29 July 2009

INSYA ALLAH VS YAKIN BOLEH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sabda Nabi sa.w.:
Tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan tiada kekuatan untuk meninggalkan maksiat melainkan dengan (izin) Allah sahaja.

Dalam perbahasan sifat qudrat, kita telah yakini bahawa makhluk tidak dapat memberi apa-apa kesan atas usahanya. Kerana setiap sesuatu itu dijadikan oleh Allah dan diizinkan terjadi atas kehendak Allah Ta'ala. Walaupun mazhab Asyairah melihat, makhluk dikurniakan usaha yg akan dihakimi dipadang mahsyar, usaha tersebut sebenar-benarnya adalah datang dari taqdir Allah yg telah ditetapkan sejak azali lagi. Maka secara hakikatnya usaha itu tidak wujud dan hanya sekadar bayangan dan tempat pengadilan Allah diakhirat kelak. Inilah yg dipegang oleh Mazhab Ahli Mukasyafah (orang yg terbuka hijab)

Disini secara hakikat sebenarnya, makhluk tidak ada hak ke atas Allah Ta'ala kerana hanya Allah Ta'ala sahaja yg berhak ke atas setiap makhluk yg Dia jadikan. Tidak ada persoalan "kenapa Tuhan taqdirkan aku buat maksiat". Yang ada bagi makhluk hanyalah "Inni kuntu minaz zolimin, Rabbana zolamna dan inni zolamtu nafsi" pengakuan aku telah menzalimi diriku dengan berbuat dosa, salah dan silap sepertimana Nabi Adam a.s. , Nabi Nuh a.s dan doa yang Rasulullah s.a.w. ajar kepada Saidina Abu Bakar r.a.

Dengan ini jelaslah bahawa makhluk tidak berdaya melakukan sesuatu melainkan dengan kuasa dan izin dari Allah. Perkataan "Kita boleh" sebenarnya berlawanan dengan "La haula wala quwata illa billah". Boleh menunjukkan kepastian, yakinan dan kekuasaan manusia untuk mencapai sesuatu. Iktikad yg berdosa & kesilapan ini harus difahami dengan hati melalui talqqi ilmu Tauhid dari guru yang mempunyai tauhid dalam hati. Bukan dari hati yg kufur dan kafir walaupun mempunyai Ph.D.

Sila amat-amati doa Nabi Khidir a.s. ini:
“Dengan nama Allah, segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tidak ada yang mendorong kepada kebaikan melainkan Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tidak ada yang memaling (menjauhi) kejahatan melainkan Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, adalah segala nikmat itu semata-mata daripada kurnia Allah sahaja. Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan tiada kekuatan untuk meninggalkan maksiat melainkan dengan (izin) Allah sahaja.”

Dengan sebab itu "boleh" dilabelkan oleh ulama' sebagai kefahaman muktazilah yg menyangka makhluk itu dikurniai Allah kuasa tersendiri untuk berusaha dan menetapkan nasibnya. "Siapa berusaha pasti berjaya", "Yakin kita boleh", "Malaysia boleh" "PASTI boleh" "pasti berjaya" dll. Iktikad muktazliah ini dihukumkan "berdosa" jika dipegang dalam hati.

Para wali Allah hanya berusaha ke arah kebenaran dan tidak malas. Jika dikehendaki Allah berjaya usaha tersebut, maka semakin yakinlah kepada qudrat Tuhan. Sebaliknya jika dikehendaki Allah usaha tersebut gagal, maka baiki kelemahan diri, post mortem dan sabar adalah ubatnya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 July 2009

KASYAF (TERBUKA HIJAB)


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Topik ini jarang-jarang dan hampir mustahil dibicarakan dalam ceramah, bayan, seminar dan kuliah masjid. Disini saya ingin membuka sedikit maklumat tentangnya kerana saya pernah mendengar dalam radio ikim, kefahaman yang amat sempit terhadap isu ini.

Kasyaf ertinya dianugerahi mata hati lalu terbuka hijab antara makhluk dengan Tuhannya dan dapat melihat alam ghaib.

Kasyaf yg difahami oleh para nujum, bomoh dan dukun bukanlah termasuk dalam perbahasan ini kerana kasyaf yg mereka perolehi hanya terhad setakat pendang tembus ke alam jin sahaja. Tidak pada alam malaikat, alam Jabarut dan alam Lahut. Keterhadan ini boleh dilihat bila ramainya dukun, bomoh dan pawang masih melakukan maksiat terhadap Allah (lakukan perkara haram, makruh dan syubhat). Ini kerana mereka masih tidak dapat melihat malaikat Raqib & Atid (pencatat amalan baik & buruk) yang sentiasa sibuk menjalankan tugas mengawasi gerak-geri kita.

Kasyaf yang dikehendaki di sini ialah kasyaf yg dapat memimpin manusia mengenal Allah Ta'ala. Terbuka hijab dengan dapat melihat syurga atau neraka mengingatkan si hamba agar rajin beribadah, solat di awal waktu, menjauhi aktiviti sia-sia dan berhati-hati dalam perkataan. Inilah yg dikatakan Rasulullah s.a.w. "Jika kamu tahu apa yg aku tahu nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis".

Kasyaf dianugerahi Allah Ta'ala apabila hati telah bersih dari titik-titik hitam syirik. Kasyaf juga diperolehi dengan memperbanyakkan berlapar dan mengosongkan perut dengan berpuasa. Ia juga dimulai hasil dari bersusah payah (mujahadah) melazimi amalan suluk dan sentiasa membulatkan tumpuan hati kepada Allah.

Apabila kasyaf dianugerahi Allah, maka iman seseorang berada di paras selamat kerana dia akan dapat kekuatan menjaga diri sendiri walau keseorangan, walau di atas awan, di tengah lautan, di celah hutan tebal, walau digodai gadis rupawan. Inilah yg dimaksudkan "ilmu yakin".

Kasyaf juga akan membuatkan seseorang dapat membaca hati dan bisikan orang lain. Walaubagaimanapun, kebolehan ini digunakan oleh penerimanya untuk mengenang kebesaran Allah dan bukan untuk tujuan bersuka-suka dan memperbodohkan orang lain. Inilah rahsia bagi mengelakkan diperbudakkan oleh musuh Islam.

Watak superman dapat pandang tembus dinding adalah dicuri dari isu ini.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

20 July 2009

SYEIKH IBRAHIM AR-RASHID Q.S. – (1813-1874)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Biografi ringkas ahli sanad tarekat Ahmadiyah

Beliau ialah Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Qahnibi Al-Rashid yang sampai nasabnya kepada Saidina ‘Aqil bin Abu Talib (abang kepada Saiyidina ‘Ali ibn Abu Talib) . Gelaran Ar-Rashid itu diberikan kepada beliau kerana beliau telah dikurniakan Allah keistimewaan menjadi ulama dan mengetahui segala ilmu aqaid, padahal umurnya masih muda lagi. Dilahirkan pada pertengahan Rejab tahun 1813 Masihi (1228 H) di wilayah Duwaih Sudan (berhampiran dengan bandar Khourtum).

Semasa kecilnya, ketika beliau sedang tidur, tiba-tiba datang cahaya yang mengejutkan hatinya. Beliau kemudian memberitahu ayahnya dan ayahnya menerangkan perihal mimpinya itu kepada ayahnya dan ayahnya menerangkan bahawa itu adalah merupakan hasil daripada karomah Syeikh Ahmad Idris. Sejak itu, beliau kerap teringat kepada Syeikh Ahmad Idris. Ayah beliau kemudiannya membawanya bertemu dengan Muhammad al-Mirghani, wakil Syeikh Ahmad Idris di Sudan pada waktu itu. Tetapi, Muhammad al-Mirghani tidak mahu mengajar tarekat Ahmadiah kepada beliau kerana itu adalah amanah dari gurunya. Oleh kerana hati beliau sangat ingin bertemu Syeikh Ahmad Idris, beliau bertolak ke tanah Hijaz, tetapi Syeikh tersebut telah mengembara ke Sabya, Yaman. Lalu beliau pun terus berlayar ke Yaman. Beliau tiba di Sabya pada waktu malam dan terus ke rumah Syeikh Ahmad Idris. Syeikh tersebut memberikan keistimewaan kepadanya dengan bermalam di rumah syeikh tersebut.

