30 September 2009

RAHSIA PUASA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Puasa sering dikaitkan dengan perkataan mujahadah dan suluk. Ini kerana amalan puasa mempunyai satu rahsia kejayaan sesuatu usaha mendekatkan diri kepada Tuhan dan usaha kejayaan yg bersifat keduniaan.

Zaman dahulu nabi Musa a.s. berpuasa dan bersuluk selama 40 hari di Bukit Thursina sebelum dianugerahkan kitab Taurat sebagai panduan umatnya yg dikatakan berlaku pada bulan Ramadhan. Begitu juga Nabi Daud a.s. yang berpuasa sehari dan berbuka sehari selama setahun sebelum dianugerahkan kejayaan menumpaskan raja Jalut dengan hanya sebiji batu yg dibacakan doa. Nabi Daud a.s. dan Nabi Isa a.s. juga dianugerahkan Kitab Zabur dan Kitab Injil pada bulan Ramadhan.

Begitu juga Rasulullah s.a.w. dianugerahkan Al-Quran selepas berkhalwat di gua Hirak, Jabal Nur pada 17 Ramadhan. Baginda juga mendapat bantuan dari tentera Allah (malaikat) semasa perang Badar Kubra pada tahun ke-2 Hijrah pada bulan Ramadhan semasa tentera Islam sedang berpuasa yg telah disyariatkan pada tahun yg sama.

Bagi agama lain para pendeta, rahib, sami, paderi, tok cha juga menggunakan puasa sebagai alat untuk menguatkan kerohanian dan sihir mereka atas nama "BERTAPA". Bukankah Gautama Buddha mendapat cahaya nirvana semasa bertapa selama 49 hari dibawah pokok Bodhi. Begitu juga dengan ahli silat, kungfu, silambam, penarik kavadi, bomoh juga menggunakan puasa untuk mendapatkan kebal, kekuatan fizikal, mental, penyelesaian masalah dan penembusan ilmu ghaib.

Cuma agama lain telah diselewengkan oleh pemimpin agama mereka dengan menjadikan amalan puasa ini khusus untuk orang gereja, para sami dan orang tertentu sahaja tidak kepada masyarakat awam. Harinya pun sudah ditukar menjadi sedikit seperti yahudi yg berpuasa pada hari 'Asyura. Bahkan ada yg menghadkan puasa dari memakan telor dan makanan berdarah shj seperti penganut Hindu.

Malangnya umat Islam memandang ringan amalan puasa. Puasa awam yg tidak menghindarkan diri dari maksiat tidaklah memberi kejayaan pada rohani dan jasmani. Umpama mencurah air ke daun keladi sambil puasa sibuk berniaga bazar Ramadhan atau menjalankan aktiviti harian seperti biasa (kerja-balik-berbuka-sembang-tengok tv-tidur). Jauh sekali hendak membuat tumpuan kepada Allah Ta'ala. Difikiran hanyalah makanan untuk berbuka dan duit untung bazar Ramadhan.

Satu kelonggaran yg pernah saya dapat izin dari guru ketika bersuluk ialah bekerja seperti biasa dan masuk suluk semula setelah pulang dari kerja. Tetapi hendaklah ingat, jangan batalkan suluk dengan bersembang atau bercakap yg tiada keperluan. Masa luang hendaklah dipenuhi dengan tumpuan kpd Allah. Memanglah kawan-kawan nampak pelik sikit hari tu kerana saya berpuasa hari Jumaat (3 hari suluk = jumaat-sabtu-ahad), kurang bercakap dan ditangan sentiasa ada tasbih yg digerakkan oleh jari walaupun semasa berjalan atau berbincang.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

27 September 2009

BASIR - MELIHAT


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Allah Ta'ala Maha Melihat setiap segala sesuatu yg terjadi di alam ini. Dia melihat tanpa ada sekatan, sempadan, tidak terhijab dengan jauh atau dekat, besar atau kecil, gelap atau terang, dalam bilik yg tertutup atau ditengah padang yg terbuka.

Tuhan melihat tanpa menggunakan alat penglihatan seperti mata, lensa kamera atau mikroskop. Semua alat ini terbatas penglihatannya. Jika Tuhan perlu kepada mata, maka jadilah Ia lemah seperti makhluk.

