05 May 2009

UJUB - HAIRAN DIRI


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

UJUB ialah perasaan hairan yang lahir dari dalam diri kerana menyangka diri sendiri telah beramal dengan sungguh-sungguh dan telah diampunkan serta bebas dari segala dosa yang menyebabkan tuan punya diri rasa mulia berbanding orang lain.

Penyakit hati ini tidak dapat dikesan menggunakan alat x-ray atau scanner wabak penyakit berjangkit. Ia hanya dapat diketahui melalui teguran dari Tuhan melalui mulut guru Mursyid, orang soleh atau setelah mempelajari ilmu tasawwuf. Pun begitu masih ramai ulama', orang alim, ustaz-ustaz, ahli ilmu, profesor, penceramah agama terperangkap dalam tipu daya "ujub" ini.

Kebiasaan manusia akan berusaha menjauhi dosa zahir (maksiat mata, mulut, teinga, kaki, tangan dll) lalu menganggap dirinya telah bersih dari dosa lalu dan yakin akan selamat dari dosa pada masa akan datang seterusnya rajin beribadah walaupun menyedari sebenarnya mereka masih belum dekat dengan Allah Ta'ala.  

Satu kisah dimana seorang 'abid (ahli ibadah) bani israel sedang sujud, tiba-tiba datang seseorang lalu memijak kepalanya. Lantas si 'abid naik angin lalu berkata "Semoga Tuhan tidak akan mengampuni dosa kamu selama-lamanya". Tiba-tiba dia terdengar suara dari langit mengatakan "Sebenarnya engkaulah yg tidak akan diampuni Tuhan kerana rasa mulia dalam dirimu dan menyangka diri hebat".

Sebenarnya Tuhan Maha mengetahui penyakit hati yg ada dalam hati kita. Kadang-kadang, Tuhan sengaja menguji kita agar kita sedar penyakit hati itu dan segera membersihkannya. Atau mungkin Tuhan biarkan kita tidak sedar akan kehadiran penyakit hati itu agar ia menjadi sebab bagiNya mengazab kita diakhirat kelak. Nauzubillah.

Ya Allah, dengan Kebesaran dan keagunganMu, dengan berkat Rasulullah s.a.w. dan berkat ahli zaman, bersihkanlah hati hambaMu ini dari segala penyakit hati.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment