31 December 2008
DANA AKHIRAT
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.
Ertinya: Bahkan kamu lebih mementingkan kehidupan di dunia, sedangkan kehidupan di akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.
Daripada ayat yang dibaca sebentar tadi Allah Ta’ala menceritakan keadaan sebahagian manusia, mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini, sedangkan kehidupan akhirat yang kekal abadi sedikitpun tidak dihiraukan.
Perkataan dana sering kali kita dengar, di mana sahaja, samaada orang perseorangan ataupun agensi kerajaan dan swasta, berbagai-bagai cara dan usaha dilakukan untuk mengumpul dana, buah fikiran diperah, mesyuarat demi mesyuarat diadakan perjumpaan demi perjumpaan dilakukan, tujuannya ialah untuk mencari jalan bagaimana cara untuk mengumpul dana dengan sebanyak-banyaknya. Dengan adanya dana yang melimpah ruah, orang perseorangan, agensi kerajaan dan swasta akan tenggelam di dalam lautan angan-angan. Mereka menyangka segala kebaikkan dan kejayaan akan dapat diperolehi, namun begitu jarang sekali kita mendengar orang perseorangan, jauh sekali agensi kerajaan dan swasta yang memperkatakan dan berbincang tentang dana untuk Negeri Akhirat yang kekal abadi.
Tetapi bagi orang yang mempunyai iman dan akal yang waras mereka sentiasa berfikir siang dan malam bagaimana cara dan jalan untuk mengumpul dana akhirat yang kekal abadi, berbeza dengan dana dunia yang menjadi tempat persinggahan sementara.
Mereka mengambil sekadar keperluan sahaja.
Oleh itu pepatah syair ada berkata:
Makanan orang fakir apa yang ada *
Pakaiannya sekadar menutup aurat.
Berkata Imam Ghazali Rahimahullah: Dunia ini boleh diibaratkan seperti sebuah pulau yang penuh dengan beraneka permainan, keseronokan, keindahan, kecantikan, dan bekalan.
Dan manusia diibaratkan seperti penumpang-penumpang yang sedang belayar di dalam sebuah kapal untuk menuju kepada satu destinasi, maka kapal itu singgah sebentar di pulau itu supaya penumpangnya dapat mengambil bekalan dan mengumpul dana dengan secukupnya. Sebelum penumpang-penumpang turun ke pulau itu kapten kapal memberi penerangan kepada penumpang-penumpang supaya sentiasa ingat dan berwaspada ketika berada di pulau itu, jangan sekali-kali terleka kepada keindahan, kecantikan, dan keseronokan, tujuan penumpang-penumpang turun ke pulau hanyalah untuk mengambil bekalan dan mengumpul dana sebanyak mungkin yang boleh.
Para penumpang yang turun daripada kapal ke pulau itu ada tiga golongan:
1– Mereka yang turun serta sentiasa ingat dan berwaspada, matlamat tujuan mereka turun hanyalah untuk mengambil bekalan dan mengumpul dana, maka mereka berusaha bersungguh-sungguh mengumpul bekalan dan dana dengan sebaik-baiknya.
2– Mereka yang turun, kemudian terpukau dengan keindahan, kecantikan, keseronokan yang ada di pulau itu, mereka lupa matlamat tujuan asal mereka hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana kemudian apabila waktu kapal berangkat sudah hampir barulah mereka sedar dari kelalaian mereka.
3– Mereka yang turun kemudian terus terpukau dan leka dengan kecantikan, keindahan, keseronokan yang ada di pulau itu, mereka lupa selupa-lupanya matlamat tujuan mereka, keadaan begitu berterusan sehinggalah kapten kapal meniup wisel tanda kapal akan berangkat. Ketika itu barulah mereka sedar dan menyesal, matlamat tujuan mereka turun hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana bukan menikmati keindahan dan kecantikan pulau, tetapi kesedaran dan penyesalan mereka sudah tidak berguna lagi.
Begitulah keadaan manusia yang dihantar oleh Allah Ta’ala ke dunia ini, ada yang sentiasa ingat dan berwaspada matlamat tujuan asal mereka hanyalah untuk mengumpul bekalan dan dana. Ada juga golongan manusia yang dihantar yang pada mulanya leka dan terpukau dengan keindahan, kecantikan, dan keseronokan dunia, kemudian sedar sebelum datangnya kematian. Ada pula yang terus leka dan terpukau dengan keindahan, kecantikan, dan keseronokan dunia sehingga ajal datang menjemput mereka, ketika itu barulah sedar dan menyesal.
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum ustaz,
ReplyDeleteboleh sy tahu ayat di atas itu dari surah mane
surah al a'la. ayat 16 & 17.
ReplyDelete