Beliau telah tinggal di Sabya selama 5 tahun dan 5 bulan untuk belajar dan berkhidmat kepada Syeikh Ahmad ibn Idris . Beliau merupakan salah satu murid Syeikh Ahmad Idris yang termuda. Hubungan beliau dengan Syeikh Ahmad ibn Idris dikatakan sangat rapat dan istimewa. Dikatakan bahawa Syeikh Ahmad bin Idris wafat dalam keadaan kepalanya terletak di atas lutut Syeikh Ibrahim Ar-Rashid (ada dikatakan peha atau dada menurut sesetengah riwayat yg lain).

Syeikh Ibrahim Ar-Rashid juga pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Dalam pertemuan itu, beliau telah menerima beberapa amalan zikir daripada Rasulullah s.a.w. Sebab itulah terdapat beberapa amalan Syeikh Ibrahim yang tidak pernah diajar oleh Syeikh Ahmad ibn Idris. Ia adalah amalan-amalan yang diterima secara langsung daripada Rasulullah tanpa perantaraan. Maka bertambahlah nisbah tarekat ini dengan sebagai tarekat Ahmadiyah Ar-Rashidiyah.

Beliau kemudiannya berpindah ke Mesir dan menubuhkan zawiyah di Luxor dan Donqola dan kemudiannya berpindah ke Mekah. Di Mekah, beliau menghadapi tuduhan menyeleweng dari ulama’ di sana. Tetapi situasi ini dapat dihadapi dengan tenang dan beliau berjaya membuktikan kebenaran amanah tarekat yang dipikulnya. Ini menyebabkan beliau lebih terkenal hinggalah rombongan haji dari India menziarahi beliau dan membanjiri zawiyahnya. Seorang pengikutnya dari India telah menghadiahkan kepadanya wang sebanyak 1000 rupiah bagi membesarkan lagi zawiyah beliau.

Syeikh Ibrahim al-Rashid meninggal dunia ketika berusia 63 tahun pada 9 Syaaban 1874 Masihi (1291 H). Beliau telah dikebumikan di kawasan perkuburan Ma’la di Makkah setelah disembahyangkan di Masjidil Haram.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

17 July 2009

KEMANISAN IMAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ramai orang boleh dakwa dia dikurniakan Allah kemanisan iman. Sering kita dengar "Orang xxxxxxx mengatakan rasa seronok buat ibadah, rajin keluar 3 hari dijalan Allah, mujahadah (bersusah payah) tinggalkan anak bini untuk berdakwah adalah tanda kemanisan iman. Dia kerap keluar 3 hari= dia kuat iman".

dan "Orang xxx juga mendakwa komitmen yang tinggi kepada usaha politik, menghadiri ceramah politik dan kem tamrin (latihan pengurusan diri & politik) adalah tanda kemanisan iman. Dia kuat politik= dia kuat iman".

Wali Allah mengatakan kemanisan iman itu ialah hancur hati kepada Allah, mengenang kebesaran Allah setiap saat dan detik, berzikir khafi (zikir dalam hati) setiap naik turun nafas adalah tanda kemanisan iman.

Perbezaan yang timbul adalah disebabkan asuhan dan punca asal ilmu yang mereka dapati. Orang xxxxxxx dan orang xxx mengaji dengan manusia yang ada nafsu. Sedangkan wali Allah mengaji dengan Rasulullah s.a.w. dalam kasyaf untuk hancur & tinggalkan nafsu ammarah.

Kerana itu anda akan lihat para pemimpin xxxxxxx dan xxx masih lagi terumbang-ambing halatuju mereka mengendalikan ummah. Sedangkan wali Allah sentiasa jelas matlamat dan halatuju perjuangan mereka iaitu mengembala roh & jiwa manusia kepada Allah. Inilah jihad yang paling besar dan politik suci yang di amalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Dengan sebab itu anda akan lihat pemimpin xxxxxxx dan xxx dipilih berdasarkan kecekapan kepimpinan dan kehebatan mereka menyampaikan bayan dan ceramah. Bukan atas dasar ketinggian taqwa dan ketajaman kasyaf (mata hati) mereka kepada Allah.

Apapun saya masih hormati para pemimpin jemaah Islam kerana jasa mereka menghimpunkan manusia atas usaha agama dan bukan atas aktiviti maksiat. Cuma pemimpin tarekat akan tetap kekal dalam perhatian saya. Semoga mereka dapat mengenali auliya' dan berusaha mendapatkan nasihat dan pedoman dari para auliya'. Insya Allah, tidak hampa.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

14 July 2009

Sanad Tarekat

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Semua tarekat di dalam dunia ini sanad silsilahnya hanya sampai kepada dua orang sahabat iaitu Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saiyidina Ali Karamallah Wajhah. Ini bukanlah bermakna para sahabat yang lain tidak membawa perjalanan Sufiyah. Ini adalah kerana kedua mereka ini merangkumi segenap aspek.

Saiyidina Abu Bakar mendapat kesufian kerana dia yang awal-awal memeluk Islam dan dia terlalu kasih dan rapat terhadap Rasulullah s.a.w. Dia juga banyak , membuat pengorbanan di dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.

Saiyidina Ali Karamallah Wajhah mendapat kesufian sewaktu peperangan Uhud. Apabila beliau mendengar berita bahawa Rasulullah s.a.w. telah terbunuh di dalam pertempuran tersebut (berita palsu yang sengaja di buat oleh musyrikin untuk melemahkan orang mukmin). Dia pun terus memecut kudanya dengan sekuat-kuatnya untuk menyerbu kafir musyrikin. Dia hendak bunuh semua kafir musyrikin biar seorang pun tidak tinggal di bumi Allah. Allah s.w.t. menjadikan debu-debu yang berterbangan daripada kuda Saiyidina Ali malaikat-malaikat. Bila orang kafir melihat perkara tersebut mereka pun lari bertempiaran. Inilah perjalanan sufi. Asyidda’u A’lal Kuffar. Ruhama’ Bainahum (tidak tunduk kepada kekufuran dalam segenap aspek. Menunaikan dan memelihara hak-hak mukmin dan muslim).

Yang dikatakan Sanad Silsilah ialah kita berperibadi, beriman dan bertakwa sama seperti Ahli Silsilah (Para Aulia’) yang lebih dahulu daripada kita. Bukannya hanya ada pada tulisan sahaja. (Silsilah ialah rantaian hubungan daripada satu orang guru kepada satu orang hingga kepada Tabi’-ul-Tabien, Tabien- Sahabat sampailah kepada Rasulullah s.a.w hingga kepada Jibril terus kepada Allah).

Punca-punca yang merosakkan kesufian adalah disebabkan ilmu yang bercampur aduk dengan kejinan seperti puak bathiniah-zindiq dan tarikat yang tidak sampai kepada hakikat dan makrifat.

Tarekat Ahmadiyah
Tariqah Ahmadiyah yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Idris terkenal di Maghribi dan di sebahagian dunia islam sebagai Tarekat Idrisiyah kerana untuk membezakannya dengan Tarekat Ahmadiah di Mesir yang di asaskan oleh Syeikh Ahmad al-Badawi (1199-1276M) dan juga dengan Ahmadiyah Qadiyani satu ajaran sesat yang berasal daripada India yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiyani.

Sanad Tarekat Ahmadiah adalah seperti berikut:

1. Saidina Rasulullah s.a.w.
2. Saidina Ali bin Abi Thalib r.a.
3. Qutub Saidina Hassan r.a.– anaknya sendiri.
4. Abu Muhammad Jabir. r.a.
5. Al-Qutub Said Al-Ghazwani. r.a.
6. Al-Qutub Fathus Saud. r.a.
7. Al-Qutub Saad r.a.
8. Wali Qutub Said r.a.
9. Qutub Ahmad Al-Mirwani r.a.
10. Qutub Ibrahim Al-Basri r.a.
11. Qutub Zainuddin Al-Ghazwaini r.a.
12. Qutub Syamsuddin r.a.
13. Qutub Tajuddin r.a.
14. Qutub Nuruddin r.a.
15. Qutub Fakruddin r.a.
16. Qutub Tuqaiyuddin r.a.
17. Qutub Abdul Rahman Al-Madani r.a.
18. Qutub Ul Kabir (yang besar) Maulai/Maulana Abdussalam bin Masyis r.a.
19. Qutub yang terkenal Abul Hassan Asy-Syazili r.a.
20. Khalifahnya Abul Abbas Al-Mirsi r.a.
21. AlArif yang besar Sidi Daud Al-Bakhili r.a.
22. Al-Arif Sidi Muhammad Wafa Bahrul Sofa-(Lautan kesucian) r.a.
23. Al-Arif Sidi Ali bin Wafa r.a.
24. Wali yang terkenal Sidi Yahya Al-Qodiri r.a.
25. Wali yang terkenal Ahmad bin Uqbah Al-Hadrami r.a.
26. Wali yang besar Sidi Ahmad bin Zaruq r.a.
27. Sidi Ahmad bin Yunus r.a.
28. Sidi Ali bin Abdullah r.a.
29. Sidi As-Syeikh Abul Qossim Al-Wazir Al-Ghozi r.a.
30. Sidi Syeikh Ahmad bin Idris r.a.
31. Sidi Ibrahim Ar-Rasyid r.a.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

12 July 2009

TAREKAT & WASILAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Mafhum ayat: Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kamu pada Allah dan carilah jalan (wasilah) untuk berdamping denganNya dan berjihadlah pada jalanNya pastilah kamu semua berjaya di dunia dan akhirat. (surah al-maidah ayat 35)

Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah Ta'ala memerintahkan orang mukmin buat 3 perkara:

1. bertakwa
2. mencari wasilah
3. berjihad

Takwa dalam ayat itu adalah dzon kita dengan Tuhan. Takwa dalam erti kata lain ialah meninggalkan segala yang haram, makruh dan syubhat. Perkara ini jarang-jarang manusia dapat buat walaupun dia seorang ustaz melainkan dengan berguru dengan orang yang bertakwa iaitu guru tarekat.

Wasilah adalah penyambung kepada amanah Allah, Rasul dan auliya'. Setiap orang yang mahu membentuk peribadi diri sepertimana yang Tuhan kehendaki perlu mengambil didikan dan asuhan dari Rasulullah melalui wali Allah yang kebiasaannya adalah guru tarekat. Ramai orang beriman mahu berjihad di jalan Allah tetapi mereka tidak ada wasilah. Jihad kalau tidak ada wasilah akan jadi jahat. Jahat mulut, jahat sangkaan dan jahat tingkahlaku.

Wasilah adalah perkara yang tersembunyi dan benda payah sebab itu Allah suruh kita bersungguh-sungguh mencarinya. Wasilah ialah kewalian. Syarat untuk menjadi wasilah (guru tarekat) sekurang-kurangnya adalah tingkat nafsu mutmainnah.

Zaman dahulu ilmu Tauhid, Feqah, Tasawuf, Tajwid, Faraid dll cabang ilmu telah ada tetapi tidak di label dan dikategorikan. Dengan sebab itu anda tidak akan jumpa para Khulafa' a-Rasyidin mengikuti mazhab feqah apa kerana ilmu agama dikategorikan pada zaman tabi'en.

Rasulullah s.a.w. adalah sufi yang agung. Bukankah peribadi Rasulullah s.a.w. itu terpamer pada peribadi para sufi.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

09 July 2009

MAKANAN UNTUK IBADAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Tuhan jadikan benda baik dan benda buruk. Disuruh kita memilih benda yang baik utk dijadikan makanan. "Kulu minat Taiyyibat". Taiyibat termasuklah benda yang boleh tidak memudaratkan jasad dan fikiran kita serta membantu kita untuk beribadah seterusnya mengenal Allah.

Bermula benda yang kurang baik untuk dijadikan makanan ialah haiwan laut (seafood) seperti udang (jalan reverse), sotong (jalan reverse), ketam (jalan senget) dan kerang (jumud - hanya menunggu makanan datang baru dijelir lidah). Tabiat jumud dan songsang yg ada pada haiwan tersebut akan mempengaruhi tabiat kita.

Kemudian, elok sikit ikan-ikan kecil dilaut (bilis, sardin, kembong, selar, kerisi dll) walaupun sebenarnya ia bodoh kerana bergerak secara kelompok yg besar 100 - 500 ekor. Jika pihak hadapan salah "memandu" semua yang lain akan masuk pukat. Berbanding ikan sungai yang lebih cerdik seperti ikan keli, haruan dll yang bijak mencari makan seorang diri, melindungi diri dari pemancing dan banyak khasiat jika dimakan.

