09 February 2009

WAHDANIYYAH - ESA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ertinya: Esa Allah Ta’ala pada Zat, sifat dan perbuatan.

Esa pada zat: 

1. Zat Allah Ta’ala tidak tersusun daripada dua bahagian atau lebih yang boleh dibahagi-bahagi (ZatNya tidak boleh dibelah atau dikerat). (menafikan Kam Muttasil pada zat Allah Ta’ala). Berbeza dari makhluk yang mempunyai anggota badan, pokok yg mempunyai bahagian-bahagian (dahan, batang, daun dll).

2. Tiada zat lain seumpama Zat Allah (menafikan Kam Munfasil pada zat Allah Ta’ala)

Terdapat 5 kam yang mustahil bagi Allah Ta'ala:
1. Kam Muttasil pada zat
2. Kam Munfasil pada zat
3. Kam Muttasil pada sifat
4. Kam Munfasil pada sifat
5. Kam Munfasil pada afa’al

Kam Muttasil pada zat ialah jasad makhluk terbina / tersusun daripada beberapa juzuk (bahagian = kepala, badan, tangan, kaki dll). 

Kam Munfasil pada zat pula ialah berbilangnya jasad makhluk kepada beberapa unit yang sama (jasad Abu, Ali, Zaid lebih kurang serupa bentuknya, dari jenis yg sama iaitu manusia). 

Kedua-dua kam ini mustahil bagi Allah Ta’ala.

Esa pada sifat: 

1. Allah Ta’ala tidak mempunyai dua sifat atau lebih daripada jenis sifat yang sama contohnya 2 qudrat atau 3 qudrat. (menafikan Kam Muttasil pada sifat Allah Ta’ala).

2. Makhluk tidak ada sifat yang serupa seperti sifat qudrat Allah Ta’ala. Makhluk ada qudrat tetapi terbatas, tidak memberi manfaat atau mudharat dan tidak memberi kesan. (menafikan Kam Munfasil pada sifat Allah Ta’ala).

Esa pada Af’al: 

1. Allah Ta’ala tiada sekutu (rakan kongsi) dalam menjadikan mana-mana perbuatanNya. Makhluk tidak masuk campurtangan dalam urusan perbuatan Allah Ta’ala. (menafikan Kam Munfasil pada Af’al Allah Ta’ala).

2. Segala yang terjadi adalah perbuatan Allah Ta’ala. Bukan disebabkan oleh perbuatan makhluk contohnya api tidak memberi kesan bakar atau panas. Yang memberi kesan atau bekas hanyalah Allah Ta'ala (menafikan Kam Munfasil pada Af’al Allah Ta’ala).

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :
“Fikirlah kamu tentang segala kejadian dan janganlah kamu fikirkan tentang Tuhan Yang Maha Pencipta yang menjadikan sekelian makhluk kerana sesungguhnya Dia tidak dapat diliputi (digambarkan) oleh fikiran kamu”.

Apa sahaja persamaan antara Tuhan dan makhluk perlulah dinafikan kerana kesempurnaan pada makhluk adalah kekurangan jika ia ada pada pihak Tuhan. Contoh, jika ada 2 qudrat (kuasa) yg terhebat, mustahil keduanya sama hebat, maka ia akan mengurangkan kuasa salah satu darinya. jika ada kuasa yg sama dari tuhan A dan tuhan B, ini bermakna kuasa yg ada pada salah satu adalah lebih lemah berbanding yg lain. Atau jika kuasa tuhan A lebih kuat, maka kuasa tuhan B menjadi ancaman bagi kekuasaan A, kerana ia hampir sama hebat.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment