Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.
Hayat ertinya hidup. Allah Ta'ala wajib bersifat hayat iaitu hidup. Hidup yang berbeza dengan hidupnya makhluk. Hidup yang tidak didahului mati dan tidak juga diakhiri mati. Hidup tanpa nyawa, tanpa bernafas, tanpa makan, minum, tempat tinggal, pakaian. Hidup yang tidak terikat dengan kehidupan yang lain. Hidup yang tidak perlukan tubuh-jasad-kulit seperti manusia. Hidup yang tidak perlukan tempat untuk berpijak, masa untuk tua, arah untuk dihadap.
Hidup makhluk perlukan makan, minum untuk dapat sedikit tenaga, lalu berupaya bangun bekerja. Hidup jenis ini tidaklah sempurna kerana ia akan lemah tanpa makan, minum. Sedangkan Tuhan wajib bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi Tuhan.
Sempurnanya hidup manusia bila hidup mereka ada nyawa, jasad dan anggota yang dapat dipuji jika cantik, dapat dipukul jika jahat, dapat di hukum penjara jika buat jenayah. Sedangkan kesempurnaan ini adalah kekurangan disisi Tuhan kerana Tuhan tidak hidup dalam batasan dan peraturan makhluk. Jika Tuhan dapat di ikat lalu disalib itu tandanya tuhan itu lemah dan tidak berkuasa penuh. Ini mustahil bagi Tuhan.
Kehidupan manusia perlukan pakaian dan tempat tinggal untuk berlindung dari panas-sejuk, binatang buas, serangan musuh dan ribut banjir bencana. Kelemahan ini memang wujud pada makhluk kerana makhluk bersifat lemah dan memerlukan bantuan dan tempat berlindung. Kelemahan seperti ini tidak wujud pada Tuhan.
Walaubagaimanapun, Tuhan ada rumah di dunia iaitu masjid, ka'abah (baitullah). Tetapi ia bukanlah untuk berlindung. Sebaliknya untuk dikunjungi oleh mereka yang beriman untuk menunjukkan amalan taat kepadaNya. Tuhan juga ada arasy (istana) di langit. Tetapi ia adalah lambang keagungan Tuhan yang Maha Berkuasa. Tuhan juga ada kursi (singgahsana) di dalam arasy tetapi ia sebagai lambang kebesaran, kekuasaan, kemuliaan, kehebatan Allah Ta'ala.
Tuhan hidup tanpa nyawa. Kerana nyawa itu sendiri adalah makhluk Tuhan. Tuhan Maha Kaya dalam mencipta nyawa untuk seluruh makhlukNya. Tidak perlulah Tuhan recycle nyawa manusia untuk dijadikan nyawa binatang seperti yang ada dalam fahaman reincarnation atau hukum karma.
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.
No comments:
Post a Comment