Kemudian yang teramat bahlul dari binatang darat adalah ayam karan (ayam daging) yang disuntik hormon & steroid agar cepat membesar dalam masa 30 hari didalam sangkar yg sempit tanpa bergerak cergas, tanpa keluarga ayam, tanpa mengawan, tanpa melawan & berjuang mempertahankan kawasan. Ayam ini kalau jumpa ular sawa, samada buat tak kenal atau serah diri awal-awal.

Yang cerdik sedikit dari itu haiwan berkaki empat yang bergerak lambat, nampak malas tapi rajin jika dipukul punggung, jinak & dipelihara tuan seperti lembu & kerbau. Walaupun ia tidak secergas haiwan liar dihutan, ia masih di cop "bodoh seperti lembu". Seladang tidak di cop sebegitu kerana kuat, gagah dan nampak gah. Kambing cergas sedikit dan banyak khasiat walaupun hamis bau badan dan tak mandi seumur hidup.

Yang amat cerdik, istimewa dan menjadi buruan raja-raja pada zaman dahulu ialah haiwan berkaki 4 yang hidup liar di hutan. Ia bergerak sejauh lebih 50km setiap kali waktu malam menjelma. Rusa, pelanduk, napoh, kancil, kambing hutan, sebukit (kambing bukit) dll amat cergas mencari makan, amat sensitif deria dengar, bau dan firasat. Makin cerdik ia melarikan diri dari kepungan askar istana, makin ia disukai raja untuk dijadikan hidangan. Tabiat ini diharap akan mempengaruhi pemikiran raja untuk menyusun strategi mempertahankan negara dari ancaman musuh.

Yang lebih cerdik, cergas dan sensitif deria adalah haiwan berkaki dua seperti burung merpati, burung wak-wak, itik belibis, ayam hutan, burung punai yang hidup liar di hutan. Haiwan jenis ini sangat luas pengalamannya kerana ia hidup bebas terbang kemana-mana yang disukai.

Tetapi, bila difikir dengan mendalam, semua haiwan ini apabila makan, tumpuan mereka ke bawah berbanding dengan pokok yang makan tetapi pucuknya sentiasa melihat ke langit (mengenang kebesaran Tuhan). Falsafah pokok amat tinggi. Kebaikannya banyak. Ia jadi payung ketika panas terik, tempat bersandar bagi musafir, menghidangkan buah kepada manusia & haiwan. Bila sampai umur, dahan digugurkan sedikit demi sedikit dan tidak mencemarkan alam dengan bau bangkai. Pun begitu, jasadnya digunakan orang utk buat perabut & jambatan. Vegetarian tentu faham rahsia kehebatan pokok dan tumbuhan.

Apapun, ahli sufi zaman dahulu amat gemar puasa dan berbuka dengan roti kosong dan air.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

06 July 2009

DOA MOHON KETABAHAN HADAPI KEKUFURAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Wahai Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penolong. Wahai Allah yang menjadikan langit dan bumi. Wahai Allah yang berkuasa melakukan apa yang Ia kehendaki, curahkanlah ke atas kami kesabaran serta tetapkanlah kaki-kaki kami dan bantulah kami mengatasi orang-orang kafir.

Dibaca bersama doa ini:

Demi kebesaran dan keagunganMu Ya Allah. Dengan kebesaran dan keberkatan mukjizat saiyidul mursalin nabi Muhammad s.a.w. Dengan keberkatan kesultanan Syeikh Abdul Qodir Al-Jilani dan karomah para aulia’Mu yang hidup di zaman ini kau peliharalah hambaMu ini yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa daripada kejahatan hawa nafsu, iblis, jin, manusia dan binatang yang melata.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

03 July 2009

DOA NABI KHIDIR A.S.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Doa di atas ertinya:

Dengan nama Allah, sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada yang mendatangkan kebaikan kecuali Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada yang boleh menolak kejahatan kecuali Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, setiap nikmat itu adalah dari Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali bagi Allah.

Ibnu Abbas berkata: sesiapa yang membaca doa di atas ketika pagi dan petang sebanyak 3 kali maka Allah memberikan keselamatan kepadanya dari tenggelam, kebakaran, kecurian, syaitan, pemerintah yang zalim, ular dan kala jengking (binatang bisa dan buas). Dari kitab Tanwirul Qulub, Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi.

Alhamdulillah, doa ni telah menjadi amalan hidup saya. Saya biasa baca ketika memandu pergi kerja waktu pagi.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.