Showing posts with label tingkat nafsu. Show all posts
Showing posts with label tingkat nafsu. Show all posts

13 February 2009

PUNCA JADI BAHLOL


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal sifat bahlol yang keluar dari nafsu bahlol ada tiga:

Yang pertama:

 Asal kejadian tanah, air api dan angin. Daripada asal kejadian inilah keluarnya segala penyakit-penyakit hati seperti takabbur, bakhil, ‘ujub, sum’ah, riak, ghadob (panas baan) dan lain lagi.

 

Yang kedua:

Asal kejadian “Main mahin” air yang hina, hinanya main mahin kerana tiga sebab.

        1– Hina kerana penciptanya mengatakan ia hina.

        2– Hinanya kerana keluar dari saluran najis

             Daripada alat yang sulit, hasil dari perhubungan yang sulit, sekiranya ia disentuh wudhu seseorang akan batal dan wajib mandi junub.

        3- Hinanya kerana ada titisan keturunan yang mungkin ada nenek moyang yang berdarah jin, pembunuh, perompak, penzina, tidak menunaikan sembahyang dan lain-lain lagi.


Yang ketiga:

 Jin atau syaitan yang berserta dan berdamping semenjak ia dilahirkan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَا مِنْكُمْ مِنْ اَحَدٍ اِلاَّ وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِيْنُهُ مِنَ الْجِنِّ وَقَرِيْنُهُ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ قَالُوْا: وَاِيَّاكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ. قال: وَاِيَّايَ وَلَكِنَّ اللهَ اَعَانَنِىْ عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلاَ يَأْمُرُنِيْ اِلاَّ بِخَيْرٍ.                                                     

 Ertinya: Tidak ada seorang pun daripada kamu wahai anak Adam melainkan diiringi bersamanya seorang kawan daripada jin atau syaitan ( namanya aharman) dan seorang kawan daripada malaikat (namanya Mulham). Para Sahabat bertanya: Engkau juga Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w : Aku pun sama juga, tetapi Allah telah membantu aku mengatasinya, maka dia memeluk islam. Dia tidak suruh aku melainkan perkara-perkara yang baik

                 Manusia yang bernafsu bahlol inilah yang tidak mahu menyempurnakan amanah Allah.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : اِنَّا عَرَضْنَا الأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ اَنْ يَحْمِلْنَهَا وَاَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوْمًا جَهُوْلاً.

سورة الأحزاب الأية: 72.

     Ertinya: Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi dan gunung ganang supaya menanggungnya tetapi mereka enggan menanggungnya kerana takut tidak dapat menyempurnakannya, tetapi manusia menanggungnya. Sesungguhnya manusia itu tersangat zalim dan tersangat jahil.

Dan manusia yang bernafsu bahlol ini juga Allah Ta’ala ungkapkan di dalam Al-Quran dengan berbagai-bagai ungkapan yang kesat,

 Thagha:  Melampaui batas.  (طَغَى)

 Kanud:   Tidak terima kasih.  (كَنُود)

 Zhalum: Tersangat Zolim. (ظَلُومٌ)

 Jahul:     Tersangat jahil. (جَهُولٌ)

 Ya us: Tersangat berputus asa.(يَأُوس)

 Kaffar dan Kafur:  Tersangat engkar. (كَفَّار \ كَفُّور)

 ‘Ajul: Tersangat gopoh. ( عَجُول)

 Khasim:  Suka berbalah. (خَصِيم)

Qatur:  Tidak pernah merasa cukup. (قَتُور)

Halu’a: Tersangat gelisah. (هَلُوعًا)

 Jazu’a:  tersangat cemas  (جَزُوعاً)

 Dan berbagai-bagai lagi kata-kata yang kesat.

Untuk keluar daripada cengkaman nafsu bahlol ini terpulanglah kepada kemahuan kesungguhan mujahadah kita sendiri. Firman Allah Ta’ala:

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُمَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوْا مَا بِأَنْفُسِهِمْ.

 سورة الرعد الأية: 11.                                     

Ertinya: sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka dengan sendiri.

                 Langkah pertama untuk kita buang sifat-sifat bahlol dan nafsu bahlol iaitu dengan fana fi as-syeikh, makna fana fi as-syeikh ialah: Ikut susunan Guru dan Murabbi dengan mematuhi segala susunan syariat dan thoriq. Seperti robot yang remote control berada di tangan tuannya, Kerana fana fi as-syeikh adalah permulaan untuk mengenal Allah. Inilah cara yang paling berkesan dan telah dipraktikkan oleh Nabi Yusuf a.s.

 Firman Allah Ta’ala:

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلاَ اَنْ رَّئَ بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَالِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوْءَ وَالْفَحْشَاءَ، إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِيْنَ. سورة يوسف الأية: 23.                                  

 Ertinya: Dan Sesungguhnya Zulaikha timbul perasaan keinginan kepada Yusuf dan Yusuf juga timbul perasaan keinginan kepada Zulaikha, kalaulah tidak ia (Yusuf a.s) melihat Burhan Tuhannya. Begitulah Kami hindarkan daripada Yusuf kejahatan dan perbuatan yang keji. Sesungguhnya dia daripada hamba-hamba Kami yang ikhlas.

                 Berkata kebanyakan Ulama Mufassirin makna “Burhan” di dalam ayat yang tersebut adalah: Datangnya rupa dan missal Nabi Yaakob a.s. Ketika itu lenyaplah perasaan keinginan Yusuf kepada Zulaikha.

                Begitulah Allah hindarkan kejahatan daripada Yusuf a.s. kerana fananya kepada bapanya yang menjadi murabbinya.

                Begitulah Allah Ta’ala akan hindarkan kita daripada sifat-sifat bahlol dan nafsu bahlol sekiranya kita fana fi as-syeikh .

 Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 January 2009

NAFSU NABIL


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Bahagian Nafsu yang kedua: Nafsu Nabil:

Makna nabil ialah: Asal kejadian yang baik, pintar dan bijak, sifat nafsu nabil adalah sentiasa taat dan patuh kepada Allah dan Rasul pada setiap detik dan saat, semasa hidup di dunia mereka sentiasa muhasabah diri mereka supaya tidak terjejas urusan akhirat. Dan mereka tidak pernah lalai membuat persiapan untuk negeri akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

اَلْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ.                 

Ertinya: Orang yang bijak itu orang yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal untuk selepas mati.

Nafsu Nabil terbahagi kepada empat jenis:

1-Nafsu Mutmainnah:

Nafsu yang telah mencapai kejernihan, dan telah bebas daripada belenggu nafsu-nafsu bahlol, namun begitu ia belum lagi dikira sebagai nafsu nabil, tetapi kelayakkannya sudah ada.

2-Nafsu Rodhiah.

3-Nafsu     Mardhiah.

4-Nafsu Kamilah.

 Firman Allah Ta’ala

:أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

يَاأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ. اِرْجِعِىْ اِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً. فَادْخُلِىْ فِىْ عِبَادِىْ. وَادْخُلِىْ جَنَّتِىْ. ( سورة الفجر الأية: 27-30.)                

Ertinya: Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh rasa redha lagi diredai, masuklah dalam kalangan hamba-hamba Ku dan masuklah ke dalam syurga Ku.

           Apabila kita dapat mencapai nafsu nabil, ketika itu muafakatlah diantara asal kejadian roh dengan kejadian jasad, ketika itu bebaslah jasad daripada belenggu nafsu bahlol.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

18 January 2009

KEJADIAN MANUSIA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal kejadian manusia daripada dua jenis:

Yang pertama : Roh

 Roh pula mempunyai dua pengertian:

     1– Roh Tabie iaitu: Suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung. Wap atau gas itu berjalan lancar ke seluruh bahagian urat saraf dalam tubuh badan manusia, Roh seumpama ini boleh juga dinamakan nyawa. Roh jenis ini sedikit pun tidak ada nilai di sisi Allah Ta’ala.

    2-Roh daripada alam kejadian keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah robbaniah. Roh jenis ini adalah satu jisim yang tersangat halus, bentuk rupanya samalah seperti rupa badan kasar, kejadian roh bahagian yang kedua ini tidak ada siapa pun mengetahui dari jenis apakah ia dijadikan dan bagaimana ia diramunkan.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ - وَيَسْأَلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّىْ. سورة الإسراء: الآية: 85.   

Ertinya: Dan mereka akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh, katakan olehmu roh itu adalah daripada urusan pekerjaan Tuhanku.

          Roh jenis ini (latiffah robbaniah) telah pun mengaku dan mengenal keEsaan, keAgongan dan keBesaran Allah Ta’ala dengan sepenuh-penuh Haqqul yaqin, ketika itu roh ini belum lagi disatukan dengan jasad.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوْا بَلَى شَهِدْنَا.     

 سورة الأعراف: الآية: 172.                                        

Ertinya: Allah bertanya kepada sekalian arwah-arwah bukankah Aku Tuhan kamu? Jawab mereka sekalian bahkan kami telah menyaksikan Engkaulah Tuhan kami.

          Asal kejadian roh inilah yang perlu kita ikut dan asal kejadian roh inilah yang perlu kita kembali, apabila roh itu disatukan dengan jasad.

          Roh (latiffah robbaniah) ini juga akan menjadi penilaian Allah Ta’ala setelah ia disatukan dengan jasad.

