30 May 2009

KEMBARA ROH & ALAM KUBUR


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Apabila tiba waktu dan tempat yang telah Allah Ta'ala tetapkan, tamatlah tempoh beramal seorang manusia. Malaikat Izrail dengan patuh menjalankan tugasnya.

Roh orang mukmin di tarik dengan lemah lembut umpama menarik rambut dari tepung. Manakala roh orang bukan mukmin direntap dengan sentapan yg kuat dan menyakitkan walaupun jasadnya terbaring di atas tilam mewah di dalam bilik yg ada "air cond".

Kemudian roh orang mukmin dibawa menghadap Allah Ta’ala dengan diletakkan atas wangian kasturi lalu ditutupi dengan kain sutera. Manakala roh orang bukan mukmin diletakkan atas bara api yang meletup-letup dan menggelegak lalu dibaluti kain buruk.

Selepas bertemu Tuhan, malaikat akan menunjukkan kepadanya tempat yang bakal didiami samada di syurga atau di neraka. Kemudian, roh akan dikembalikan ke dalam kubur untuk disoal oleh Malaikat Munkar & Nakir. 

Roh orang mukmin akan dapat menjawab dengan mudah soalan "Siapa Tuhanmu, Siapa Nabimu...". Dia akan jawab dengan lancar & betul sambil disaksikan oleh amalannya. Manakala roh orang bukan mukmin tidak dapat menjawab, lalu dicaci oleh amalannya.

Kemudian roh orang mukmin akan tinggal berehat di dalam kubur yang diluaskan sejauh mata memandang hingga ke hari Kiamat. Manakala roh orang bukan mukmin akan disiksa dengan azab kubur (ular berbisa, kala jengking dan malaikat) hingga hari Kiamat kecuali pada bulan Ramadhan (direhatkan dari azab kubur).

Roh-roh tersebut akan makan amalannya. Jika tidak cukup, ia akan berebut-rebut dari hadiah pahala yang dari orang mukmin yang masih hidup. Kerana itu Nabi s.a.w. bersabda apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: 1. Sedekah jariah 2. Ilmu yg bermanfaat 3. Doa dari anak yg soleh 

Roh juga dibenarkan mengunjungi warisnya (anak-isteri) pada malam Jumaat untuk mengambil hadiah pahala dari mereka.

* Hantu raya berasal dari jin yg masih hidup, lalu menyerupai si mati. Sebenarnya si mati tidak berpeluang membalas dendam kerana terpesona berehat sambil menikmati pemandangan syurga dari jauh atau sibuk disiksa dalam kubur dan menderita melihat pemandangan neraka dari kuburnya, nauzubillah. 

Semoga Allah Ta'ala menganugerahkan kita kekuatan iman untuk menghadapi alam kubur.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

25 May 2009

SAMAK - Mendengar


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Samak ertinya mendengar. Tuhan Maha Mendengar. Pendengarannya meliputi keseluruh alam samada kuat atau perlahan, jelas atau bisikan, ada halangan atau tidak, didalam bilik atau ditengah lautan, ada bunyi atau tidak ada bunyi, tanpa alat mendengar seperti telinga. 

Allah Ta'ala sentiasa mendengar dan faham setiap bunyi percakapan dan sumbernya samada ia datang dari makhluk manusia, haiwan, pokok, angin atau makhluk halus seperti jin, syaitan. Semua bunyi dan bahasa didengari & difahami oleh Tuhan Pencipta Alam kerana bunyi dan bahasa adalah makhluk ciptaanNya.

Setiap makhluk yang Tuhan jadikan ada bahasanya. Tuhan anugerahkan kepada Nabi Sulaiman a.s. kefahaman terhadap bahasa angin. Angin bercakap. Air bercakap. Bumi bercakap. Kubur bercakap. Ulat & batu bercakap. Syurga neraka bercakap. Tapi bahasa mereka hanya Tuhan yang faham. Dan Tuhan anugerahkan faham bahasa tersebut kepada sesiapa yg Tuhan kehendaki.

Ada bahasa percakapan. Ada bahasa bunyi. Ada bahasa gerak-geri. Ada bahasa gelombang. Bahasa percakapan seperti bahasa Melayu. Bahasa bunyi seperti jeritan neraka memarahi penghuninya. Bahasa gerak-geri seperti bahasa org bisu menggunakan tangan. Bahasa gelombang seperti suara org ditalian telefon bimbit bergerak ke udara tanpa bunyi tetapi ia masih dapat didengari oleh orang yg ada alat utk menerima gelombang yg sama cth tv dengan tv, radio FM dengan radio FM. Semua ini dapat digunakan oleh org muslim & kafir (yg Tuhan sayang & yg Tuhan benci). Semua bahasa ini dapat didengari oleh Tuhan.

Ada bahasa yg Tuhan anugerahkan kepada kekasihnya sahaja iaitu bahasa hati yg dapat menghubungkan antara wali-wali Allah diseluruh dunia samada yg masih hidup atau yg telah meninggal dunia. Bahasa ini tiada bunyi dan tiada suara. Dan kadang-kala bahasa ini ada suara dan boleh melangkau ribuan kilometer seperti Saidina Omar r.a. memberi arahan kepada tentera Islam yg sedang bertempur ratusan kilometer dari tempatnya.

Pohonlah pertolongan Tuhan walaupun anda berada ditengah lautan, ditengah angkasaraya, di celah awan biru kerana Dia Maha Mendengar.

Suara hati yg buruk (cth melaknat org lain) tidak dikira dosa disisi ilmu feqah. Tetapi ia tetap dikira kesalahan & keburukan disisi wali Allah. Janganlah menipu Tuhan dengan menyembunyikan suara buruk hati anda. Setiap lintasan suara hati yg buruk tidak terlepas dari pendengaran Tuhan. Bertaubat, mengaku salah & membersihkan hati darinya adalah jalan terbaik utk menghadapinya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

20 May 2009

SIFAT HAYAT - Hidup


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Hayat ertinya hidup. Allah Ta'ala wajib bersifat hayat iaitu hidup. Hidup yang berbeza dengan hidupnya makhluk. Hidup yang tidak didahului mati dan tidak juga diakhiri mati. Hidup tanpa nyawa, tanpa bernafas, tanpa makan, minum, tempat tinggal, pakaian. Hidup yang tidak terikat dengan kehidupan yang lain.  Hidup yang tidak perlukan tubuh-jasad-kulit seperti manusia. Hidup yang tidak perlukan tempat untuk berpijak, masa untuk tua, arah untuk dihadap.

Hidup makhluk perlukan makan, minum untuk dapat sedikit tenaga, lalu berupaya bangun bekerja. Hidup jenis ini tidaklah sempurna kerana ia akan lemah tanpa makan, minum. Sedangkan Tuhan wajib bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi Tuhan.

Sempurnanya hidup manusia bila hidup mereka ada nyawa, jasad dan anggota yang dapat dipuji jika cantik, dapat dipukul jika jahat, dapat di hukum penjara jika buat jenayah. Sedangkan kesempurnaan ini adalah kekurangan disisi Tuhan kerana Tuhan tidak hidup dalam batasan dan peraturan makhluk. Jika Tuhan dapat di ikat lalu disalib itu tandanya tuhan itu lemah dan tidak berkuasa penuh. Ini mustahil bagi Tuhan.

Kehidupan manusia perlukan pakaian dan tempat tinggal untuk berlindung dari panas-sejuk, binatang buas, serangan musuh dan ribut banjir bencana. Kelemahan ini memang wujud pada makhluk kerana makhluk bersifat lemah dan memerlukan bantuan dan tempat berlindung. Kelemahan seperti ini tidak wujud pada Tuhan. 

Walaubagaimanapun, Tuhan ada rumah di dunia iaitu masjid, ka'abah (baitullah). Tetapi ia bukanlah untuk berlindung. Sebaliknya untuk dikunjungi oleh mereka yang beriman untuk menunjukkan amalan taat kepadaNya. Tuhan juga ada arasy (istana) di langit. Tetapi ia adalah lambang keagungan Tuhan yang Maha Berkuasa. Tuhan juga ada kursi (singgahsana) di dalam arasy tetapi ia sebagai lambang kebesaran, kekuasaan, kemuliaan, kehebatan Allah Ta'ala.

Tuhan hidup tanpa nyawa. Kerana nyawa itu sendiri adalah makhluk Tuhan. Tuhan Maha Kaya dalam mencipta nyawa untuk seluruh makhlukNya. Tidak perlulah Tuhan recycle nyawa manusia untuk dijadikan nyawa binatang seperti yang ada dalam fahaman reincarnation atau hukum karma.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

15 May 2009

SIFAT ILMU


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ilmu bermaksud pengetahuan tentang sesuatu dengan benar dan tepat dan bukanlah maklumat yang masih diragui kebenarannya.

Allah Ta'ala wajib bersifat ilmu iaitu tahu dengan tepat tentang keadaan zatNya dan segala sesuatu selain dariNya. Sesuatu selainNya dinamakan "alam".  Maksudnya, Tuhan Maha Mengetahui segala-gala yg berlaku di alam ini samada perkara ini besar atau kecil, mudah atau sukar, makro atau minor, banyak atau sedikit, gelap atau terang, jauh atau dekat, terdedah atau tersorok dll.

Tuhan maha Mengetahui jika ada seekor anak semut yang berada di atas batu hitam dimalam yang gelap tanpa bulan. Tuhan juga Maha Mengetahui apa yg zahir diucapkan oleh hambaNya dan apa sahaja yg terdetik di dalam hati mereka. Segala-galanya tidak terlepas dari pengetahuan Allah Ta'ala kerana Dia lah yang menjadikan setiap sesuatu (hatta sebiji atom) dan Dia lah yang berkuasa menggerakkan setiap sesuatu yang muafakat dengan kehendakNya.

Kita sebagai hamba yang jahil, hina, buta, pekak lagi banyak dosa wajib sentiasa bertaubat atas apa yg kita cakap dan terdetik dalam mulut dan hati yang tidak bersesuaian dengan kehendak dan keredhaanNya. Hati kena jujur dan lurus. Jangan kita jadi munafik. Cakap tak serupa bikin. Zahir mukmin tetapi jiwa kafir dan munafik. Solat belakang Rasululullah s.a.w. tetapi berkawan dengan orang fasiq dan kafir. Semua rahsia dalam hati kita Tuhan tahu. Dan Dia berhak memberitahunya kepada kekasihnya (Wali Allah). Oleh kerana itulah dikatakan bahawa Wali Allah telah dapat percikan kecil dari lautan ilmu Allah Ta'ala. Ilmu Laduni.

Ilmu Pengetahuan Tuhan amat luas dan Tuhan Maha Bijaksana menyusun setiap sesuatu yg berlaku. BijaksanaNya menyusun alam yg terdiri dari bumi, langit dan bintang yg tidak berlanggaran antara satu sama yg lain. BijaksanaNya membahagikan tugas dan peranan binatang jinak-buas, udara panas-sejuk, tekanan tinggi-rendah, manusia pemimpin-rakyat sehingga susunanNya dikagumi oleh setiap makhluk baik mukmin atau kafir.

Oleh itu kita perlu akui kebodohan diri kita hendak mencaturkan alam, menyusun semuladan mengubah susunan Tuhan. Seringkali kita rasa bijak dan cerdik walaupun sebenarnya ilmu itu segala-galanya datang dari Tuhan. kita hanyalah dianugerahkan sepercik ilmu dari lautan ilmu Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kita juga perlu akui kebodohan kita hendak melaksanakan perintah Allah dalam keadaan yang bersesuaian dengan keredhaanNya. Selalulah mengakui kebodohan diri. Semoga satu masa nanti Tuhan akan anugerahkan kita mata hati dan ilmu laduni (ilmu yg diperolehi tanpa belajar) untuk membezakan antara yg betul dan yg salah. Sebagaimana Tuhan anugerahkan kepada Nabi Khidir a.s. semasa mendidik Nabi Musa a.s. Jangan cuba menipu Tuhan dengan menipu Wali Allah. Kita takkan berjaya menipu mereka. Nauzubillah.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

10 May 2009

IRADAT - IZIN & KEHENDAK


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Iradat ertinya berkehendak. Allah Ta'ala ada kehendakNya yg tersendiri dan setiap sesuatu yg berlaku adalah mengikut kehendak dan izinNya. 

Setiap yg berlaku adalah disebabkan kehendakNya dan bukan tersilap, automatik, semulajadi, tersasul. 

Setiap kehendak Allah Ta'ala ada hikmahnya.  Kita sebagai makhluk yg bodoh, jahil, hina lagi banyak dosa kadang-kadang memandangnya sebagai baik-buruk, cantik-hodoh, mulia-hina, cerdik-jahil, cerah-ribut, aman-perang, syurga-neraka dll. Manusia yg cerdik, kaya, mulia dilahirkan atas kehendak Tuhan. Begitu juga manusia yang hodoh, hina, miskin pun lahir atas kehendak Tuhan. Semua ini ujian buat si hamba melalui bukti taqwa mereka yg akan membezakan tempat di akhirat.

Walaubagaimanapun, adab kita kepada Tuhan, janganlah kita sibuk menyebut "Tuhan jadikan tahi". Tetapi fikirkan apa hikmah Tuhan jadikan ia dan dilarang menyebut-nyebutnya kecuali untuk tujuan mengajar dan belajar.

Kadang-kadang kehendak Tuhan berlawanan dengan kehendak nafsu kita yg jahat contohnya kita hendak hari cerah tetapi Tuhan turunkan hujan. Bila ini berlaku kita sebagai hamba wajib minta ampun kerana bersalahan kehendak dengan Tuhan. Mungkin nafsu kita nak cuaca cerah agar mudah kita buat maksiat / salah dengan Tuhan tanpa kita sedar. Ini perlu kita cermin diri sendiri.

Kadang-kadang, kita hendak menang, tetapi Tuhan beri kalah. Kita sudah berusaha tetapi Tuhan menentukan "kalah" utk kita. Mesti ada hikmah disebalik ketentuan Tuhan itu. Sebagai hamba, kita kena baiki diri dan kelemahan yg mengundang kekalahan itu.

Kadang-kadang Tuhan dah tetapkan sejak azali bahawa kita miskin hingga akhir hayat tetapi kita hendak juga kaya. Bila ini berlaku kita perlu mengosongkan hati dengan zuhud terhadap kaya atau miskin. Dalam masa yg sama kita wajib bekerja kerana kita masih dalam tingkatan/ maqam usaha. Lainlah jika kita telah capai maqam tajrid seperti Maryam yg dapat makanan dari langit tanpa usaha.

Firman Allah Ta'ala: "Kadang-kadang sesuatu itu buruk bagi kamu tetapi ia sebenarnya adalah baik untuk kamu. Dan kadang-kadang kamu suka sesuatu tetapi ia sebenarnya tidak baik untuk kamu"

Untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, kita perlulah mengutamakan kehendak Tuhan. Untuk permulaan, kosongkan hati dan buang angan-angan serta pendekkan cita-cita. Serahkan semua keputusan kepada Tuhan. Dalam masa yg sama buat kerja seperti biasa tanpa dikurangi usaha dan ikhtiar. Insya Allah Tuhan akan buka hati anda memahami kehendakNya dengan lebih dekat.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

05 May 2009

UJUB - HAIRAN DIRI


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

UJUB ialah perasaan hairan yang lahir dari dalam diri kerana menyangka diri sendiri telah beramal dengan sungguh-sungguh dan telah diampunkan serta bebas dari segala dosa yang menyebabkan tuan punya diri rasa mulia berbanding orang lain.

