27 January 2009

TAREKAT AHMADIYAH (Syeikh Ahmad Badawi)


(gambar: makam Syeikh Ahmad Badawi)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Pengasas tareqat ini ialah Sheikh Abu Fatayan Ahmad bin Ali bin Ibrahim bin Muhammad bin Abi Bakar Al-Badawi. Beliau dilahirkan di bandar Fas pada tahun 596 Hijrah. Semasa berusia 4 tahun, beliau telah berpindah dengan ibu bapanya ke Mekah dan menetap di sana sehingga ibu-bapanya meninggal dunia. Semasa berada di Mekah, beliau telah dapat menghafal Al-Quran dan belajar ilmu dalam Mazhab Imam Syafei. Kemudian beliau pergi ke Mesir dan tinggal di Tanta, iaitu di atas sutuh di sebuah rumah. Pernah beliau tidak menjamah makanan dan minuman selama 40 hari. Keadaannya senantiasa berdiri melihat ke langit sehingga matanya menjadi seperti bara api. Di atas sutuh itulah anak-anak muridnya datang untuk mendengar syarahan khususiah. Beliau wafat pada 675 Hijrah. Tareqat beliau berkembang pesat di Mesir khususnya dan di merata pelusuk negara Islam termasuklah Negara Malaysia.

(Ada 2 tarekat Ahmadiyah, lagi satu dari Syeikh Ahmad Idris yg berasal dari Maghribi, beliau lebih terkenal dengan nama tarekat Idrisiah di timur tengah, tetapi terkenal dengan nama Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah di Malaysia )

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 January 2009

NAFSU NABIL


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Bahagian Nafsu yang kedua: Nafsu Nabil:

Makna nabil ialah: Asal kejadian yang baik, pintar dan bijak, sifat nafsu nabil adalah sentiasa taat dan patuh kepada Allah dan Rasul pada setiap detik dan saat, semasa hidup di dunia mereka sentiasa muhasabah diri mereka supaya tidak terjejas urusan akhirat. Dan mereka tidak pernah lalai membuat persiapan untuk negeri akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

اَلْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ.                 

Ertinya: Orang yang bijak itu orang yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal untuk selepas mati.

Nafsu Nabil terbahagi kepada empat jenis:

1-Nafsu Mutmainnah:

Nafsu yang telah mencapai kejernihan, dan telah bebas daripada belenggu nafsu-nafsu bahlol, namun begitu ia belum lagi dikira sebagai nafsu nabil, tetapi kelayakkannya sudah ada.

2-Nafsu Rodhiah.

3-Nafsu     Mardhiah.

4-Nafsu Kamilah.

 Firman Allah Ta’ala

:أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

يَاأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ. اِرْجِعِىْ اِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً. فَادْخُلِىْ فِىْ عِبَادِىْ. وَادْخُلِىْ جَنَّتِىْ. ( سورة الفجر الأية: 27-30.)                

Ertinya: Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh rasa redha lagi diredai, masuklah dalam kalangan hamba-hamba Ku dan masuklah ke dalam syurga Ku.

           Apabila kita dapat mencapai nafsu nabil, ketika itu muafakatlah diantara asal kejadian roh dengan kejadian jasad, ketika itu bebaslah jasad daripada belenggu nafsu bahlol.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

23 January 2009

SIFAT BAQA' - kekal


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Qidam beerti kekal. Allah Ta'ala Maha Kekal kewujudanNya. Dia tidak akan binasa selama-lamanya. Kewujudan Tuhan tidak akan berakhir, mustahil ada kesudahan dan pengakhiran kewujudanNya.

Sedangkan makhluk ada akhiran. Setiap yg hidup (dikalangan makhluk) pasti akan merasai mati (hilang kuasa, hancur jasad, tidak berdaya dialam akhirat).Walaubagaimanapun, ada 8 perkara yg akan kekal tiada akhir iaitu:
1. Arays (Istana Tuhan)
2. Kursi (Singgahsana Tuhan)
3. Neraka (Api yg menyala)
4. Syurga (Taman yg indah)
5. Ajbu zanbi (benih anak Adam)
6. Roh
7. Luh Mahfuz (papan tulis di langit)
8. Qalam (pena di langit)
Lapan perkara ini ada permulaan tetapi tiada kesudahan berdasarkan dalil dari Quran dan Hadith.

