31 August 2009

JALAN CEPAT MENGENAL ALLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Disebut di dalam kitab Siyarus Salikin Juzuk 3, bab terakhir iaitu tentang ulama' sufi mengajar manusia mengenal Allah dengan cara yg cepat berbanding ulama' feqah melalui kisah Syeikh Junaid Al-Baghdadi ini.

Kisah bermula apabila sekumpulan orang yg menuntut ilmu feqah di Baghdad meninggalkan majlis mereka kerana pergi masuk di dalam halaqah zikir Syeikh Junaid. Ini menyebabkan ulama' feqah marah. Lalu Syeikh Junaid menghantar wakil kepada ulama' tersebut dan berkata " Jika ada 2 jalan untuk menemui kekasihnya, satu jalan mengambil masa 30 tahun dan satu jalan lagi hanya perlukan lebih kurang setahun untuk sampai. Jalan manakah yg perlu diikuti?"

Ulama feqah itu pun berkata "jalan yg lebih cepat lebih elok". Kemudian masing-masing mendakwa jalan merekalah yg lebih cepat untuk mendekati Allah Ta'ala.

Lalu Syeikh Junaid pun mengemukakan bukti iaitu dengan menyuruh seseorang melontarkan batu ke atas himpunan orang-orang sufi yg sedang berzikir. Apabila dilontarkan batu, orang-orang sufi yang sedang berada didalam himpunan zikir rasa terkejut kerana mereka sedang asyik berzikir dan seterusnya mengangkat suara mereka semakin kuat menyebut Allah, Allah.

Kemudian Syeikh Junaid menyuruh seseorang melontarkan batu ke atas himpunan orang-orang yg sedang mempelajari ilmu feqah. Apabila dilontarkan batu, orang-orang faqih tersebut memandang kepadanya serta memarahinya dengan kasar "Engkau tidak seharusnya melontarkan batu kepada kami, perbuatanmu itu haram!".

Lalu ulama' feqah tersebut beristighfar kepada Allah Ta'ala kerana sedar bahawa kesilapannya itu menentang Syeikh Junaid. Lalu beliau pun menjadi sahabat serta murid kepada Syeikh Junaid selepas peristiwa itu.

Dari kisah ini menunjukkan bahawa dengan hanya mendalami ilmu zahiri sahaja tidak mencukupi untuk mengenal Allah, menghayati kebesaran Allah, menghalusi adab sebagai hamba Allah. Semua perkara ini hanya dapat dicapai dengan berguru dengan ulama' tarekat yang telah sampai kepada hakikat & makrifat.

Dewasa ini kita sering lihat manusia yg alim dalam bidang agama tidak dapat menghayati Agama Islam, mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w., berakhlak mulia, sabar dan tenang menghadapi ujian, warak dalam tingkah laku (dengan meninggalkan yg haram, makruh dan syubhat). Ini kerana mereka menyangka ilmu itu memimpin tanpa perlu dipimpin oleh ulama Ahlullah. Sangkaan mereka; apabila dapat melaksanakan ibadah dengan tepat mengikut hukum-hakam seperti didalam kitab feqah, maka merekalah orang yg dikasihi Allah. Sedangkan sebenarnya hati & perasaan mereka amat jauh dari Allah, mereka lalai dari menghayati perbuatan Allah dalam realiti kehidupan. Dari sebab itulah mereka akan cepat marah, gagal mengawal emosi, lupa bahawa setiap atom yg bergerak didunia ini adalah dari kehendak Allah.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 August 2009

TAFSIR AL-QURAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Izinkan saya menjelaskan sedikit penerangan tentang Kalamullah.

Allah Ta'ala Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui telah berkata-kata kepada malaikat Jibril a.s. tanpa lafaz, tanpa suara dan tanpa jihhat (arah menghadap). Lalu difahami oleh Jibril erti segala kandungan Al-Quran (dengan izin Allah Ta'ala) dan diperintah oleh Allah Ta'ala untuk mengambil lafaznya dari Luh Mahfuz menerusi Malaikat Israfil a.s.. Setiap huruf di dalam Al-Quran di Luh Mahfuz sebesar Jabal Qaf. Dibawah setiap huruf itu terdapat beberapa pengertian diluar kemampuan makhluk mengetahuinya kecuali Allah Ta'ala sahaja. Lafaz Al-Quran tersebutlah yg turun kepada Rasulullah s.a.w.. Malaikat Jibril a.s. mengambilnya dari Luh Mahfuz dan direncanakan kepada malaikat Safarah perkataan demi perkataan agar boleh ditulis. Malaikat Safarah berada di Baitul Izzah (langit dunia). Penurunan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah adalah secara sekaligus.

Apabila Allah Ta'ala mahu menurunkan sesuatu daripada Al-Quran kepada Rasulullah s.a.w., Dia akan berfirman tanpa huruf, tanpa suara dan baginda akan faham KalamNya yang diturunkan mengikut kadar tertentu dan secara beransur-ansur hingga sempurna selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).

Demikianlah yang tercatit dalam Kitab Aqidatun najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad al-Fathani.

Ramai orang keliru tentang konsep Al-Quran sebagai sebahagian dari Kalamullah. Kalamullah beerti kata-kata (firman) Allah Ta'ala. Allah Ta'ala telah berkata-kata dan kata-kataNya telah dicatatkan di dalam kitab Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Ini dikategorikan sebagai kalam lafzi kerana ia dicatat, ada huruf, boleh dibaca oleh manusia.

Adapun kata-kata Allah Ta'ala yang didengar oleh Jibril a.s. di alam atas merupakan kalam Nafsi yang tiada huruf, tiada, lafaz, tiada bunyi dan tidak perlu menghadap mana-mana arah yang tidak terpisah dari zatNya.

Contoh mudah kalam lafzi; zaid bercakap lalu didengar oleh Ali. Ali menulis kata-kata Zaid didalam bukunya. Manakala kalam nafsi; kata-kata zaid yg hanya didengar & difahami oleh Ali yg mempunyai bunyi.

Kalam Nafsi inilah yang disifatkan Qadim oleh Imam Ahmad bin Hambal. Manakala ulama' Muktazilah menyangka Kalamullah hanya terhad kepada lafaz-lafaz yg dapat ditulis didalam mushaf Al-Quran (mushaf: kitab/buku). Jika diperincikan maksud memanglah mushaf Al-Quran adalah hadith (sesuatu yang baharu), yang baru dicetak ada dijual di kedai dan yang lama/ lusuh/ usang ada disimpan dirumah.

------tamat bahagian 1--------------------

Zaman Rasulullah s.a.w. para sahabat sangat berhati-hati dalam memahami makna Al-Quran. Mereka memahami Al-Quran menggunakan mata hati (kasyaf). Oleh kerana itu mereka jarang bertanyakan maksud ayat-ayat Al-Quran kecuali ayat-ayat yang penting yang perlukan penjelasan lanjut dari utusan Allah. Ini kerana bagi mereka setiap ayat Al-Quran hanya difahami dengan tepat maksudnya oleh utusan Allah iaitu Rasulullah s.a.w. yang rapat hubungannya dengan Allah.

Zaman silih berganti, kewafatan Rasullullah s.a.w. membuatkan para sahabat hilang sumber penjelasan. Lalu sesetengah mereka menjadikan Ibnu Abbas dan Kibar Sahabat (sahabat besar) sebagai rujukan. Penjelasan yang sedikit dan terhad dari mereka ini diriwayatkan dan dikumpulkan didalam Tafsir Thobari.

Zaman silih berganti, ulama semakin ramai. Kefahaman mereka terhadap isikandung Al-Quran juga berbeza (khilaf). lalu disinlah letaknya peranan Wali Allah yang diberi ilmu kasyaf (terbuka hijab) untuk memahami Al-Quran mengikut kefahaman yang difahami oleh Rasulullah s.a.w. bersesuaian dengan keredhaan Allah Ta'ala. Maka anda akan lihat ayat-Al-Quran yang ditafsir oleh mereka yang kenal Allah adalah berbeza dengan orang yang mentafsirkan Al-Quran menggunakan logik-akal masing-masing yang terbatas. Anda akan jumpa permasalahan ini dalam perbahasan tentang ayat muhmakat dan ayat mutasyabihat.

Jika anda salah dalam mentafsirkan titah sultan, tentu anda akan dipenjarakan walaupun anda tersalah memahaminya kerana terikut-ikut dengan tafsiran masyarakat awam.

Oleh itu, ulama' sangat berhati-hati dan beradab dalam hal ini. Istighfar banyak-banyak jika anda ingin mengeluarkan satu tafsiran ayat al-Quran. Ana tak guna tafsir pimpinan Ar-Rahman kerana ia dikritik banyak oleh ulama' sufi dan zahiri kerana diuduh mengaburi ayat yang berkaitan dengan hukum hudud. Dari segi "siqah" dan "dhabit" penulisnya juga dipertikai.

Berhubung isu ayat 35 dalam Surah Al-Maidah, ana syorkan agar tuan-tuan melihat tafsiran yang diberikan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam Al-Ghazali, Syeikh Ibnu Athoillah As-Sakandari, Muhammad Amin Al-Kurdi dan lain-lain ulama' sufi yang masih hidup dan telah terbuka hijab serta dikurniakan Allah ilmu Laduni (ilmu terus dari Allah Ta'ala). Dan kerana mereka ini mendengar kalam Allah yang terkini. Bukankah Allah itu bersifat Kalam dan Kaunuhu Mutakalliman. Kalam= mampu berkata-kata. Kaunuhu Mutakalliman= keadaan Allah Ta'ala yang berkata-kata.

Semoga Allah Ta'ala menunjukkan kita jalan yg benar dan diredhaiNya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

15 August 2009

ISRAK MIKRAJ


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Israk & Mikraj

Peristiwa ini adalah mukjizat besar Rasulullah s.a.w. dan ia wajib dipercayai kerana ia bersumber dari ayat Al-Quran dan Hadith Sahih.
Israk bererti perjalanan di muka bumi waktu malam Nabi Muhammad S.A.W. dengan ruh & jasad dalam jaga (bukan mimpi) dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Muqaddis, Palestin. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. ke langit dari Masjid al-Aqsa naik ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh dekat kursi Allah Taala.

Mafhum Firman Allah S. W. T. :

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

"Dan demi sesungguhnya nabi muhammad telah melihat malaikat jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. Disisi "Sidratul Muntaha".Yang disisinya terletak syurga "Jannnatul Makwa". Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam ngaib yang tidak terhingga. Penglihatan nabi muhammad tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat akan pemandangan yang indah disitu yang diizinkan melihatnya, dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan Tuhannya"
(An-Najm Ayat 13-18)

Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah iaitu tahun kesebelas kerasulan (Nabi Muhmammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul). Tahun tersebut disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita). Ini berikutan dengan musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu
Kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang pertama.
Kemudian disusuli pula dengan kematian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraiys.
Begitu juga dengan penolakan dakwah Islam dari penduduk Thaif.


A. SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ

Pada malam tersebut, Rasulullah S. A. W. berada di rumah sepupunya Ummu Hani bt Abu Talib, lalu datang Jibril mengejutkan baginda. Lalu baginda dibawa menaiki buraq menuju ke Kaabah untuk proses pembersihan hati.

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan di dada, ia dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimun nubuwwah". Selesai pembedahan, baginda menaiki Buraq meneruskan perjalanan luar biasa itu.

B. SEMASA ISRAK (PERJALANAN DARI MASJIDIL-HARAM KE MASJIDIL-AQSA):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a. s. menerima wahyu daripada Allah.
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ifrit dengan obor api. (Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.)

Semasa dalam perjalanan Rasulullah S. A. W. ke Masjid AL-Aqsa, baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi iaitu:
1.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2.Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibril : Itulah bau kubur Masyithoh (tukang sikat rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba`.

7.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat bersama para nabi & rasul lainnya menjadi makmum.

Selepas solat, Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

C. SEMASA MIKRAJ (NAIK MENEMUI ALLAH):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1.Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S.

2.Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

3.Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi Musa A. S. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah di Baitul-Ma'mur. Rasulullah lalu dapat melihat 70,000 malaikat yang masuk setiap hari ke dalamnya. Setelah melihat beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Di Sidratul-Muntaha, Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu (akar pokok ini di langit ke-6, pucuknya dilangit ke-7): Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.

9.Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malaikat Malik penjaganya.

10. Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Shoriful-Aqlam seorang diri tanpa ditemani Jibril.

11. Apabila Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T., lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah s.w.t. dan Rasulullah S. A. W., sehingga dikeluarkan perintah solat 50 kali sehari-semalam.

12. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. turun lalu bertemu Nabi Musa A. S. (di langit ke-6) yang kemudiannya meminta Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. Walaupun begitu, Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

13. Selepas itu Rasulullah S. A. W. melihat rupa asal Jibril a.s. yang sangat besar dengan 600 sayap yang meliputi ufuk.


D. SELEPAS MIKRAJ

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Keesokan harinya, Rasulullah s.a.w. memberitahu kaum Quraiys pengalaman tersebut. Lalu didustakan mereka kerana kebiasaannya perjalanan dari Mekah ke Baitul Muqaddis mengambil masa 1 bulan pergi dan 1 bulan pulang. Lalu murtadlah sebahagian umat Islam. Berbeza dengan Saidina Abu Bakar r.a. selepas mendengar penjelasan dari Rasulullah s.a.w. tentang peristiwa malam tersebut, beliau berkata
“صدقت ، أشهد أنك رسول الله”
(Engkau benar!, Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah).

Sejak peristiwa ini, beliau digelar As-Siddiq yang Benar kerana kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar daripada Baginda Rasulullah s.a.w ketika diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

Orang kafir Quraiys yang pernah mengunjungi Baitul Muqaddis juga mencabar dengan bertanyakan tentang keadaan pintu dan tiang di sana. Lalu dapat dijawab oleh Rasulullah s.a.w. dengan tepat.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi s.a.w. langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik sahaja Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah S.w.t.. Allah S.w.t. telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Wallahu A’lam.

Pesanan:
Jika ada perbezaan riwayat, seeloknya kita gabungkannya menjadi satu kisah peristiwa yang lengkap. Elakkan dari menyalahkan riwayat yang lain.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

13 August 2009

SOMBONG


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sombong salah satu dari sifat tercela yang sangat dibenci Allah Ta'ala. Ini kerana sombong adalah sifat yang layak bagi Tuhan, tetapi ia haram dipakai oleh makhluk. Al-Mutakabbir (suka membesarkan diri) adalah salah satu nama Allah Ta'ala Yang Maha Agung.

Sombong yang ada pada makhluk ada banyak kategori iaitu:

1. Rasa diri hebat. Contohnya iblis yg dijadikan dari api (api yg istimewa), raja yg zalim, pahlawan yg gagah, cendekiawan yg bijak, ahli korporat yang kaya.

2. Rasa tak perlukan Tuhan. Contohnya raja yang lalai dari mengingati Allah, pahlawan yg malas solat, cendekiawan yang tak tahu mengaji Al-Quran, ahli Korporat yang kedekut menyumbang wang kepada Masjid & Badan Islam.

3. Rasa diri dah cukup sempurna. Contohnya Artis yg ingin sentiasa muda dan bergaya, ahli agama yang tak mahu mendengar nasihat dari ulama' Ahlullah, Cendekiawan sarjana yang ta'asub dengan sistem pendidikan sekular.

Sebenarnya kita adalah makhluk yang hina, jahil lagi banyak dosa. Sepatutnya kita kena lebih banyak rasa tawadhuk, rendah diri, rasa banyak kelemahan, sedar kekotoran hati, banyak menangis sedikit ketawa, banyak mengaji Al-Quran kurangkan membaca "paper", banyak berlapar (puasa) - kurangkan makan (berhenti sebelum kenyang), banyak berkhalwat (bersuluk) kurang berpeleseran.

Tapi manusia kebanyakannya adalah jahul, kafur, zalum, kanud, togho. Apa salahnya jika kita merendahkan diri dihadapan Allah Ta'ala, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan mendampingi para wali Allah dengan mengikuti nasihat dan dorongan dari mereka.

Kita sebenarnya perlukan seorang 'arifbillah yang mampu mentarbiah dan membimbing manusia untuk menggilapkan jiwa daripada nafsu-nafsu yang tercela sehingga dapat mengenal Allah s.w.t dengan sebenar – benarnya. Mereka dikenali dengan panggilan syeikh, mursyid atau murabbi. Tanpa bimbingan daripada mereka manusia akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan dan kesombongan. Kata Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi di dalam kitab Tanwirul Qulub:

”Sesiapa yang tiada guru yang membimbingnya maka syaitanlah yang menjadi gurunya”.

Kata Syeikh Abd Samad Al-Palembani di dalam kitab Sairus Salikin yang menaqalkan daripada Syeikh Tajuddin Naqshabandi di dalam Risalah Al-Makkiah:

“Mencari guru mursyid di dalam perjalanan ahli sufi adalah wajib ke atas setiap murid yang salik dan walaupun ia adalah daripada ulama’ besar sekalipun”.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

10 August 2009

ALAM MAHSYAR





Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.
2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy ( عرش ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi ( كرسي ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.


Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

05 August 2009

KENANGAN MANIS DI DUNIA



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Bagi orang mukmin yang luar biasa, kenangan manis di dunia ialah:
1. Dapat berjumpa dengan ulama' Ahlullah, wali Allah & orang soleh.
2. Dapat bersahabat dengan mereka
3. Dapat bersuluk, beribadah dengan banyak & lama dengan hati yg ikhlas
4. Dapat menangis mengenangkan kebesaran Tuhan
5. Dapat mengingati Tuhan setiap detik, saat, turun naik nafas.

Jarang-jarang orang dapat kenangan seperti ini. Oleh itu, mereka ini dianggap luar biasa oleh manusia. Inilah golongan yg sedikit yang sentiasa bersyukur.

Bagi orang muslim yang biasa, kenangan manis di dunia ialah:
1. Dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, lalu dipuji orang
2. Dapat tamat universiti & graduate pakai jubah hitam, topi hitam, terima skroll dari canselor dengan segala macam kemegahan
3. Dapat kenaikan gaji beribu ringgit, bonus tahunan 5 kali gaji, dianugerahi pingat cemerlang
4. Dapat kahwin dengan wanita cantik / lelaki hensem
5. Dapat hadiah / bercuti diluar negara.

Ramai orang dapat kenangan manis seperti ini termasuklah orang kafir. Oleh tu, mereka ini dianggap biasa oleh penduduk langit kerana ramai manusia memang macam ini perangainya. Jika nyawa golongan seperti ini terancam atau disakiti atau dicabut oleh Izrail a.s., tiada siapa pun dari kalangan malaikat peduli. Nyawa mereka tiada nilai, umpama nyawa ribuan ayam yg mati setiap hari dirumah sembelihan.

Berbeza dari golongan yg pertama tadi, mereka sentiasa jadi perhatian malaikat kerana Tuhan puji dengan sikap mereka yg tunduk, patuh dan sentiasa merendahkan diri kpd Tuhan sekelian Alam.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

01 August 2009

LOGIK- TANDA KURANG IMAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Semakin tinggi keimanan kita kepada Allah Ta'ala dan RasulNya, semakin kuranglah kita menggunakan logik akal pemikiran, bahkan semakin banyaklah kita menggunakan hati & perasaan bagi mengenang keagungan & kebesaran Tuhan.

Kenapa logik tanda kurang iman? Rukun Iman menyuruh kita percaya dengan yakin dengan perkara-perkara ghaib yang tidak ada dihadapan mata kita dan tidak boleh dibuktikan dengan kajian dan analisa sains. Hanya kadang-kadang kajian sains itu menyokong kandungan Al-Quran bila Tuhan buka sedikit rahsia alam kepada saintis yg jujur & mencari kebenaran.

Beriman kepada kewujudan Allah Ta'ala, Malaikat, syurga, neraka, arasy, kursi, luh mahfuz, qalam dll tidak akan dapat dibuktikan dengan logik sains. ini kerana hal ghaib tidak dapat ditangkap kewujudannya oleh pancaindera yg 5 (lihat, dengar, bau, rasa, sentuh). Mana mungkin kita dapat rasa kepanasan api neraka sewaktu hidup didunia.

Anda juga akan dapati ribuan hadith Nabi s.a.w. yg menyentuh tentang perkara ghaib yang memerlukan PERCAYA DENGAN YAKIN TANPA SYAK WASANGKA ATAU RAGU-RAGU. Keimanan diperolehi setelah kita yakini dengan teguh berhubung perkara-perkara ghaib tersebut.

Setelah diyakini sekian lama dan diuji keimanan kita, barulah Tuhan buka hijab dengan memperlihatkan perkara ghaib tersebut melalui mata hati (sixth sense). Ketika itu barulah anda akan sedar bahawa alam ghaib penuh dengan keajaiban dan tanda kebesaran Tuhan. Semua yg berlaku tidak ada logiknya. Jutaan malaikat yg mengelilingi arasy setiap saat, pohon Sidratul Muntaha yg tinggi menjulang, keindahan syurga yg tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.

Kata-kata yg logik bermakna kata-kata yang belum capai darjat mutmainnah. Yg ada hanya kekufuran dan kesyirikan serta keimanan yg belum matang. Lihatlah Allah Ta'ala memuliakan Saidina Abu Bakar r.a. dengan gelaran As-Siddiq (yang terus percaya dan yakin terhadap peristiwa Israk & mikraj. Perjalanan yg mengambil masa 2 bulan terjadi dalam masa 1 malam).

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.