          Sekiranya roh ini tenggelam dengan kejadian jasad celakalah ia, dan sekiranya jasad muafakat dengan asal kejadian roh (latiffah robbaniah) maka berbahagialah dia.


Asal kejadian manusia yang kedua : Jasad

Jasad juga terbahagi kepada dua bahagian:

Yang pertama:

Jasad asal kejadian Nabi Adam a.s. daripada empat jenis, iaitu, tanah, air, api dan angin.

Yang kedua:

Jasad asal kejadian manusia selain daripada Nabi Adam a.s, iaitu diciptakan daripada air yang hina.

 Firman Allah Ta’ala:

      أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ :ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلاَلَةٍ مِّنْ مَّاءٍ مَهِيْنٍ.

 سورة السجدة: الأية: 8.                                      

Ertinya: Kemudian Allah jadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati daripada air yang hina.

           Daripada asal kejadian tanah, air, api dan angin. Dan asal kejadian air yang hina ini terbentuknya satu jisim yang sangat halus, iaitulah dinamakan nafsu.

Kerana nafsu inilah wahyu diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Dan kerana nafsu inilah para-para Aulia Allah dibangkitkan. Tujuannya ialah untuk membimbing nafsu supaya kembali kepada asal kejadian roh (latiffah robbaniah).

Nafsu terbahagi kepada dua jenis:

Yang pertama: Nafsu Bahlol.

Makna nafsu bahlol ialah: Asal kejadian yang suka loyar buruk dan bodoh.

Najisnya nafsu bahlol ini apabila urusan dunia, dia berusaha  dengan bersungguh-sungguh tidak kira siang dan malam. Tetapi apabila urusan ibadat dan akhirat dia malas dia hanya menaruh harapan yang menggunung kepada Allah, Sabda Rasulullah s.a.w. :

وَالْعَاجِزُ مَنِ اتَّبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ.                        

Ertinya: Orang yang bodoh itu orang yang mengikut kemahuan hawa nafsunya dan menaruh harapan kepada Allah.

         Semasa hidup di dunia ikut hawa nafsu, apabila mati hendak masuk syurga Allah, inilah sifat nafsu bahlol. 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

28 December 2008

NAFSU AMMARAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Semua manusia dilahirkan dalam keadaan tingkatan nafsu ammarah. Nafsu ini paling biadab dan tak kenal Tuhan. Pada awal kejadiannya, nafsu telah dihumban ke dalam neraka 400 tahun setelah ditanya beberapa kali tentang "siapa Aku, siapa engkau" oleh Tuhan. Nafsu yang biada menjawab "aku aku, Engkau Engkau". Sejahat-jahat iblis, dia kenal Tuhan, nak sesatkan anak Adam, dia mintak kepada Tuhan. Tapi nafsu amarah hanya usaha dan perasan.

Nafsu ini gemar dengan maksiat. Maksiat adalah rutin hidupnya. Kekufuran adalah sahabatnya. Kerana itulah jika orang Islam bernafsu ammarah akan rasa tenang duduk dalam majlis orang kafir dan bersahabat dengan mereka. (majlis maksiat spt konsert, joget, karaoke dll)

Nafsu ini suka loyar buruk dengan Tuhan. Lepas buat ibadah nak tuntut syurga kepada Tuhan, kononnya dia telah menjalankan ibadah yang fardhu tugas dengan bersusah payah dan layak diberikan pahala yg berganda-ganda. Sedangkan ibadah yg dilakukan bercampur lalai, riyak, ujub, hairan diri, ego, perasan dll maksiat hati.

Nafsu ini suka dengan benda yg busuk. Nafsu makan yg pelahap, cakap tak bertapis, lihat aurat orang lain, dengar nyanyian syaitan, langkah ke tempat maksiat dan melalaikan hati, syahwat yg tak terkawal seperti kucing yg menyebarkan air kencingnya ke banyak tempat.

Nafsu ini sangat gopoh ('ajalat). Bila timbul masalah, diselesaikan secara gopoh ikut andaian fikiran bukan dengan munajat kepada Tuhan. Lalu timbullah banyak krisis seperti bergaduh bertumbuk, saman menyaman, pembunuhan dan pengebom berani mati dll. Jauh sekali untuk menginsafi diri dan mengakui kesilapan diri.

Di akhirat tempat orang yang bernafsu ammarah adalah neraka yang menyala-nyala yg layak untuk mensucikan kekotoran hati dan kebiadaban nafsu.

Pengajaran: Ukurlah iman dan Islam anda dengan kayu ukur sufi, barulah layak untuk anda akui dah jadi orang Islam yg sejati dan dah beriman dgn keyakinan yg teguh. Janganlah buat andaian dan perasan dah Islam hanya dengan setitis ilmu dan sumbangan serta ibadah yg lalai dari mengingati Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.