13 August 2009

SOMBONG


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Sombong salah satu dari sifat tercela yang sangat dibenci Allah Ta'ala. Ini kerana sombong adalah sifat yang layak bagi Tuhan, tetapi ia haram dipakai oleh makhluk. Al-Mutakabbir (suka membesarkan diri) adalah salah satu nama Allah Ta'ala Yang Maha Agung.

Sombong yang ada pada makhluk ada banyak kategori iaitu:

1. Rasa diri hebat. Contohnya iblis yg dijadikan dari api (api yg istimewa), raja yg zalim, pahlawan yg gagah, cendekiawan yg bijak, ahli korporat yang kaya.

2. Rasa tak perlukan Tuhan. Contohnya raja yang lalai dari mengingati Allah, pahlawan yg malas solat, cendekiawan yang tak tahu mengaji Al-Quran, ahli Korporat yang kedekut menyumbang wang kepada Masjid & Badan Islam.

3. Rasa diri dah cukup sempurna. Contohnya Artis yg ingin sentiasa muda dan bergaya, ahli agama yang tak mahu mendengar nasihat dari ulama' Ahlullah, Cendekiawan sarjana yang ta'asub dengan sistem pendidikan sekular.

Sebenarnya kita adalah makhluk yang hina, jahil lagi banyak dosa. Sepatutnya kita kena lebih banyak rasa tawadhuk, rendah diri, rasa banyak kelemahan, sedar kekotoran hati, banyak menangis sedikit ketawa, banyak mengaji Al-Quran kurangkan membaca "paper", banyak berlapar (puasa) - kurangkan makan (berhenti sebelum kenyang), banyak berkhalwat (bersuluk) kurang berpeleseran.

Tapi manusia kebanyakannya adalah jahul, kafur, zalum, kanud, togho. Apa salahnya jika kita merendahkan diri dihadapan Allah Ta'ala, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan mendampingi para wali Allah dengan mengikuti nasihat dan dorongan dari mereka.

Kita sebenarnya perlukan seorang 'arifbillah yang mampu mentarbiah dan membimbing manusia untuk menggilapkan jiwa daripada nafsu-nafsu yang tercela sehingga dapat mengenal Allah s.w.t dengan sebenar – benarnya. Mereka dikenali dengan panggilan syeikh, mursyid atau murabbi. Tanpa bimbingan daripada mereka manusia akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan dan kesombongan. Kata Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi di dalam kitab Tanwirul Qulub:

”Sesiapa yang tiada guru yang membimbingnya maka syaitanlah yang menjadi gurunya”.

Kata Syeikh Abd Samad Al-Palembani di dalam kitab Sairus Salikin yang menaqalkan daripada Syeikh Tajuddin Naqshabandi di dalam Risalah Al-Makkiah:

“Mencari guru mursyid di dalam perjalanan ahli sufi adalah wajib ke atas setiap murid yang salik dan walaupun ia adalah daripada ulama’ besar sekalipun”.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment