Showing posts with label presiden wali Allah. Show all posts
Showing posts with label presiden wali Allah. Show all posts

15 January 2009

KABINET WALI ALLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Susunan Ahli kabinet wali Allah
Jumlah bilangan ahli kabinet wali Allah ialah seramai 356 orang dan mereka mempunyai pangkat kedudukan masing-masing di sisi Allah. Pangkat tertinggi dalam kerajaan para wali ialah Ghaust atau Qutub, kemudian Mukhtarun, Nujaba, Akhyar atau Urafa, Abdal atau Autadul Ardi dan akhir sekali Nuqaba.

Dalil daripada riwayat Athar Sahabah
Susunan-susunan pangkat ini telah diriwayatkan oleh Al-khatib di dalam kitabnya, iaitu Tarikh Baghdad dan dalam kitab Ibnu Asakir, iaitu kitab Tarikh Syam. Kedua-duanya telah mengambil daripada Sanad Ubaidullah bin Muhammad Al-Abbasi yng menyatakan bahawa beliau telah mendengar Al-Kattani berkata :

“Bahawasanya seramai 300 orang berpangkat Nuqaba, 40 orang berpangkat Al-Abdal atau Autadul Ardi, 7 orang berpangkat Al-Akhyar atau Urafa, 5 orang berpangkat Annujaba, 3 orang berpangkat Al-mukhtarun dan yang seorang merupakan pimpinan tertinggi dalam kerajaan para wali yang berpangkat Qutbul-Alam atau Al-Ghaust.

Peranan yang lain atas seorang yang bergelar wali Allah
Antara peranan Al-ghaust dan Ahli Kabinet kerajaan para Wali yang lain, iaitu apabila berlaku musibah yang besar kepada ummat manusia ataupun hajat-hajat yang terhalang daripada orang-ramai seperti meminta diturunkan hujan pada saat kemarau yang teruk maka Annuqaba akan memohon kepada ALLAH S.W.T kemudian Al-Abdal, kemudian Al-Akhyar atau Urafa , kemudian Annujaba dan seterusnya Al-Mukhtarun lalu ALLAH S.W.T akan memperkenankan hajat mereka sekiranya tidak, maka barulah Qutub atau Ghaust berdoa kepada ALLAH S.W.T.

Al-Ghasut juga diberi mandat oleh ALLAH S.W.T membimbing sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh ALLAH S.W.T untuk melayakkan diri menyandang pangkat Waliyullah secara kerohanian dan memberi pangkat kepada mereka, iaitu pangkat Al-Mukhtarun, Annujaba, Al-Akhyar atau Urafa, Al-Abdal dan Annuqaba.

Maklumat terkini  mengatakan Kabinet wali Allah berjumlah 856 ahli, 500 berpangkat akhyar, 300 berpangkat abdal, 40 berpangkat autad, 7 nujaba, 5 nuqaba, 3 qutub dan 1 ghaus (presiden / perdana menteri).

Anda mungkin akan jumpa bilangan kabinet wali Allah yang berbeza dari kitab-kitab tasawuf. Sebenarnya komposisi kabinet wali Allah tertakluk kepada budibicara ghaust yg menentukan kerusi yang patut ada dan peranannya. Kadangkala wali abdal dikurangkan, tetapi wali akhyar ditambah. Semuanya atas rahmat Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

07 January 2009

GHAUST (PRESIDEN WALI ALLAH)


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ghaust adalah berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang bermaksud pertolongan atau bantuan. Perkataan Ghaust, Qutub dan Sultan merupakan satu ungkapan yang disandang oleh salah seorang Auliya illah yang menerajui tampuk pemerintahan para-para wali.

Peranan Wali yang bergelar Ghaust
Peranan Ghaust lebih besar daripada peranan Auliyaillah yang lain kerana dengan doanya kepada ALLAH S.W.T, manusia akan mendapat bantuan dan pertolongan. Jadi perkataan Ghaust ini diambil dari satu perkataan tersebut .

Peninggalan Nubuwwah diamanahkan kepada Al-Wilayah
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dengan sanad kepada Abu Hurairah Radiallahu anhu daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :

“Tidak sunyi bumi Allah ini daripada tiga puluh orang seperti Nabi Ibrahim Khalilurrahman kerana melalui mereka kamu diberi pertolongan dan melalui mereka kamu diberi rezeki serta melalui mereka, ALLAH S.W.T turunkan hujan kepada kamu ”.

Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w tidak ada lagi Nabi dan juga Rasul yang diutuskan. Pintu Nubuwwah telah tertutup, yang ada hanyalah Al-wilayah (kewaliyan). Merekalah yang mewarisi tugas Nabi-nabi dan Rasul-rasul sehingga turunnya Nabi Isa Alaihissalam dari langit.

Keyakinan Sufiyyah
Kaum Sufi meyakini kewujudan kerajaan Auliyaillah. Keyakinan kaum Sufi bukanlah suatu bentuk kepercayaan yang membuta tuli tanpa dalil, bahkan pastinya keyakinan ini bersumberkan daripada Hadis Nabi dan Athar Salaf. Turut menyumbang lagi keyakinan mereka ialah pengalaman-pengalaman yang ditempuh sendiri oleh mereka yang terpilih dalam kembara menuju kepada TUHAN. Pengalaman-pengalaman yang sedemikian itu terpahat dalam kitab-kitab Tasauf sepanjang zaman dan di seluruh pelusuk dunia Islam.

Bilangan Auliyaillah yang termaktub dalam Hadis Nabi dan Athar
Oleh sebab banyak jumlah Hadis Nabi dan Athar, sehingga menjadi seolah-olah satu kebodohan untuk tidak mempercayainya, kerana Hadis Nabi dan Athar telah mencapai kepada darjah Mutawatir. Kerajaan para Auliyaillah yang diterajui oleh Ghaust mempunyai 356 ahli kabinetnya. Bilangan itu telah tersebut dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Hafiz Abu Nu-aim dengan sanad daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu anhuu, iaitu sabda Rasulullah s.a.w :

“ Sesungguhnya bagi Allah pada makhluk ciptaanNya itu ada 300 orang, hati mereka di atas hati Nabi Adam Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 7 orang hati mereka di atas hati Nabi Ibrahim Alaihissalam dan bagi Allah pada makhluk ciptaannya itu ada 40 orang hati mereka di atas hati Nabi Musa Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 5 orang hati mereka di atas hati Jibril Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 3 orang hati mereka di atas hati Mikail Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 1 orang hati mereka di atas hati Israfil Alaihissalam .”

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.