01 January 2009

TUAN TABAL - Kelantan



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Syeikh Abdus Shamad bin Muhammad Saleh q.s. – Tuan Tabal (1816 -1894)

Beliau ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani juga dikenali sebagai Tuan Tabal atau Tuan Kutan. Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi di kampong Tabal (sekarang Kg Tempoyak, Thailand), dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Bapa beliau adalah seorang imam. Apabila bapa beliau menyedari bakat beliau dalam bidang agama, pada umur 14 tahun beliau dihantar belajar di Patani yang terkenal sebagai pusat pengajian Islam. Beliau terkenal di kampungnya sebagai pemuda yang warak dan suka bertapa di bawah pokok cempaka di tengah sawah. Setelah memperoleh ilmu asas di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah.

Tuan Tabal dianugerahkan ilmu pada usia muda sehingga beliau dapat menulis kitab tasawuf bertajuk “Munabbihul Ghafilin” ketika berumur 28 tahun.

Tuan Tabal menerima Tarekat Ahmadiyah daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyid semasa beliau belajar di Mekah. Dipercayai bahawa Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan tarekat Ahmadiyah di Kelantan dan terutamanya di Nusantara kerana pada waktu itu rakan-rakan seperguruannya masih belum tamat pengajian di Mekah.

Apabila beliau pulang ke kampungnya, beliau segera mendirikan pondok sehinggalah nama beliau terkenal hingga ke Kota Bharu. Pada tahun 1870, kealiman beliau dalam bidang agama menyebabkan beliau dijemput mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu oleh Tok Semian (Wan Abdul Rahman - setiausaha Kerajaan Kelantan) yang kemudiannya menjadi mertua beliau.

Beliau mengajar tarekat secara terhad kepada anak-anak dan murid-murid beliau di Masjid Muhammadi, Kota Bharu kerana waktu itu tarekat masih lagi asing pada masyarakat melayu di sana. Disamping itu beliau juga membuka kelas pengajian sistem pondok di suraunya di Lorong Tok Semian, tidak jauh dari Masjid Muhammadi. Antara murinya yang terkenal ialah Tok Kenali. Beliau meninggal dunia pada tahun 1894 dan dikebumikan di perkuburan Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment