran menerima bacaan dari salah seorang ahli sanad qiraat 7 (qiraat saba'ah) hinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. dan Jibril a.s. Bacaan yang ada sanad menunjukkan bacaan itu betul dan tepat sepertimana yang didengar dan diterima dari Rasulullah s.a.w. melalui para sahabat baginda.

 Begitulah juga sanad tarekat. Sanad tarekat menunjukkan bimbingan dan didikan agama, penghayatan agama dan rahsia-rahsia kerohanian yang diterima adalah benar berpunca dari Rasulullah s.a.w. Ahli sanad yg juga merupakan syeikh tarekat / guru mursyid yang  pada awalnya menerima bimbingan yang betul dari gurunya terdahulu dan beramal dengannya sehingga berjaya membersihkan diri, menghayati Islam dan mengenal Tuhan sama seperti yang difahami oleh Rasulullah s.a.w.

 Kadangkala ada manusia yang cetek akalnya mahu memimpin tarekat. Dengan bermodalkan suara yang merdu, lidah yg petah berkata-kata terus mengumpulkan manusia dan mengangkat dirinya menjadi guru mursyid tanpa melalui proses mujahadah, asuhan, bimbingan dan latihan kerohanian. Dari sebab itulah kecelaruan menimpa nama baik tarekat.

 Kelayakan seseorang mursyid sebenarnya datang dari Tuhan. Tuhan yang lantik seseorang dan Tuhan jugalah yang memeliharanya dari diperbudakkan oleh budak-budaj dunia. Hanya mereka yang Tuhan lantik sahaja akan kekal menjalankan tugas berdakwah menyeru dan membimbing manusia mendekati Tuhan.

 Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

01 March 2009

Doa memohon perlindungan


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Demi kebesaran dan keagunganMu Ya Allah. Dengan kebesaran dan keberkatan mukjizat saiyidul mursalin nabi Muhammad s.a.w. Dengan keberkatan kesultanan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani dan karomah 56 para aulia’Mu yang bertugas di zaman ini kau peliharalah hambaMu ini yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa daripada kejahatan hawa nafsu, iblis, jin, manusia dan binatang.

Doa tulisan arab diatas maknanya:

Wahai Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penolong. Wahai Allah yang menjadikan langit dan bumi. Wahai Allah yang berkuasa melakukan apa yang Ia kehendaki, curahkanlah ke atas kami kesabaran serta tetapkanlah kaki-kaki kami dan bantulah kami mengatasi orang-orang kafir.

Kemudian lontarlah batu ke atas orang kafir zalim, dengan izin Allah, mereka akan jatuh tersungkur.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.