Nota: KITA SUKA MENGINGATI HARI KELAHIRAN SENDIRI TETAPI KENAPA KITA LUPA PADA HARI KEMATIAN?

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

21 January 2009

TAREKAT QODIRIYAH


(gambar : makam Syeikh Abdul Qadir Jilani)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Tariqat Sufi merupakan tunggak Sejarah Islam
Apabila disebut sahaja orang-orang sufi, maka yang akan terlintas bahawa tentulah orang- orang sufi ini berpegang kepada mana-mana Tareqat. Begitulah rapatnya hubungan Sufi dengan Tareqat.

Ta’rif atau makna Tareqat
Ta’rif atau makna tareqat dari segi bahasa ialah jalan dan dari segi istilah bermaksud orang-orang sufi ialah jalan yang khusus untuk orang-orang yang hendak berjalan menuju Allah. Tanpa tareqat pasti seseorang itu akan teraba-raba kerana tareqat menunjukkan bagaimana cara hendak berjalan menuju kepada Allah.

Kemunculan Tareqat
Selepas kurun ke-5 Hijrah, banyak tareqat-tareqat yang muncul dalam dunia Islam. Kebiasaannya setiap tareqat itu disandarkan kepada nama pengasasnya. Setiap aliran tareqat yang muncul, telahpun mencipta tunggak sejarah Islam khususnya di negara kewujudannya

Pengasas-pengasas tareqat
Berikut adalah serba ringkas riwayat hidup sebahagian daripada aliran tareqat yang masyur, yang telah mencipta tunggak sejarah Islam.

1). Tarekat Qodiriyyah :
Pengasas tareqat ini ialah Sheikh Muhyiddin Abdul Qoder Al-Jilani. Beliau telah dilahirkan di Jilan, iaitu satu daerah di Tobaristan pada tahun 470 Hijrah. Beliau dibesarkan di Jilan hingga berusia 18 tahun. Selepas itu beliau telah berhijrah ke Baghdad. Di Baghdad beliau telah memulai belajar ilmu pengetahuan dalam bidang syariat dan menjalani mujahadah dan latihan kerohanian bawah perhatian dan bimbingan gurunya, iaitu Sheikh Hammad Dabbas. Sehinggalah beliau mencapai kemajuan kerohanian yang tinggi, maka beliaupun kembali kepada manusia dan mengajar mereka ilmu-ilmu syariat dan hakikat. Beliau telah mencurah bakti kepada manusia dengan menyampaikan pengajaran selama 40 tahun dan beliau telah wafat pada tahun 561 Hijrah di Baghdad. Tareqat beliau berkembang pesat di tanah Arab, benua India, Pakistan, Afrika,Chechan, dan seluruh Negara Islam termasuklah Negara Malaysia.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

18 January 2009

KEJADIAN MANUSIA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal kejadian manusia daripada dua jenis:

Yang pertama : Roh

 Roh pula mempunyai dua pengertian:

     1– Roh Tabie iaitu: Suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung. Wap atau gas itu berjalan lancar ke seluruh bahagian urat saraf dalam tubuh badan manusia, Roh seumpama ini boleh juga dinamakan nyawa. Roh jenis ini sedikit pun tidak ada nilai di sisi Allah Ta’ala.

    2-Roh daripada alam kejadian keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah robbaniah. Roh jenis ini adalah satu jisim yang tersangat halus, bentuk rupanya samalah seperti rupa badan kasar, kejadian roh bahagian yang kedua ini tidak ada siapa pun mengetahui dari jenis apakah ia dijadikan dan bagaimana ia diramunkan.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ - وَيَسْأَلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّىْ. سورة الإسراء: الآية: 85.   

Ertinya: Dan mereka akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh, katakan olehmu roh itu adalah daripada urusan pekerjaan Tuhanku.

          Roh jenis ini (latiffah robbaniah) telah pun mengaku dan mengenal keEsaan, keAgongan dan keBesaran Allah Ta’ala dengan sepenuh-penuh Haqqul yaqin, ketika itu roh ini belum lagi disatukan dengan jasad.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوْا بَلَى شَهِدْنَا.     

 سورة الأعراف: الآية: 172.                                        

Ertinya: Allah bertanya kepada sekalian arwah-arwah bukankah Aku Tuhan kamu? Jawab mereka sekalian bahkan kami telah menyaksikan Engkaulah Tuhan kami.

          Asal kejadian roh inilah yang perlu kita ikut dan asal kejadian roh inilah yang perlu kita kembali, apabila roh itu disatukan dengan jasad.

          Roh (latiffah robbaniah) ini juga akan menjadi penilaian Allah Ta’ala setelah ia disatukan dengan jasad.

          Sekiranya roh ini tenggelam dengan kejadian jasad celakalah ia, dan sekiranya jasad muafakat dengan asal kejadian roh (latiffah robbaniah) maka berbahagialah dia.


Asal kejadian manusia yang kedua : Jasad

Jasad juga terbahagi kepada dua bahagian:

Yang pertama:

Jasad asal kejadian Nabi Adam a.s. daripada empat jenis, iaitu, tanah, air, api dan angin.

Yang kedua:

Jasad asal kejadian manusia selain daripada Nabi Adam a.s, iaitu diciptakan daripada air yang hina.

 Firman Allah Ta’ala:

      أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ :ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلاَلَةٍ مِّنْ مَّاءٍ مَهِيْنٍ.

 سورة السجدة: الأية: 8.                                      

Ertinya: Kemudian Allah jadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati daripada air yang hina.

           Daripada asal kejadian tanah, air, api dan angin. Dan asal kejadian air yang hina ini terbentuknya satu jisim yang sangat halus, iaitulah dinamakan nafsu.

Kerana nafsu inilah wahyu diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Dan kerana nafsu inilah para-para Aulia Allah dibangkitkan. Tujuannya ialah untuk membimbing nafsu supaya kembali kepada asal kejadian roh (latiffah robbaniah).

Nafsu terbahagi kepada dua jenis:

Yang pertama: Nafsu Bahlol.

Makna nafsu bahlol ialah: Asal kejadian yang suka loyar buruk dan bodoh.

Najisnya nafsu bahlol ini apabila urusan dunia, dia berusaha  dengan bersungguh-sungguh tidak kira siang dan malam. Tetapi apabila urusan ibadat dan akhirat dia malas dia hanya menaruh harapan yang menggunung kepada Allah, Sabda Rasulullah s.a.w. :

وَالْعَاجِزُ مَنِ اتَّبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ.                        

Ertinya: Orang yang bodoh itu orang yang mengikut kemahuan hawa nafsunya dan menaruh harapan kepada Allah.

         Semasa hidup di dunia ikut hawa nafsu, apabila mati hendak masuk syurga Allah, inilah sifat nafsu bahlol. 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

15 January 2009

KABINET WALI ALLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Susunan Ahli kabinet wali Allah
Jumlah bilangan ahli kabinet wali Allah ialah seramai 356 orang dan mereka mempunyai pangkat kedudukan masing-masing di sisi Allah. Pangkat tertinggi dalam kerajaan para wali ialah Ghaust atau Qutub, kemudian Mukhtarun, Nujaba, Akhyar atau Urafa, Abdal atau Autadul Ardi dan akhir sekali Nuqaba.

Dalil daripada riwayat Athar Sahabah
Susunan-susunan pangkat ini telah diriwayatkan oleh Al-khatib di dalam kitabnya, iaitu Tarikh Baghdad dan dalam kitab Ibnu Asakir, iaitu kitab Tarikh Syam. Kedua-duanya telah mengambil daripada Sanad Ubaidullah bin Muhammad Al-Abbasi yng menyatakan bahawa beliau telah mendengar Al-Kattani berkata :

“Bahawasanya seramai 300 orang berpangkat Nuqaba, 40 orang berpangkat Al-Abdal atau Autadul Ardi, 7 orang berpangkat Al-Akhyar atau Urafa, 5 orang berpangkat Annujaba, 3 orang berpangkat Al-mukhtarun dan yang seorang merupakan pimpinan tertinggi dalam kerajaan para wali yang berpangkat Qutbul-Alam atau Al-Ghaust.

Peranan yang lain atas seorang yang bergelar wali Allah
Antara peranan Al-ghaust dan Ahli Kabinet kerajaan para Wali yang lain, iaitu apabila berlaku musibah yang besar kepada ummat manusia ataupun hajat-hajat yang terhalang daripada orang-ramai seperti meminta diturunkan hujan pada saat kemarau yang teruk maka Annuqaba akan memohon kepada ALLAH S.W.T kemudian Al-Abdal, kemudian Al-Akhyar atau Urafa , kemudian Annujaba dan seterusnya Al-Mukhtarun lalu ALLAH S.W.T akan memperkenankan hajat mereka sekiranya tidak, maka barulah Qutub atau Ghaust berdoa kepada ALLAH S.W.T.

Al-Ghasut juga diberi mandat oleh ALLAH S.W.T membimbing sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh ALLAH S.W.T untuk melayakkan diri menyandang pangkat Waliyullah secara kerohanian dan memberi pangkat kepada mereka, iaitu pangkat Al-Mukhtarun, Annujaba, Al-Akhyar atau Urafa, Al-Abdal dan Annuqaba.

Maklumat terkini  mengatakan Kabinet wali Allah berjumlah 856 ahli, 500 berpangkat akhyar, 300 berpangkat abdal, 40 berpangkat autad, 7 nujaba, 5 nuqaba, 3 qutub dan 1 ghaus (presiden / perdana menteri).

Anda mungkin akan jumpa bilangan kabinet wali Allah yang berbeza dari kitab-kitab tasawuf. Sebenarnya komposisi kabinet wali Allah tertakluk kepada budibicara ghaust yg menentukan kerusi yang patut ada dan peranannya. Kadangkala wali abdal dikurangkan, tetapi wali akhyar ditambah. Semuanya atas rahmat Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

12 January 2009

WALI SONGO (Sembilan wali)



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Tahun lepas, saya berkesempatan menziarahi makam sunan gunung jati di Cirebon, Jawa Barat. Sambil mengenang perjuangan mereka menyebarkan Islam melalui tradisi kesufian, mengikis pengaruh hindu buddha yang memakan iman penduduk di sana.

Sungguh aneh bin ajaib apabila orang pantai timur Malaysia mempertikaikan kewujudan wali songo dan meragui sumbangan mereka kepada Islam. Padahal majlis ilmu dan ceramah sentiasa dihadiri. Inilah hasilnya apabila ahli agama menyembunyikan kebenaran. Malah mereka menyembunyikan kesan-kesan perjuangan ahli sufi di tanahair mereka sendiri.

“Walisongo” bermaksud sembilan orang wali. Mereka adalah Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Dradjad, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria, dan Sunan Gunung Jati. Mereka tidak hidup pd waktu yg sama. Tp mereka mempunyai hubungan, sama ada saudara, sahabat, mahupun guru-murid.

- Maulana Malik Ibrahim adlh yg tertua.
- Sunan Ampel adlh anak Maulana Malik Ibrahim.
- Sunan Giri adalah anak saudara Maulana Malik Ibrahim juga sepupu Sunan Ampel.
- Sunan Bonang dan Sunan Drajad adlh anak Sunan Ampel.
- Sunan Kalijaga merupakan sahabat serta murid Sunan Bonang.
- Sunan Muria anak Sunan Kalijaga.
- Sunan Kudus murid Sunan Kalijaga.
- Sunan Gunung Jati adalah sahabat para Sunan lain, kecuali Maulana Malik Ibrahim yg lebih dahulu meninggal.

Mereka tinggal di pantai utara Jawa dr awal abad 15 hingga pertengahan abad 16, di tiga wilayah penting. Yakni Surabaya-Gresik-Lamongan di Jawa Timur, Demak-Kudus-Muria di Jawa Tengah, serta Cirebon di Jawa Barat. Mereka adlh para intelektual yg menjadi pembaharu masyarakat pd masa itu. Mereka memperkenalkan pelbagai bentuk peradaban baru: mulai dari kesihatan, bercucuk tanam, berniaga, kebudayaan dan kesenian, kemasyarakatan hingga pemerintahan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

08 January 2009

SIFAT QIDAM - Sedia Ada


(gambar: putaran kehidupan / daur)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Qidam ertinya sedia ada iaitu kewujudan Allah Ta'ala tidak didahului oleh tiada. Memang Tuhan telah sedia ada sejak azali (masa lalu yg tidak ada awal). Kewujudan Tuhan juga tidak disebabkan oleh sesuatu sebab.

Berbanding makhluk yg ada permulaan, iaitu permulaan kewujudannya seperti permulaan manusia dari setitis air mani yg hina (keluar dari lubang najis air kencing). Kewujudan manusia juga disebabkan hasil perkongsian hidup ibubapa mereka.

sifat Qadim menafikan DAUR DAN TASALSUL

DAUR: putaran kejadian. contoh A jadikan B. B jadikan C. C jadikan A. Ia seperti proses kejadian pokok yg terhasil dari benih kemudian jadi pokok, kemudian jadi buah yg ada biji benih didalamnya.

TASALSUL: rantaian kejadian. contoh A dijadikan oleh Z. Z dijadikan oleh Y. Y dijadikan oleh X seterusnya hingga tiada kesudahan permulaan.

DAUR adalah mustahil bagi Tuhan kerana ia membayangkan kejadian yg saling memerlukan. Ini mustahil bagi Tuhan Yg Maha Kuasa dan Maha Berdiri Sendiri.

TASALSUL adalah mustahil bagi Tuhan kerana ia membayangkan kejadian yg tidak tahu pokok pangkal / asal usul. Ini mustahil bagi Tuhan Yg Maha Esa yg tidak ada sesuatupun yg sebanding denganNya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

07 January 2009

GHAUST (PRESIDEN WALI ALLAH)


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ghaust adalah berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang bermaksud pertolongan atau bantuan. Perkataan Ghaust, Qutub dan Sultan merupakan satu ungkapan yang disandang oleh salah seorang Auliya illah yang menerajui tampuk pemerintahan para-para wali.

Peranan Wali yang bergelar Ghaust
Peranan Ghaust lebih besar daripada peranan Auliyaillah yang lain kerana dengan doanya kepada ALLAH S.W.T, manusia akan mendapat bantuan dan pertolongan. Jadi perkataan Ghaust ini diambil dari satu perkataan tersebut .

Peninggalan Nubuwwah diamanahkan kepada Al-Wilayah
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dengan sanad kepada Abu Hurairah Radiallahu anhu daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :

“Tidak sunyi bumi Allah ini daripada tiga puluh orang seperti Nabi Ibrahim Khalilurrahman kerana melalui mereka kamu diberi pertolongan dan melalui mereka kamu diberi rezeki serta melalui mereka, ALLAH S.W.T turunkan hujan kepada kamu ”.

Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w tidak ada lagi Nabi dan juga Rasul yang diutuskan. Pintu Nubuwwah telah tertutup, yang ada hanyalah Al-wilayah (kewaliyan). Merekalah yang mewarisi tugas Nabi-nabi dan Rasul-rasul sehingga turunnya Nabi Isa Alaihissalam dari langit.

Keyakinan Sufiyyah
Kaum Sufi meyakini kewujudan kerajaan Auliyaillah. Keyakinan kaum Sufi bukanlah suatu bentuk kepercayaan yang membuta tuli tanpa dalil, bahkan pastinya keyakinan ini bersumberkan daripada Hadis Nabi dan Athar Salaf. Turut menyumbang lagi keyakinan mereka ialah pengalaman-pengalaman yang ditempuh sendiri oleh mereka yang terpilih dalam kembara menuju kepada TUHAN. Pengalaman-pengalaman yang sedemikian itu terpahat dalam kitab-kitab Tasauf sepanjang zaman dan di seluruh pelusuk dunia Islam.

Bilangan Auliyaillah yang termaktub dalam Hadis Nabi dan Athar
Oleh sebab banyak jumlah Hadis Nabi dan Athar, sehingga menjadi seolah-olah satu kebodohan untuk tidak mempercayainya, kerana Hadis Nabi dan Athar telah mencapai kepada darjah Mutawatir. Kerajaan para Auliyaillah yang diterajui oleh Ghaust mempunyai 356 ahli kabinetnya. Bilangan itu telah tersebut dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Hafiz Abu Nu-aim dengan sanad daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu anhuu, iaitu sabda Rasulullah s.a.w :

“ Sesungguhnya bagi Allah pada makhluk ciptaanNya itu ada 300 orang, hati mereka di atas hati Nabi Adam Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 7 orang hati mereka di atas hati Nabi Ibrahim Alaihissalam dan bagi Allah pada makhluk ciptaannya itu ada 40 orang hati mereka di atas hati Nabi Musa Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 5 orang hati mereka di atas hati Jibril Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 3 orang hati mereka di atas hati Mikail Alaihissalam dan bagi ALLAH S.W.T pada makhluk ciptaanNya itu ada 1 orang hati mereka di atas hati Israfil Alaihissalam .”

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

06 January 2009

BACAAN ASAS TASAWUF







Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Disini saya nak kongsi judul buku yang saya kerap baca bagi memahami asas ilmu tasawuf. Ia adalah bacaan tambahan selepas mendengar nasihat dan syarahan dari guru Murobbi dan bersuhbah dengan orang soleh.

Seorang telah berjumpa dengan Hasan al-Basri dan bertanya kenapa dirinya tidak dapat rasa kelazatan beribadah. Lalu Hasan al-Basri menjawab "Agaknya engkau melihat dengan pandangan mereka yang tidak takutkan Allah". Ini bermakna kita kena ambil ilmu dari alim ulama' serta para ustaz yang takutkan Allah.

Tanda orang yg takutkan Allah:
1. Berhati-hati ketika bercakap
2. Banyak diam dan beribadah
3. Selalu buat baik lalu menangis
4. Gemar duduk bersendirian dan bersuluk
5. Jauhi yg haram, makruh, syubhat dan sia-sia

Jika anda ada duit lebih, jangan belanjakannya dengan membeli DVD, tiket wayang, tukar handset yg terkini. Tetapi luangkanlah sedikit duit untuk membeli kitab Tasawuf yg akan menambah kefahaman anda tentang cara mendekati Allah. Insya-Allah anda tidak akan menyesal selama-lamanya apabila membacanya.

Note:
1. Mukasyafatul Qulub (Penyingkapan hati) terbitan pustaka nasional singapore. (RM 57)- Mengandungi kupasan tentang sifat-sifat yg baik, yg buruk dan kisah orang soleh bagi memahami keadaan kedua sifat tersebut.

2. Mengenal diri dan wali Allah - terbitan pustaka aman, Kelantan (RM 8)- Mengandungi asas ilmu tasawuf dan tarekat serta pengenalan tentang perwatakan wali Allah.

3. Untaian kisah para wali Allah - terbitan pustaka nasional singapore (RM 47)- Mengandungi kisah orang soleh, wali Allah dan karomah yg akan membuatkan anda menitis air mata bila membacanya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

03 January 2009

ASAL USUL SUFISM


(gambar diatas : wali songo di Indonesia)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Orang yang pertama dinamakan Sufi
Ada tertulis di dalam kitab “Kashfuz Zunun” orang yang mula-mula dinamakan Sufi ialah Abu Hasyim As-Sufi yang telah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah.

Peranan sufiyyah dalam menyebarkan agama Islam

Peranan sufiyyah dalam syariat Islam
Orang-orang sufi bukanlah seperti yang disangkakan oleh pengkritik dan penentang mereka. Mereka bukan hanya tahu menumpukan sepenuh masa dengan ibadah kepada Allah ataupun mengasingkan diri mereka daripada manusia, bahkan orang-orang sufi bergiat cergas dalam keseluruhan aspek syariat Islam yang terdiri daripada ibadah I’tiqad (pegangan tauhid), ibadah dalam akhlak, ibadah dalam ibadat, ibadah dalam mua’malat, ibadah dalam munakahat (nikah kahwin), ibadah dalam mua’syarat (pergaulan) dan ibadah dalam jinayat (hukum qisas dan hudud). Mereka melaksanakan seluruh aspek syariat Islam ini dengan jaya.

Sumbangan Sufiyyah dalam menyebarkan agama Islam
Dalam catatan sejarah perkembangan Islam dan dakwah Islamiah di seluruh dunia , orang-orang sufi juga telah memberi sumbangan yang cukup besar dalam menyebar dan mengembangkan agama Allah. Sumbangan ini ada yang berbentuk karya penulisan yang boleh kita dapat lihat sehingga ke hari ini, iaitu contohnya Imam Al-Ghazali dengan hasil karyanya dan Sheikh Abdul Qoder Al-Jilani dengan hasil karyanya dan Imam Ibnu Arabi dengan karyanya. Ramai lagi penulis-penulis sufi yang terdiri daripada ulama-ulama besar yang ternama dan masyhur.

Kepelbagaian sumbangan Sufiyyah
Ada antara orang-orang sufi ini yang memberi sumbangan mereka dalam bentuk puisi contohnya seperti Al-Imam Jalaluddin Al-Rumi, Sa’di dan ramai lagi. Ada antara mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara seperti Sultan Murad dan anaknya Sultan Muhammad Al-Fateh dan ada antara mereka yang menjadi panglima di medan peperangan seperti Sheikh Omar Mukhtar dan Sheikh Abdul Qoder Al-Jazair. Pendek kata segala tuntutan fardhu kifayah telah dilaksanakan oleh orang-orang sufi. Dalam catatan sejarah juga ada disebutkan, iaitu tersebarnya agama Islam bermula daripada Empayar Turki hingga ke Balkan dan Benua Afrika, adalah hasil kerja keras orang-orang sufi.

Sumbangan Sufiyyah di Asia Tenggara
Di Nusantara, perkembangan dakwah Islamiah kita juga tidak kurang hebatnya. Perkembangan dakwah Islamiah ini dipelopori oleh orang-orang sufi yang bergiat cergas menyebarkan agama Islam seperti Wali Sembilan ataupun Wali Songo di Indonesia, Sheikh Abdul Malik, iaitu penterjemah kitab Al-Hikam yang juga terkenal dengan panggilan Tok Pulau Manis di Malaysia, Sheikh Habib Noh di Singapura dan ramai lagi tokoh-tokoh sufi yang bergiat cergas dalam mengembang dan menyebarkan agama Islam yang suci ini ke seluruh alam sejagat .

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

02 January 2009

ASAL USUL TASAWUF


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal-usul Tasauf

Tasauf berasal daripada perkataan yang menunjukkan satu golongan Sufi.
Berbagai-bagai pendapat dan pandangan telah dikemukakan oleh alim ulama. Asal perkataan tasauf ada ulama yang berpendapat :

Oleh sebab orang-orang sufi mengutamakan kebersihan hati, maka perkataan tasauf diambil dari “Sofa” yang bermaksud bersih.
Oleh sebab orang-orang sufi menjadikan ahlu suffah sebagai ikutan mereka, maka ada yang berpendapat bahawa asal perkataan suffah berasal daripada ahlu suffah yang bermaksud penghuni Masjid Nabawi.
Oleh sebab orang-orang sufi suka memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu, maka ada yang berpendapat bahawa asal perkataan Suf ini bermaksud bulu biri-biri.
Beraneka pandangan dan pendapat yang dikemukakan alim ulama tentang asal-usul tasauf. Namun semuanya itu adalah perbezaan pendapat tentang asal-usul perkataan tasauf dan semua ini bukanlah pokok perbahasannya.

Tujuan atau matlamat tasauf
Tujuan utama tasauf adalah untuk membersihkan hati dan diri serta memperbaiki akhlak supaya sampai kepada maqam ihsan. Itulah pokok perbahasan tasauf yang sebenar.