Sudah tentulah Tuhan Maha Melihat semut hitam yang berada di atas batu hitam ditengah malam yg gelap gelita (tanpa cahaya) dicelah timbunan batu. Juga Maha Melihat seorang manusia yang dizalimi ditengah lautan padang pasir dan Maha Melihat seekor anjing yang sedang dibantu mendapatkan air oleh seorang pelacur ditengah hari yg terik.

Kalau begitu kenapa Tuhan tidak membantu orang Islam yg sedang dizalimi di Bosnia, Palestin, Iraq dll atau membantu umat Islam Aceh yg dilanda Tsunami? Bukankah Tuhan yg sama juga yg menetapkan dan menggerakkan musibah tersebut ke atas umat Islam zaman ini. Ada Tuhan yang lain kah? Tidak ada....

Adab kita sebagai hambaNya, sentiasalah cari kesilapan dan kelemahan diri yg menyebabkan Tuhan berkehendak menetapkan sesuatu bala' dan musibah. Jika Tuhan memandang kita dengan rahmatNya, tentu Dia tidak akan biarkan kita dihina dan dizalimi oleh musuhNya.

Untuk menunjukkan tanda kebesaran dan kehebatan Tuhan, Dia menganugerahkan pandangan menggunakan mata hati bagi mereka yg telah terbuka hijab dimana ia adalah sangat tepat. Pun begitu para wali Allah masih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam tipudaya ("makar") dari Allah Ta'ala. Setiap apa yg dilihat tetap akan jadi rahsia yg hanya boleh diluahkan kepada sahabat terdekat yg amanah (dipercayai) memegang rahsia Allah.

Zaman ini kaum yahudi sering memasukkan kemahiran pandang tembus dinding dan alam ghaib kepada watak ciptaan mereka seperti yg ada pada watak superman dan hero-hero filem yg lain.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

07 September 2009

GANTI CERITA DONGENG


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Cerita dongeng telah lama bertapak dalam semua masyarakat. Cerita yang berkisar tentang raja, permaisuri, putera, puteri, cerita rakyat yang mengandungi jenaka, pengajaran yang direka oleh penglipulara dan sasterawan amat terkenal dan popular dikalangan masyarakat, samada masyarakat Melayu, Arab, Inggeris, India, China dll. Cerita dongeng yang berunsur mistik dan alam kejinan yang melibatkan dewa-dewa juga tidak ketinggalan popularnya.

Cerita ini hanyalah khayalan dan angan-angan rekaan manusia. Tiada siapa yang dapat memastikan kebenarannya.

Oleh kerana itulah Maulana Muhammad Zakaria telah diminta oleh gurunya iaitu Maulana Ilyas r.a. untuk menyusun sebuah kitab yang mengandungi kisah-kisah para sahabat Rasulullah s.a.w. yang merujuk kepada KEIMANAN dan amalan pada wanita dan kanak-kanak pada zaman baginda. Maksud utama suruhan ini adalah agar para ibu yang beragama Islam dapat membacakan kepada anak-anak mereka sebelum tidur tentang kisah-kisah benar dan sahih dizaman kegemilangan Islam sebagai menggantikan kisah-kisah dongeng pari-pari dan khayalan. Agar dapat membangkitkan semangat mereka cintakan Islam dan hormat terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w.

Firman Allah Ta'ala "Dan semua kisah dari Rasul-rasul yang Kami ceritakan kepadamu ialah kisah-kisah yang dengannya dapat Kami teguhkan hatimu dan dalam surah ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman". Surah Hud ; 120.

Sesetengah masyarakat dapat menghafal kisah cinderella, robin hood, pak kaduk, lebai malang dan lain-lain kisah rakyat. Sedangkan semua watak utama dalam kisah ini tidak wujud. Apa yang kita dapat sebenarnya? Hanya menghabiskan masa dan umur kepada aktiviti yang tidak meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Akhirat nanti tentu kita akan rasakan kerugian yang amat dahsyat hasil dari aktiviti yang sia-sia. Penyesalan akan diungkap berulang-ulang dan ketika itu tiada peluang diberikan lagi. Orang mukmin tidak membuat silap 2 kali. Cukuplah apa yang telah lalu sebagai pengajaran.

