Showing posts with label sanad. Show all posts
Showing posts with label sanad. Show all posts

02 September 2009

Sanad Zahiri & Sanad Uwaisi


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sanad bermaksud tempat sandaran/rujukan. Silsilah pula ialah rantai. Dari segi istilah dalam ilmu Tasawuf, sanad & silsilah dirujuk sebagai nama orang yang disandarkan asuhan dan didikan turun temurun, dari satu guru kepada muridnya. Kemudian muridnya pula menjadi guru dan seterusnya mengasuh anak muridnya yang baru sepertimana dia menerima asuhan dari gurunya yang lalu.

Kerana itulah nama saya tidak akan saya catat dalam sanad tarekat kerana saya tidak memimpin tarekat walaupun saya menerima asuhan dari guru mursyid yang mempunyai sanad. Dalam kata lain, setakat ini saya masih belum mencapai makrifatullah. Jika sampai pun, belum tentu saya akan memimpin tarekat. wallahu a'lam.

Makna "akhoza" (mengambil tarekat) ialah terima tarekat, beramal hingga berjaya mencapai makrifatullah sebagaimana syeikh Ahmad Idris diasuh oleh gurunya iaitu Syeikh Abul Qosim r.a. Kemudian Syeikh Ahmad Idris mengasuh muridnya Syeikh Ibrahim Ar-Rasyid r.a. Ini dinamakan lafaz sanad zahiri (iaitu dapat ditulis nama susunan guru-murid).

Walaubagaimanapun terdapat sesetengah syeikh yang menerima asuhan melalui jalan rohani sepertimana Uwais al-Qarni menerima asuhan terus daripada Rasulullah s.a.w. walaupun tanpa bersemuka / berjumpa jasad. Begitu juga dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani yang diasuh oleh Nabi Khidir a.s. dalam alam rohani walaupun hidup berlainan zaman. (Alam rohani bermaksud ruh bertemu ruh). Asuhan sebegini disebut sebagai sanad uwaisi. Perkara ini di ingkari oleh ahli tarekat yang tidak sampai kepada makrifah kerana mereka masih berpegang dengan zahir sanad. Kerana itulah Uwais al-Qarni merahsiakannya dari umat Islam dizamannya. Sedangkan kita telah akui, jika Tuhan menghendaki sesuatu pasti ia akan terjadi, tiada yang mustahil di alam ini jika dikehendaki Allah ia terjadi.

Malangnya sanad uwaisi ini telah dipermainkan oleh golongan ahli sufi tiruan. Mereka mendakwa menerima asuhan yg sama seperti uwais tetapi berakhlak seperti Abu Jahal. golongan inilah yg ditentang oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani seperti yg beliau catat dalam Kitab Sirrul Asrar.

Terkadang boleh jadi juga seseorang menerima 2 asuhan iaitu sanad zahiri dan sanad uwaisi serentak dalam hidupnya. Seperti
"Syeikh Ibrahim Ar-Rashid juga pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Dalam pertemuan itu, beliau telah menerima beberapa amalan zikir daripada Rasulullah s.a.w. Sebab itulah terdapat beberapa amalan Syeikh Ibrahim yang tidak pernah diajar oleh Syeikh Ahmad ibn Idris. Ia adalah amalan-amalan yang diterima secara langsung daripada Rasulullah tanpa perantaraan."

Cuma sanad zahir adalah adab zahiriah yang biasa berlaku ke atas tokoh-tokoh sufi terkemuka. Manakala jika seseorang itu hanya menerima sanad uwaisi, kebiasaannya dia akan lebih banyak menyendiri dan tidak dikenali.

Wajib bagi orang yang hendak berjalan mengambil sanad (asuhan) dari guru yang mursyid yang telah sampai kepada makrifatullah. Sebagaimana hukum dunia yang mewajibkan seseorang berguru dalam proses belajar memandu kereta untuk lulus ujian JPJ dan untuk dapatkan kemahiran memandu dengan betul, bukan setakat membaca buku "panduan memandu".

Sempurna atau tidak perjalanan kerohanian seseorang guru tidaklah dapat diketahui melalui pancaindera yang 5, ia hanya dapat diketahui oleh Allah, rasul dan para awliya' sahaja yang mengetahui. Sepertimana kata pepatah "hanya intan mengenal manikam". Jika kita jujur dan lurus hati kepada Tuhan, solat hajat-doa dan munajat adalah cara terbaik untuk mendapatkan kasih sayang panduan istikharah dari Allah Ta'ala.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

14 July 2009

Sanad Tarekat

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Semua tarekat di dalam dunia ini sanad silsilahnya hanya sampai kepada dua orang sahabat iaitu Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saiyidina Ali Karamallah Wajhah. Ini bukanlah bermakna para sahabat yang lain tidak membawa perjalanan Sufiyah. Ini adalah kerana kedua mereka ini merangkumi segenap aspek.

Saiyidina Abu Bakar mendapat kesufian kerana dia yang awal-awal memeluk Islam dan dia terlalu kasih dan rapat terhadap Rasulullah s.a.w. Dia juga banyak , membuat pengorbanan di dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.

Saiyidina Ali Karamallah Wajhah mendapat kesufian sewaktu peperangan Uhud. Apabila beliau mendengar berita bahawa Rasulullah s.a.w. telah terbunuh di dalam pertempuran tersebut (berita palsu yang sengaja di buat oleh musyrikin untuk melemahkan orang mukmin). Dia pun terus memecut kudanya dengan sekuat-kuatnya untuk menyerbu kafir musyrikin. Dia hendak bunuh semua kafir musyrikin biar seorang pun tidak tinggal di bumi Allah. Allah s.w.t. menjadikan debu-debu yang berterbangan daripada kuda Saiyidina Ali malaikat-malaikat. Bila orang kafir melihat perkara tersebut mereka pun lari bertempiaran. Inilah perjalanan sufi. Asyidda’u A’lal Kuffar. Ruhama’ Bainahum (tidak tunduk kepada kekufuran dalam segenap aspek. Menunaikan dan memelihara hak-hak mukmin dan muslim).

Yang dikatakan Sanad Silsilah ialah kita berperibadi, beriman dan bertakwa sama seperti Ahli Silsilah (Para Aulia’) yang lebih dahulu daripada kita. Bukannya hanya ada pada tulisan sahaja. (Silsilah ialah rantaian hubungan daripada satu orang guru kepada satu orang hingga kepada Tabi’-ul-Tabien, Tabien- Sahabat sampailah kepada Rasulullah s.a.w hingga kepada Jibril terus kepada Allah).

Punca-punca yang merosakkan kesufian adalah disebabkan ilmu yang bercampur aduk dengan kejinan seperti puak bathiniah-zindiq dan tarikat yang tidak sampai kepada hakikat dan makrifat.

Tarekat Ahmadiyah
Tariqah Ahmadiyah yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Idris terkenal di Maghribi dan di sebahagian dunia islam sebagai Tarekat Idrisiyah kerana untuk membezakannya dengan Tarekat Ahmadiah di Mesir yang di asaskan oleh Syeikh Ahmad al-Badawi (1199-1276M) dan juga dengan Ahmadiyah Qadiyani satu ajaran sesat yang berasal daripada India yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiyani.

Sanad Tarekat Ahmadiah adalah seperti berikut:

1. Saidina Rasulullah s.a.w.
2. Saidina Ali bin Abi Thalib r.a.
3. Qutub Saidina Hassan r.a.– anaknya sendiri.
4. Abu Muhammad Jabir. r.a.
5. Al-Qutub Said Al-Ghazwani. r.a.
6. Al-Qutub Fathus Saud. r.a.
7. Al-Qutub Saad r.a.
8. Wali Qutub Said r.a.
9. Qutub Ahmad Al-Mirwani r.a.
10. Qutub Ibrahim Al-Basri r.a.
11. Qutub Zainuddin Al-Ghazwaini r.a.
12. Qutub Syamsuddin r.a.
13. Qutub Tajuddin r.a.
14. Qutub Nuruddin r.a.
15. Qutub Fakruddin r.a.
16. Qutub Tuqaiyuddin r.a.
17. Qutub Abdul Rahman Al-Madani r.a.
18. Qutub Ul Kabir (yang besar) Maulai/Maulana Abdussalam bin Masyis r.a.
19. Qutub yang terkenal Abul Hassan Asy-Syazili r.a.
20. Khalifahnya Abul Abbas Al-Mirsi r.a.
21. AlArif yang besar Sidi Daud Al-Bakhili r.a.
22. Al-Arif Sidi Muhammad Wafa Bahrul Sofa-(Lautan kesucian) r.a.
23. Al-Arif Sidi Ali bin Wafa r.a.
24. Wali yang terkenal Sidi Yahya Al-Qodiri r.a.
25. Wali yang terkenal Ahmad bin Uqbah Al-Hadrami r.a.
26. Wali yang besar Sidi Ahmad bin Zaruq r.a.
27. Sidi Ahmad bin Yunus r.a.
28. Sidi Ali bin Abdullah r.a.
29. Sidi As-Syeikh Abul Qossim Al-Wazir Al-Ghozi r.a.
30. Sidi Syeikh Ahmad bin Idris r.a.
31. Sidi Ibrahim Ar-Rasyid r.a.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.