Penyakit hati ini tidak dapat dikesan menggunakan alat x-ray atau scanner wabak penyakit berjangkit. Ia hanya dapat diketahui melalui teguran dari Tuhan melalui mulut guru Mursyid, orang soleh atau setelah mempelajari ilmu tasawwuf. Pun begitu masih ramai ulama', orang alim, ustaz-ustaz, ahli ilmu, profesor, penceramah agama terperangkap dalam tipu daya "ujub" ini.

Kebiasaan manusia akan berusaha menjauhi dosa zahir (maksiat mata, mulut, teinga, kaki, tangan dll) lalu menganggap dirinya telah bersih dari dosa lalu dan yakin akan selamat dari dosa pada masa akan datang seterusnya rajin beribadah walaupun menyedari sebenarnya mereka masih belum dekat dengan Allah Ta'ala.  

Satu kisah dimana seorang 'abid (ahli ibadah) bani israel sedang sujud, tiba-tiba datang seseorang lalu memijak kepalanya. Lantas si 'abid naik angin lalu berkata "Semoga Tuhan tidak akan mengampuni dosa kamu selama-lamanya". Tiba-tiba dia terdengar suara dari langit mengatakan "Sebenarnya engkaulah yg tidak akan diampuni Tuhan kerana rasa mulia dalam dirimu dan menyangka diri hebat".

Sebenarnya Tuhan Maha mengetahui penyakit hati yg ada dalam hati kita. Kadang-kadang, Tuhan sengaja menguji kita agar kita sedar penyakit hati itu dan segera membersihkannya. Atau mungkin Tuhan biarkan kita tidak sedar akan kehadiran penyakit hati itu agar ia menjadi sebab bagiNya mengazab kita diakhirat kelak. Nauzubillah.

Ya Allah, dengan Kebesaran dan keagunganMu, dengan berkat Rasulullah s.a.w. dan berkat ahli zaman, bersihkanlah hati hambaMu ini dari segala penyakit hati.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

01 May 2009

SULUK





(Gambar: Rumah yg terdapat di dalamnya lubang suluk Tok Selehor, Tumpat, Kelantan)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Suluk, khalwat, tahannuth, uzlah kebiasaannya merujuk kepada satu aturcara untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala yang biasa dianjurkan oleh ulama' sufi. Sebelum Nabi Muhammad s.a.w. dilantik sebagai rasul, baginda kerap bersuluk di gua hirak yg terletak di jabal nur, Mekah. Baginda mengosongkan hati dari makhluk dan mengingati kebesaran Tuhan yang menjadikan sekelian alam. 

Manusia perlu mengasingkan diri dari masyarakat sementara waktu untuk membersihkan hati dari penyakit hati. Manusia biasa umpama ulat bulu yang gatal bila disentuh orang. Tetapi Tuhan ilhamkan kepada ulat bulu agar beruzlah (mengasingkan diri) di dalam kepompongnya untuk sementara waktu. Waktu beruzlah dipenuhi dengan berzikir mengingati Tuhan Yg Maha Esa. Apabila tiba masanya si ulat bulu akan keluar dari kepompong dengan sayap yg indah dan bebas dari alam ulat bulunya yg terhad di atas daun-daun hijau sahaja. Kali ini ia dikenali sebagai rama-rama yg sangat dikagumi dan hanya mendampingi bunga-bunga yg indah juga.

Begitulah manusia, kita sebenarnya perlu masa untuk beruzlah, bersuluk, berzikir mengingati Allah agar kita dianugerahkan perubahan ke arah kebaikan, sifat-sifat mahmudah yg indah, perilaku yang baik dan menjadi contoh bagi umat Islam yg lain. Luangkanlah sedikit masa beruzlah ke surau atau masjid. Jika ada habuan, kita dianugerahkan guru mursyid yg dapat memimpin kita bersuluk seperti yg telah dianjurkan oleh Tok Selehor (Ulama' Sufi).

Suluk yang dilakukan dengan tumpuan dan ikhlas dapat mengubah sikap, sifat dan tabiat secara automatik tanpa disedari. Itulah kebaikan dan sumbangan yg paling berharga buat Agama Islam iaitu memperbaiki diri hingga menjadi contoh bagi orang Islam dan orang bukan Islam yg lain.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.