Bermodalkan RM 15, ia dapat memperbaiki akhlak anak-anak kita.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

02 September 2009

Sanad Zahiri & Sanad Uwaisi


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sanad bermaksud tempat sandaran/rujukan. Silsilah pula ialah rantai. Dari segi istilah dalam ilmu Tasawuf, sanad & silsilah dirujuk sebagai nama orang yang disandarkan asuhan dan didikan turun temurun, dari satu guru kepada muridnya. Kemudian muridnya pula menjadi guru dan seterusnya mengasuh anak muridnya yang baru sepertimana dia menerima asuhan dari gurunya yang lalu.

Kerana itulah nama saya tidak akan saya catat dalam sanad tarekat kerana saya tidak memimpin tarekat walaupun saya menerima asuhan dari guru mursyid yang mempunyai sanad. Dalam kata lain, setakat ini saya masih belum mencapai makrifatullah. Jika sampai pun, belum tentu saya akan memimpin tarekat. wallahu a'lam.

Makna "akhoza" (mengambil tarekat) ialah terima tarekat, beramal hingga berjaya mencapai makrifatullah sebagaimana syeikh Ahmad Idris diasuh oleh gurunya iaitu Syeikh Abul Qosim r.a. Kemudian Syeikh Ahmad Idris mengasuh muridnya Syeikh Ibrahim Ar-Rasyid r.a. Ini dinamakan lafaz sanad zahiri (iaitu dapat ditulis nama susunan guru-murid).

Walaubagaimanapun terdapat sesetengah syeikh yang menerima asuhan melalui jalan rohani sepertimana Uwais al-Qarni menerima asuhan terus daripada Rasulullah s.a.w. walaupun tanpa bersemuka / berjumpa jasad. Begitu juga dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani yang diasuh oleh Nabi Khidir a.s. dalam alam rohani walaupun hidup berlainan zaman. (Alam rohani bermaksud ruh bertemu ruh). Asuhan sebegini disebut sebagai sanad uwaisi. Perkara ini di ingkari oleh ahli tarekat yang tidak sampai kepada makrifah kerana mereka masih berpegang dengan zahir sanad. Kerana itulah Uwais al-Qarni merahsiakannya dari umat Islam dizamannya. Sedangkan kita telah akui, jika Tuhan menghendaki sesuatu pasti ia akan terjadi, tiada yang mustahil di alam ini jika dikehendaki Allah ia terjadi.

Malangnya sanad uwaisi ini telah dipermainkan oleh golongan ahli sufi tiruan. Mereka mendakwa menerima asuhan yg sama seperti uwais tetapi berakhlak seperti Abu Jahal. golongan inilah yg ditentang oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani seperti yg beliau catat dalam Kitab Sirrul Asrar.

Terkadang boleh jadi juga seseorang menerima 2 asuhan iaitu sanad zahiri dan sanad uwaisi serentak dalam hidupnya. Seperti
"Syeikh Ibrahim Ar-Rashid juga pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Dalam pertemuan itu, beliau telah menerima beberapa amalan zikir daripada Rasulullah s.a.w. Sebab itulah terdapat beberapa amalan Syeikh Ibrahim yang tidak pernah diajar oleh Syeikh Ahmad ibn Idris. Ia adalah amalan-amalan yang diterima secara langsung daripada Rasulullah tanpa perantaraan."

Cuma sanad zahir adalah adab zahiriah yang biasa berlaku ke atas tokoh-tokoh sufi terkemuka. Manakala jika seseorang itu hanya menerima sanad uwaisi, kebiasaannya dia akan lebih banyak menyendiri dan tidak dikenali.

Wajib bagi orang yang hendak berjalan mengambil sanad (asuhan) dari guru yang mursyid yang telah sampai kepada makrifatullah. Sebagaimana hukum dunia yang mewajibkan seseorang berguru dalam proses belajar memandu kereta untuk lulus ujian JPJ dan untuk dapatkan kemahiran memandu dengan betul, bukan setakat membaca buku "panduan memandu".

Sempurna atau tidak perjalanan kerohanian seseorang guru tidaklah dapat diketahui melalui pancaindera yang 5, ia hanya dapat diketahui oleh Allah, rasul dan para awliya' sahaja yang mengetahui. Sepertimana kata pepatah "hanya intan mengenal manikam". Jika kita jujur dan lurus hati kepada Tuhan, solat hajat-doa dan munajat adalah cara terbaik untuk mendapatkan kasih sayang panduan istikharah dari Allah Ta'ala.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.