20 July 2009

SYEIKH IBRAHIM AR-RASHID Q.S. – (1813-1874)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Biografi ringkas ahli sanad tarekat Ahmadiyah

Beliau ialah Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Qahnibi Al-Rashid yang sampai nasabnya kepada Saidina ‘Aqil bin Abu Talib (abang kepada Saiyidina ‘Ali ibn Abu Talib) . Gelaran Ar-Rashid itu diberikan kepada beliau kerana beliau telah dikurniakan Allah keistimewaan menjadi ulama dan mengetahui segala ilmu aqaid, padahal umurnya masih muda lagi. Dilahirkan pada pertengahan Rejab tahun 1813 Masihi (1228 H) di wilayah Duwaih Sudan (berhampiran dengan bandar Khourtum).

Semasa kecilnya, ketika beliau sedang tidur, tiba-tiba datang cahaya yang mengejutkan hatinya. Beliau kemudian memberitahu ayahnya dan ayahnya menerangkan perihal mimpinya itu kepada ayahnya dan ayahnya menerangkan bahawa itu adalah merupakan hasil daripada karomah Syeikh Ahmad Idris. Sejak itu, beliau kerap teringat kepada Syeikh Ahmad Idris. Ayah beliau kemudiannya membawanya bertemu dengan Muhammad al-Mirghani, wakil Syeikh Ahmad Idris di Sudan pada waktu itu. Tetapi, Muhammad al-Mirghani tidak mahu mengajar tarekat Ahmadiah kepada beliau kerana itu adalah amanah dari gurunya. Oleh kerana hati beliau sangat ingin bertemu Syeikh Ahmad Idris, beliau bertolak ke tanah Hijaz, tetapi Syeikh tersebut telah mengembara ke Sabya, Yaman. Lalu beliau pun terus berlayar ke Yaman. Beliau tiba di Sabya pada waktu malam dan terus ke rumah Syeikh Ahmad Idris. Syeikh tersebut memberikan keistimewaan kepadanya dengan bermalam di rumah syeikh tersebut.

Beliau telah tinggal di Sabya selama 5 tahun dan 5 bulan untuk belajar dan berkhidmat kepada Syeikh Ahmad ibn Idris . Beliau merupakan salah satu murid Syeikh Ahmad Idris yang termuda. Hubungan beliau dengan Syeikh Ahmad ibn Idris dikatakan sangat rapat dan istimewa. Dikatakan bahawa Syeikh Ahmad bin Idris wafat dalam keadaan kepalanya terletak di atas lutut Syeikh Ibrahim Ar-Rashid (ada dikatakan peha atau dada menurut sesetengah riwayat yg lain).

Syeikh Ibrahim Ar-Rashid juga pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Dalam pertemuan itu, beliau telah menerima beberapa amalan zikir daripada Rasulullah s.a.w. Sebab itulah terdapat beberapa amalan Syeikh Ibrahim yang tidak pernah diajar oleh Syeikh Ahmad ibn Idris. Ia adalah amalan-amalan yang diterima secara langsung daripada Rasulullah tanpa perantaraan. Maka bertambahlah nisbah tarekat ini dengan sebagai tarekat Ahmadiyah Ar-Rashidiyah.

Beliau kemudiannya berpindah ke Mesir dan menubuhkan zawiyah di Luxor dan Donqola dan kemudiannya berpindah ke Mekah. Di Mekah, beliau menghadapi tuduhan menyeleweng dari ulama’ di sana. Tetapi situasi ini dapat dihadapi dengan tenang dan beliau berjaya membuktikan kebenaran amanah tarekat yang dipikulnya. Ini menyebabkan beliau lebih terkenal hinggalah rombongan haji dari India menziarahi beliau dan membanjiri zawiyahnya. Seorang pengikutnya dari India telah menghadiahkan kepadanya wang sebanyak 1000 rupiah bagi membesarkan lagi zawiyah beliau.

Syeikh Ibrahim al-Rashid meninggal dunia ketika berusia 63 tahun pada 9 Syaaban 1874 Masihi (1291 H). Beliau telah dikebumikan di kawasan perkuburan Ma’la di Makkah setelah disembahyangkan di Masjidil Haram.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment