31 August 2009

JALAN CEPAT MENGENAL ALLAH


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Disebut di dalam kitab Siyarus Salikin Juzuk 3, bab terakhir iaitu tentang ulama' sufi mengajar manusia mengenal Allah dengan cara yg cepat berbanding ulama' feqah melalui kisah Syeikh Junaid Al-Baghdadi ini.

Kisah bermula apabila sekumpulan orang yg menuntut ilmu feqah di Baghdad meninggalkan majlis mereka kerana pergi masuk di dalam halaqah zikir Syeikh Junaid. Ini menyebabkan ulama' feqah marah. Lalu Syeikh Junaid menghantar wakil kepada ulama' tersebut dan berkata " Jika ada 2 jalan untuk menemui kekasihnya, satu jalan mengambil masa 30 tahun dan satu jalan lagi hanya perlukan lebih kurang setahun untuk sampai. Jalan manakah yg perlu diikuti?"

Ulama feqah itu pun berkata "jalan yg lebih cepat lebih elok". Kemudian masing-masing mendakwa jalan merekalah yg lebih cepat untuk mendekati Allah Ta'ala.

Lalu Syeikh Junaid pun mengemukakan bukti iaitu dengan menyuruh seseorang melontarkan batu ke atas himpunan orang-orang sufi yg sedang berzikir. Apabila dilontarkan batu, orang-orang sufi yang sedang berada didalam himpunan zikir rasa terkejut kerana mereka sedang asyik berzikir dan seterusnya mengangkat suara mereka semakin kuat menyebut Allah, Allah.

Kemudian Syeikh Junaid menyuruh seseorang melontarkan batu ke atas himpunan orang-orang yg sedang mempelajari ilmu feqah. Apabila dilontarkan batu, orang-orang faqih tersebut memandang kepadanya serta memarahinya dengan kasar "Engkau tidak seharusnya melontarkan batu kepada kami, perbuatanmu itu haram!".

Lalu ulama' feqah tersebut beristighfar kepada Allah Ta'ala kerana sedar bahawa kesilapannya itu menentang Syeikh Junaid. Lalu beliau pun menjadi sahabat serta murid kepada Syeikh Junaid selepas peristiwa itu.

Dari kisah ini menunjukkan bahawa dengan hanya mendalami ilmu zahiri sahaja tidak mencukupi untuk mengenal Allah, menghayati kebesaran Allah, menghalusi adab sebagai hamba Allah. Semua perkara ini hanya dapat dicapai dengan berguru dengan ulama' tarekat yang telah sampai kepada hakikat & makrifat.

Dewasa ini kita sering lihat manusia yg alim dalam bidang agama tidak dapat menghayati Agama Islam, mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w., berakhlak mulia, sabar dan tenang menghadapi ujian, warak dalam tingkah laku (dengan meninggalkan yg haram, makruh dan syubhat). Ini kerana mereka menyangka ilmu itu memimpin tanpa perlu dipimpin oleh ulama Ahlullah. Sangkaan mereka; apabila dapat melaksanakan ibadah dengan tepat mengikut hukum-hakam seperti didalam kitab feqah, maka merekalah orang yg dikasihi Allah. Sedangkan sebenarnya hati & perasaan mereka amat jauh dari Allah, mereka lalai dari menghayati perbuatan Allah dalam realiti kehidupan. Dari sebab itulah mereka akan cepat marah, gagal mengawal emosi, lupa bahawa setiap atom yg bergerak didunia ini adalah dari kehendak Allah.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

1 comment:

  1. Assalamuaalikum
    post ustaz kali ni ada makna yg mendalam.. alhamdulillah,..

    ReplyDelete