Tidak ada alasan untuk menolak tasauf
Sebahagian manusia menolak sekeras-kerasnya perkataan tasauf itu digunakan. Alasan mereka ialah kerana perkataan itu tidak terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w dan pada zaman sahabat radiallahu anhum. Alasan itu sedikitpun tidak berasas kerana banyak lagi terdapat perkataan-perkataan yang lain yang diguna pakai secara meluas sebagai istilah-istilah dan ungkapan dalam syariat Islam, sedangkan kesemuanya tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallahuanhum.

Para sahabat nabi adalah suffiyyah
Para-para sahabat radiallahu anhum walaupun mereka tidak menamakan diri mereka orang-orang sufi hakikatnya perbuatan dan tingkah laku mereka adalah sufi kerana asas tasauf bukan terletak pada nama tetapi terletak pada kehidupan dan penghayatan seseorang yang dibuat kerana Allah dan untuk Allah. Mereka menghabiskan masa mereka dengan zuhud dan ubudiyyah, serta memberi tumpuan sepenuhnya setiap waktu dalam sehari dengan menumpukan ruh mereka kepada ALLAH S.W.T.

Pandangan Ulama tentang ahli tasauf
Telah berkata Ibnu Khaldun dalam kitab Muqaddimahnya:
“Ilmu tasauf ini, terkandung dalam ilmu syariat yang ada dalam agama. Asal-usul perjalanan orang-orang sufi telahpun wujud semenjak zaman sahabat, tabi’in dan salafussoleh. Jalan ini juga adalah satu jalan yang benar lagi mendapat petunjuk”.
Katanya lagi,
“Asal perjalanan mereka ,(ahli tasauf) iaitu memberi sepenuh tumpuan ibadah kepada ALLAH S.W.T dan berpaling daripada perhiasan dunia dan apa yang orang ramai cari yang terdiri daripada kelazatan, harta benda, pangkat dan mereka mengasingkan diri daripada manusia untuk beribadah kepada ALLAH S.W.T”.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

01 January 2009

TUAN TABAL - Kelantan



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Syeikh Abdus Shamad bin Muhammad Saleh q.s. – Tuan Tabal (1816 -1894)

Beliau ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani juga dikenali sebagai Tuan Tabal atau Tuan Kutan. Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi di kampong Tabal (sekarang Kg Tempoyak, Thailand), dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Bapa beliau adalah seorang imam. Apabila bapa beliau menyedari bakat beliau dalam bidang agama, pada umur 14 tahun beliau dihantar belajar di Patani yang terkenal sebagai pusat pengajian Islam. Beliau terkenal di kampungnya sebagai pemuda yang warak dan suka bertapa di bawah pokok cempaka di tengah sawah. Setelah memperoleh ilmu asas di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah.

Tuan Tabal dianugerahkan ilmu pada usia muda sehingga beliau dapat menulis kitab tasawuf bertajuk “Munabbihul Ghafilin” ketika berumur 28 tahun.

Tuan Tabal menerima Tarekat Ahmadiyah daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyid semasa beliau belajar di Mekah. Dipercayai bahawa Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan tarekat Ahmadiyah di Kelantan dan terutamanya di Nusantara kerana pada waktu itu rakan-rakan seperguruannya masih belum tamat pengajian di Mekah.

Apabila beliau pulang ke kampungnya, beliau segera mendirikan pondok sehinggalah nama beliau terkenal hingga ke Kota Bharu. Pada tahun 1870, kealiman beliau dalam bidang agama menyebabkan beliau dijemput mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu oleh Tok Semian (Wan Abdul Rahman - setiausaha Kerajaan Kelantan) yang kemudiannya menjadi mertua beliau.

Beliau mengajar tarekat secara terhad kepada anak-anak dan murid-murid beliau di Masjid Muhammadi, Kota Bharu kerana waktu itu tarekat masih lagi asing pada masyarakat melayu di sana. Disamping itu beliau juga membuka kelas pengajian sistem pondok di suraunya di Lorong Tok Semian, tidak jauh dari Masjid Muhammadi. Antara murinya yang terkenal ialah Tok Kenali. Beliau meninggal dunia pada tahun 1894 dan dikebumikan di perkuburan Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.