31 December 2008

DANA AKHIRAT



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ertinya: Bahkan kamu lebih mementingkan kehidupan di dunia, sedangkan kehidupan di akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

Daripada ayat yang dibaca sebentar tadi Allah Ta’ala menceritakan keadaan sebahagian manusia, mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini, sedangkan kehidupan akhirat yang kekal abadi sedikitpun tidak dihiraukan.
Perkataan dana sering kali kita dengar, di mana sahaja, samaada orang perseorangan ataupun agensi kerajaan dan swasta, berbagai-bagai cara dan usaha dilakukan untuk mengumpul dana, buah fikiran diperah, mesyuarat demi mesyuarat diadakan perjumpaan demi perjumpaan dilakukan, tujuannya ialah untuk mencari jalan bagaimana cara untuk mengumpul dana dengan sebanyak-banyaknya. Dengan adanya dana yang melimpah ruah, orang perseorangan, agensi kerajaan dan swasta akan tenggelam di dalam lautan angan-angan. Mereka menyangka segala kebaikkan dan kejayaan akan dapat diperolehi, namun begitu jarang sekali kita mendengar orang perseorangan, jauh sekali agensi kerajaan dan swasta yang memperkatakan dan berbincang tentang dana untuk Negeri Akhirat yang kekal abadi.

Tetapi bagi orang yang mempunyai iman dan akal yang waras mereka sentiasa berfikir siang dan malam bagaimana cara dan jalan untuk mengumpul dana akhirat yang kekal abadi, berbeza dengan dana dunia yang menjadi tempat persinggahan sementara.

Mereka mengambil sekadar keperluan sahaja.
Oleh itu pepatah syair ada berkata:

Makanan orang fakir apa yang ada *
Pakaiannya sekadar menutup aurat.

Berkata Imam Ghazali Rahimahullah: Dunia ini boleh diibaratkan seperti sebuah pulau yang penuh dengan beraneka permainan, keseronokan, keindahan, kecantikan, dan bekalan.
Dan manusia diibaratkan seperti penumpang-penumpang yang sedang belayar di dalam sebuah kapal untuk menuju kepada satu destinasi, maka kapal itu singgah sebentar di pulau itu supaya penumpangnya dapat mengambil bekalan dan mengumpul dana dengan secukupnya. Sebelum penumpang-penumpang turun ke pulau itu kapten kapal memberi penerangan kepada penumpang-penumpang supaya sentiasa ingat dan berwaspada ketika berada di pulau itu, jangan sekali-kali terleka kepada keindahan, kecantikan, dan keseronokan, tujuan penumpang-penumpang turun ke pulau hanyalah untuk mengambil bekalan dan mengumpul dana sebanyak mungkin yang boleh.
Para penumpang yang turun daripada kapal ke pulau itu ada tiga golongan:

1– Mereka yang turun serta sentiasa ingat dan berwaspada, matlamat tujuan mereka turun hanyalah untuk mengambil bekalan dan mengumpul dana, maka mereka berusaha bersungguh-sungguh mengumpul bekalan dan dana dengan sebaik-baiknya.

2– Mereka yang turun, kemudian terpukau dengan keindahan, kecantikan, keseronokan yang ada di pulau itu, mereka lupa matlamat tujuan asal mereka hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana kemudian apabila waktu kapal berangkat sudah hampir barulah mereka sedar dari kelalaian mereka.

3– Mereka yang turun kemudian terus terpukau dan leka dengan kecantikan, keindahan, keseronokan yang ada di pulau itu, mereka lupa selupa-lupanya matlamat tujuan mereka, keadaan begitu berterusan sehinggalah kapten kapal meniup wisel tanda kapal akan berangkat. Ketika itu barulah mereka sedar dan menyesal, matlamat tujuan mereka turun hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana bukan menikmati keindahan dan kecantikan pulau, tetapi kesedaran dan penyesalan mereka sudah tidak berguna lagi.

Begitulah keadaan manusia yang dihantar oleh Allah Ta’ala ke dunia ini, ada yang sentiasa ingat dan berwaspada matlamat tujuan asal mereka hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana. Ada juga golongan manusia yang dihantar yang pada mulanya leka dan terpukau dengan keindahan, kecantikan, dan keseronokan dunia, kemudian sedar sebelum datangnya kematian. Ada pula yang terus leka dan terpukau dengan keindahan, kecantikan, dan keseronokan dunia sehingga ajal datang menjemput mereka, ketika itu barulah sedar dan menyesal.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

30 December 2008

VIDEO ZIKRULLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Para sahabat Rasullullah s.a.w. berzikir dengan suara yg kuat sehingga orang dapat tahu bahawa mereka telah selesai bersolat apabila mendengar mereka berzikir. Para sahabat juga berzikir dengan menggoyangkan badan seperti pokok yg ditiup angin. 

 Disini saya sambungkan kepada video klip yang mempamerkan suasana suara orang berzikir dikalangan ahli tarekat. Perkara ini telah biasa di dunia arab kerana telah datang sebelum ini ulama' sufi yang mempamerkan perkara ini dimata masyarakat.

Cuma di Malaysia ia masih baru. Cuma pada zaman Syeikh Muhammad Sa'id bin Jamaluddin al-Linggi (1875 -1926) sahaja yg berani dan ada kekuatan mempamerkan tarekat secara terbuka. Insya Allah, tak lama lagi perkara ini akan jadi biasa bagi masyarakat malaysia.

ZIKIR 1


ZIKIR 2


ZIKIR 3


ZIKIR 4


ZIKIR 5


Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

28 December 2008

NAFSU AMMARAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Semua manusia dilahirkan dalam keadaan tingkatan nafsu ammarah. Nafsu ini paling biadab dan tak kenal Tuhan. Pada awal kejadiannya, nafsu telah dihumban ke dalam neraka 400 tahun setelah ditanya beberapa kali tentang "siapa Aku, siapa engkau" oleh Tuhan. Nafsu yang biada menjawab "aku aku, Engkau Engkau". Sejahat-jahat iblis, dia kenal Tuhan, nak sesatkan anak Adam, dia mintak kepada Tuhan. Tapi nafsu amarah hanya usaha dan perasan.

Nafsu ini gemar dengan maksiat. Maksiat adalah rutin hidupnya. Kekufuran adalah sahabatnya. Kerana itulah jika orang Islam bernafsu ammarah akan rasa tenang duduk dalam majlis orang kafir dan bersahabat dengan mereka. (majlis maksiat spt konsert, joget, karaoke dll)

Nafsu ini suka loyar buruk dengan Tuhan. Lepas buat ibadah nak tuntut syurga kepada Tuhan, kononnya dia telah menjalankan ibadah yang fardhu tugas dengan bersusah payah dan layak diberikan pahala yg berganda-ganda. Sedangkan ibadah yg dilakukan bercampur lalai, riyak, ujub, hairan diri, ego, perasan dll maksiat hati.

Nafsu ini suka dengan benda yg busuk. Nafsu makan yg pelahap, cakap tak bertapis, lihat aurat orang lain, dengar nyanyian syaitan, langkah ke tempat maksiat dan melalaikan hati, syahwat yg tak terkawal seperti kucing yg menyebarkan air kencingnya ke banyak tempat.

Nafsu ini sangat gopoh ('ajalat). Bila timbul masalah, diselesaikan secara gopoh ikut andaian fikiran bukan dengan munajat kepada Tuhan. Lalu timbullah banyak krisis seperti bergaduh bertumbuk, saman menyaman, pembunuhan dan pengebom berani mati dll. Jauh sekali untuk menginsafi diri dan mengakui kesilapan diri.

Di akhirat tempat orang yang bernafsu ammarah adalah neraka yang menyala-nyala yg layak untuk mensucikan kekotoran hati dan kebiadaban nafsu.

Pengajaran: Ukurlah iman dan Islam anda dengan kayu ukur sufi, barulah layak untuk anda akui dah jadi orang Islam yg sejati dan dah beriman dgn keyakinan yg teguh. Janganlah buat andaian dan perasan dah Islam hanya dengan setitis ilmu dan sumbangan serta ibadah yg lalai dari mengingati Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

27 December 2008

SYARIAT, TAREKAT, HAKIKAT


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

SYARIAT: Segala hukum hakam yang Allah s.wt. wahyukan kepada Nabi dan Rasul. Syariat difahami oleh para ulama dengan cara belajar, kajian dan ijtihad.

TAREKATkita mengamalkan syariat dengan bersungguh-sungguh iaitu melakukan yang wajib, sunat sekadar mampu, meninggalkan yang haram dan makruh serta menjauhi yang sia-sia dibawah asuhan seorang a’rif billah sebagaimana para sahabat mengamalkan syariat dibawah bimbingan dan asuhan seorang arif billah yang paling sempurna dan agung iaitu junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. 

HAKIKAT: Terbuka hijab kepada perkara perkara ghaib (samiyyat) yg kita imani sebelum ini. seperti pengalaman dapat mencium bau syurga, melihat arasy Tuhan dll.

Contoh perumpamaan:

SYARIAT: Kita mendengar cerita orang ramai tentang bandar Kota Bharu, Kelantan. Di sana ada Masjid Muhammadi yg berusia ratusan tahun, ada pasar siti khadijah yg menempatkan ramai peniaga wanita, keropok lekor yang enak. Jalan menuju ke sana penuh liku dan berbukit-bukit. Perlu kenderaan yang "sihat" dan tenaga lebih untuk memandunya. (Semuanya berkisar tentang cerita dan pengalaman orang bagaimana untuk sampai ke sana dan apa yg ada di sana. Kadang-kadang kita dengar cerita dari orang yg tak pernah sampai ke sana)

TAREKAT: Kita mulakan perjalanan ke sana dengan menaiki kenderaan sendiri, memandu siang-malam, menempuh bukit, simpang, selekoh, hujan, panas dll untuk sampai. (Kita rasai sendiri kepayahan menempuh jalan berdasarkan petunjuk yg telah diberi oleh orang yg pernah sampai ke sana)

HAKIKAT: Kita telah selamat sampai ke Kota Bharu dan menyaksikan sendiri suasana, keadaan disana serta berjumpa dengan orang-orang disana. Dijamu dengan keropok lekor segar. (Penyaksian keadaan sebenar dengan mata kepala kita sendiri dan merasai dengan lidah mulut sendiri perkara-perkara yang sebelum ini hanya didengari dari orang yg pernah sampai di sini)

Ketika inilah kita akan tersenyum apabila teringat kembali kata -kata orang mengaku pernah sampai sedangkan gambaran yg mereka berikan sebenarnya hanyalah andaian dongeng logik otak mereka yg bernafsu ammarah.

Pengajaran: Ambillah agama dari para wali Allah yg telah berjaya mendekati Allah dan dibukakan hijab alam ghaib serta mempunyai bukti karomah (kemuliaan di sisiNya) bukan andaian kosong yg perasan dah beriman. Kamu takkan menyesal selama-lamanya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 December 2008

SUMBANGAN KEPADA AGAMA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Umur berlalu begitu sahaja. Kita hidup aman, makan lauk sedap, rasa senang dengan harta, kereta, rumah, tanah ladang, anak, isteri dan perniagaan yang sentiasa menyenangkan hati. Setiap hari memikirkan bagaimana caranya untuk menambah keselesaan hidup dan menceriakan hidup dengan keseronokan dan hiburan samada yg halal, yg haram, yg makruh atau yg sia-sia.

Sedikit sangat manusia yg ingin menyusahkan diri hadir ke masjid, membantu imam membersihkan masjid, mencantikkan halaman masjid dengan bungaan, mengelap habuk yg melekat di tingkap dll. Seolah-olah "masjid bukan rumah aku". Sedangkan Tuhan sentiasa menunggu kita menziarahi rumahNya agar Tuhan dapat kurniakan anugerah iman.

Sedikit sangat juga manusia yg ingin berkongsi kesusahan dan kepayahan dengan para Wali Allah untuk menyebarkan "cara hidup kesufian seperti yg Rasulullah s.a.w. tunjukkan".  Boleh saja para sahabat duduk diam dan biarkan Nabi seorang buat kerja menyebarkan agama dan membantu agama. Tetapi hati mereka bukan macam tu. Mereka sangat kasih kpd nabi. Setiap hati tak senang duduk diam, mereka memikirkan bagaimana untuk memudahkan manusia memahami Islam dan mendapat iman.

Jika kita mengaku kita mencintai para Allah Ta'ala, Rasululllah s.a.w. dan para  wali Allah, tetapi kita membiarkan perjuangan mereka tanpa sedikit pun risau dan kesian, bermakna kita belum lagi mencintai mereka. Layakkah kita berhimpun dengan mereka di Padang Mahsyar kelak serta mengaku "kami sebahagian dari tentera Tuan"? 

Sebenarnya jika kita kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan para wali Allah, kita perlulah bantu mereka mengembangkan lagi Islam dan meramaikan orang beriman dengan mengajak mereka beribadah.

Jika kamu membantu Allah, Allah akan membantu kamu dengan menguatkan iman kamu. Tuhan tak perlukan bantuan makhluk untuk hidup, berkuasa dll. Tetapi mafhum ayat Al-Quran tersebut mengajak manusia yg beriman agar membantu para Wali Allah (yg Tuhan lantik) menjalankan tugas mereka meramaikan orang yang beriman dengan mengajak mereka mendekati Tuhan. Jika kita buat tak tahu, Tuhan akan pilih orang lain yg ambil tahu dan menganugerahkan kepada mereka keteguhan iman.


Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

08 December 2008

QASIDAH BURDAH vs NASYID MODEN

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Qasidah Burdah dikarang oleh ulama' Morocco iaitu Muhammad bin Said al-Bushiri (608 - 696H) abad ke 7 hijrah, beliau ditimpa lumpuh sebelah badan walaupun sehingga ramai doktor di zamannya berputus asa dari mengubatinya. Lalu beliau dapat ilham untuk mengarang sebuah qasidah (syair) yang memuji Rasulullah s.a.w. Dengan badan yang lemah, beliau mengarang sedikit demi sedikt hingga mencapai 161 bait (rangkap). Sebaik sahaja beliau tamat menulisnya, beliau tertidur dan bermimpi diziarahi oleh Rasulullah s.a.w. lalu baginda menyapukan tangannya yang mulia di atas badan imam al-Bushiri dengan selendang (dalam bahasa arab disebut "burdah").

Lantas beliau terjaga dan mendapati badannya telah pulih sihat seperti biasa seolah-olah tidak pernah ditimpah lumpuh. Itulah berkat qasidah yang memuji Rasulullah s.a.w. serta sahabatnya dengan gaya bahasa yang sangat indah dan berselawat kpdnya.

Ia menjadi amalan ulama' terutama apabila meraikan Maulidurrasul dan diadakan di dalam masjid. Ketenangan semasa majlis dijalankan dan kesan yang baik terhadap hati mengalirkan air mata ramai manusia yang mendengarnya. Ia dijadikan amalan pendidikan di pondok-pondok dan sebagai tawassul apabila ditimpa kesusahan. 

View Qasidah Burdah = http://www.youtube.com/watch?v=se9ST1VtuHM

Nasyid moden kebanyakannya dicipta oleh orang yang masih tunggang-langgang beribadah. Hati yang masih malu mempromosikan sunnah dan ibadah. Diiringi petikan gitar, seruling, keyboard, drum dan alat muzik yang biasa digunakan untuk lagu pop hasil berguru dengan ahli muzik rock dan bersahabat dengan mereka. Sudah tentu tidak akan dinyanyikan di dalam masjid dan ketenangan yang diperolehi hanya sementara dan melalaikan hati dari zikrullah.

Pernah sekali rakan-rakan saya ingin menubuhkan kumpulan nasyid. Setelah selesai berbincang dan bersetuju menubuhkannya dengan tidak semena-mena datang guru kami (merupakan seorang wali Allah) bertanya "Ada tak orang nak tubuhkan kumpulan nasyid?, kalau ada cakap kepada mereka bubarkan ia".

Seni dihargai hanya bila ia mendekatkan diri kepada Tuhan.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

02 December 2008

MATI SEBAGAI NASIHAT



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Cukuplah mati sebagai peringatan. Hidup di dunia sangat singkat. Ramai yang tidak sempat buat ibadah, derma, wakaf, korban, haji dll kebaikan. 

Jika kita baligh umur 15 tahun dan mati ketika 25 tahun. Kita hanya ada 10 tahun beribadah. Amat singkat berbanding umat Nabi Nuh, Ibrahim dan Musa a.s.  yang sempat beribadah ratusan tahun. Layakkah kita mendapat keampunan Tuhan dan nikmat syurga? Satu dosa yang Nabi Adam a.s. lakukan, baginda menangis 40 tahun.

Sebenarnya apabila kita mati, kita akan risau tentang amalan dan masa depan akhirat. Apa yang akan dijawab kepada Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apa yang akan dijawab tentang peruntukan masa 10 tahun yg diberikan hidup di dunia. Adakah tidak cukup?

Berlainan dengan apa yang berlaku kepada ahli keluarga dan waris kita. Mereka akan sibuk menguruskan mayat kita, mandi - kafan - solat - kebumikan, bimbang keadaan anak kita, harta yg perlu dibahagi-bahagikan, takaful yang perlu dituntut, kereta yang perlu diselesaikan pinjamannya. Apabila kita mati, kita takkan sibuk memikirkan tentang perkara tersebut sebab urusan itu telah jatuh ketangan waris kita.

Andaian kita hendaklah dibetulkan. Jgn jadi seperti orang tua-tua yang sibuk pikir "Kalau aku mati siapalah yg akan tinggal di rumah aku ni, tak sempat aku nak lihat anak dara aku kahwin, tak sempat aku timang cucu dll". Tidak ada penyesalan di hati tentang amalan yg masih sedikit, hati yang masih kotor, dosa yang menggunung dan masih belum diampunkan. Seeloknya ketika sihat hendaklah kita banyak takut Allah (dengan menangis) daripada banyak harap (harap masuk syurga tanpa ibadah).

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.