15 May 2009

SIFAT ILMU


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Ilmu bermaksud pengetahuan tentang sesuatu dengan benar dan tepat dan bukanlah maklumat yang masih diragui kebenarannya.

Allah Ta'ala wajib bersifat ilmu iaitu tahu dengan tepat tentang keadaan zatNya dan segala sesuatu selain dariNya. Sesuatu selainNya dinamakan "alam".  Maksudnya, Tuhan Maha Mengetahui segala-gala yg berlaku di alam ini samada perkara ini besar atau kecil, mudah atau sukar, makro atau minor, banyak atau sedikit, gelap atau terang, jauh atau dekat, terdedah atau tersorok dll.

Tuhan maha Mengetahui jika ada seekor anak semut yang berada di atas batu hitam dimalam yang gelap tanpa bulan. Tuhan juga Maha Mengetahui apa yg zahir diucapkan oleh hambaNya dan apa sahaja yg terdetik di dalam hati mereka. Segala-galanya tidak terlepas dari pengetahuan Allah Ta'ala kerana Dia lah yang menjadikan setiap sesuatu (hatta sebiji atom) dan Dia lah yang berkuasa menggerakkan setiap sesuatu yang muafakat dengan kehendakNya.

Kita sebagai hamba yang jahil, hina, buta, pekak lagi banyak dosa wajib sentiasa bertaubat atas apa yg kita cakap dan terdetik dalam mulut dan hati yang tidak bersesuaian dengan kehendak dan keredhaanNya. Hati kena jujur dan lurus. Jangan kita jadi munafik. Cakap tak serupa bikin. Zahir mukmin tetapi jiwa kafir dan munafik. Solat belakang Rasululullah s.a.w. tetapi berkawan dengan orang fasiq dan kafir. Semua rahsia dalam hati kita Tuhan tahu. Dan Dia berhak memberitahunya kepada kekasihnya (Wali Allah). Oleh kerana itulah dikatakan bahawa Wali Allah telah dapat percikan kecil dari lautan ilmu Allah Ta'ala. Ilmu Laduni.

Ilmu Pengetahuan Tuhan amat luas dan Tuhan Maha Bijaksana menyusun setiap sesuatu yg berlaku. BijaksanaNya menyusun alam yg terdiri dari bumi, langit dan bintang yg tidak berlanggaran antara satu sama yg lain. BijaksanaNya membahagikan tugas dan peranan binatang jinak-buas, udara panas-sejuk, tekanan tinggi-rendah, manusia pemimpin-rakyat sehingga susunanNya dikagumi oleh setiap makhluk baik mukmin atau kafir.

Oleh itu kita perlu akui kebodohan diri kita hendak mencaturkan alam, menyusun semuladan mengubah susunan Tuhan. Seringkali kita rasa bijak dan cerdik walaupun sebenarnya ilmu itu segala-galanya datang dari Tuhan. kita hanyalah dianugerahkan sepercik ilmu dari lautan ilmu Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kita juga perlu akui kebodohan kita hendak melaksanakan perintah Allah dalam keadaan yang bersesuaian dengan keredhaanNya. Selalulah mengakui kebodohan diri. Semoga satu masa nanti Tuhan akan anugerahkan kita mata hati dan ilmu laduni (ilmu yg diperolehi tanpa belajar) untuk membezakan antara yg betul dan yg salah. Sebagaimana Tuhan anugerahkan kepada Nabi Khidir a.s. semasa mendidik Nabi Musa a.s. Jangan cuba menipu Tuhan dengan menipu Wali Allah. Kita takkan berjaya menipu mereka. Nauzubillah.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment