18 January 2009

KEJADIAN MANUSIA


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal kejadian manusia daripada dua jenis:

Yang pertama : Roh

 Roh pula mempunyai dua pengertian:

     1– Roh Tabie iaitu: Suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung. Wap atau gas itu berjalan lancar ke seluruh bahagian urat saraf dalam tubuh badan manusia, Roh seumpama ini boleh juga dinamakan nyawa. Roh jenis ini sedikit pun tidak ada nilai di sisi Allah Ta’ala.

    2-Roh daripada alam kejadian keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah robbaniah. Roh jenis ini adalah satu jisim yang tersangat halus, bentuk rupanya samalah seperti rupa badan kasar, kejadian roh bahagian yang kedua ini tidak ada siapa pun mengetahui dari jenis apakah ia dijadikan dan bagaimana ia diramunkan.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ - وَيَسْأَلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّىْ. سورة الإسراء: الآية: 85.   

Ertinya: Dan mereka akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh, katakan olehmu roh itu adalah daripada urusan pekerjaan Tuhanku.

          Roh jenis ini (latiffah robbaniah) telah pun mengaku dan mengenal keEsaan, keAgongan dan keBesaran Allah Ta’ala dengan sepenuh-penuh Haqqul yaqin, ketika itu roh ini belum lagi disatukan dengan jasad.

Firman Allah Ta’ala :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ : أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوْا بَلَى شَهِدْنَا.     

 سورة الأعراف: الآية: 172.                                        

Ertinya: Allah bertanya kepada sekalian arwah-arwah bukankah Aku Tuhan kamu? Jawab mereka sekalian bahkan kami telah menyaksikan Engkaulah Tuhan kami.

          Asal kejadian roh inilah yang perlu kita ikut dan asal kejadian roh inilah yang perlu kita kembali, apabila roh itu disatukan dengan jasad.

          Roh (latiffah robbaniah) ini juga akan menjadi penilaian Allah Ta’ala setelah ia disatukan dengan jasad.

          Sekiranya roh ini tenggelam dengan kejadian jasad celakalah ia, dan sekiranya jasad muafakat dengan asal kejadian roh (latiffah robbaniah) maka berbahagialah dia.


Asal kejadian manusia yang kedua : Jasad

Jasad juga terbahagi kepada dua bahagian:

Yang pertama:

Jasad asal kejadian Nabi Adam a.s. daripada empat jenis, iaitu, tanah, air, api dan angin.

Yang kedua:

Jasad asal kejadian manusia selain daripada Nabi Adam a.s, iaitu diciptakan daripada air yang hina.

 Firman Allah Ta’ala:

      أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ :ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلاَلَةٍ مِّنْ مَّاءٍ مَهِيْنٍ.

 سورة السجدة: الأية: 8.                                      

Ertinya: Kemudian Allah jadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati daripada air yang hina.

           Daripada asal kejadian tanah, air, api dan angin. Dan asal kejadian air yang hina ini terbentuknya satu jisim yang sangat halus, iaitulah dinamakan nafsu.

Kerana nafsu inilah wahyu diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Dan kerana nafsu inilah para-para Aulia Allah dibangkitkan. Tujuannya ialah untuk membimbing nafsu supaya kembali kepada asal kejadian roh (latiffah robbaniah).

Nafsu terbahagi kepada dua jenis:

Yang pertama: Nafsu Bahlol.

Makna nafsu bahlol ialah: Asal kejadian yang suka loyar buruk dan bodoh.

Najisnya nafsu bahlol ini apabila urusan dunia, dia berusaha  dengan bersungguh-sungguh tidak kira siang dan malam. Tetapi apabila urusan ibadat dan akhirat dia malas dia hanya menaruh harapan yang menggunung kepada Allah, Sabda Rasulullah s.a.w. :

وَالْعَاجِزُ مَنِ اتَّبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ.                        

Ertinya: Orang yang bodoh itu orang yang mengikut kemahuan hawa nafsunya dan menaruh harapan kepada Allah.

         Semasa hidup di dunia ikut hawa nafsu, apabila mati hendak masuk syurga Allah, inilah sifat nafsu bahlol. 

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

2 comments: