25 August 2009

TAFSIR AL-QURAN


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Izinkan saya menjelaskan sedikit penerangan tentang Kalamullah.

Allah Ta'ala Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui telah berkata-kata kepada malaikat Jibril a.s. tanpa lafaz, tanpa suara dan tanpa jihhat (arah menghadap). Lalu difahami oleh Jibril erti segala kandungan Al-Quran (dengan izin Allah Ta'ala) dan diperintah oleh Allah Ta'ala untuk mengambil lafaznya dari Luh Mahfuz menerusi Malaikat Israfil a.s.. Setiap huruf di dalam Al-Quran di Luh Mahfuz sebesar Jabal Qaf. Dibawah setiap huruf itu terdapat beberapa pengertian diluar kemampuan makhluk mengetahuinya kecuali Allah Ta'ala sahaja. Lafaz Al-Quran tersebutlah yg turun kepada Rasulullah s.a.w.. Malaikat Jibril a.s. mengambilnya dari Luh Mahfuz dan direncanakan kepada malaikat Safarah perkataan demi perkataan agar boleh ditulis. Malaikat Safarah berada di Baitul Izzah (langit dunia). Penurunan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah adalah secara sekaligus.

Apabila Allah Ta'ala mahu menurunkan sesuatu daripada Al-Quran kepada Rasulullah s.a.w., Dia akan berfirman tanpa huruf, tanpa suara dan baginda akan faham KalamNya yang diturunkan mengikut kadar tertentu dan secara beransur-ansur hingga sempurna selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).

Demikianlah yang tercatit dalam Kitab Aqidatun najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad al-Fathani.

Ramai orang keliru tentang konsep Al-Quran sebagai sebahagian dari Kalamullah. Kalamullah beerti kata-kata (firman) Allah Ta'ala. Allah Ta'ala telah berkata-kata dan kata-kataNya telah dicatatkan di dalam kitab Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Ini dikategorikan sebagai kalam lafzi kerana ia dicatat, ada huruf, boleh dibaca oleh manusia.

Adapun kata-kata Allah Ta'ala yang didengar oleh Jibril a.s. di alam atas merupakan kalam Nafsi yang tiada huruf, tiada, lafaz, tiada bunyi dan tidak perlu menghadap mana-mana arah yang tidak terpisah dari zatNya.

Contoh mudah kalam lafzi; zaid bercakap lalu didengar oleh Ali. Ali menulis kata-kata Zaid didalam bukunya. Manakala kalam nafsi; kata-kata zaid yg hanya didengar & difahami oleh Ali yg mempunyai bunyi.

Kalam Nafsi inilah yang disifatkan Qadim oleh Imam Ahmad bin Hambal. Manakala ulama' Muktazilah menyangka Kalamullah hanya terhad kepada lafaz-lafaz yg dapat ditulis didalam mushaf Al-Quran (mushaf: kitab/buku). Jika diperincikan maksud memanglah mushaf Al-Quran adalah hadith (sesuatu yang baharu), yang baru dicetak ada dijual di kedai dan yang lama/ lusuh/ usang ada disimpan dirumah.

------tamat bahagian 1--------------------

Zaman Rasulullah s.a.w. para sahabat sangat berhati-hati dalam memahami makna Al-Quran. Mereka memahami Al-Quran menggunakan mata hati (kasyaf). Oleh kerana itu mereka jarang bertanyakan maksud ayat-ayat Al-Quran kecuali ayat-ayat yang penting yang perlukan penjelasan lanjut dari utusan Allah. Ini kerana bagi mereka setiap ayat Al-Quran hanya difahami dengan tepat maksudnya oleh utusan Allah iaitu Rasulullah s.a.w. yang rapat hubungannya dengan Allah.

Zaman silih berganti, kewafatan Rasullullah s.a.w. membuatkan para sahabat hilang sumber penjelasan. Lalu sesetengah mereka menjadikan Ibnu Abbas dan Kibar Sahabat (sahabat besar) sebagai rujukan. Penjelasan yang sedikit dan terhad dari mereka ini diriwayatkan dan dikumpulkan didalam Tafsir Thobari.

Zaman silih berganti, ulama semakin ramai. Kefahaman mereka terhadap isikandung Al-Quran juga berbeza (khilaf). lalu disinlah letaknya peranan Wali Allah yang diberi ilmu kasyaf (terbuka hijab) untuk memahami Al-Quran mengikut kefahaman yang difahami oleh Rasulullah s.a.w. bersesuaian dengan keredhaan Allah Ta'ala. Maka anda akan lihat ayat-Al-Quran yang ditafsir oleh mereka yang kenal Allah adalah berbeza dengan orang yang mentafsirkan Al-Quran menggunakan logik-akal masing-masing yang terbatas. Anda akan jumpa permasalahan ini dalam perbahasan tentang ayat muhmakat dan ayat mutasyabihat.

Jika anda salah dalam mentafsirkan titah sultan, tentu anda akan dipenjarakan walaupun anda tersalah memahaminya kerana terikut-ikut dengan tafsiran masyarakat awam.

Oleh itu, ulama' sangat berhati-hati dan beradab dalam hal ini. Istighfar banyak-banyak jika anda ingin mengeluarkan satu tafsiran ayat al-Quran. Ana tak guna tafsir pimpinan Ar-Rahman kerana ia dikritik banyak oleh ulama' sufi dan zahiri kerana diuduh mengaburi ayat yang berkaitan dengan hukum hudud. Dari segi "siqah" dan "dhabit" penulisnya juga dipertikai.

Berhubung isu ayat 35 dalam Surah Al-Maidah, ana syorkan agar tuan-tuan melihat tafsiran yang diberikan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam Al-Ghazali, Syeikh Ibnu Athoillah As-Sakandari, Muhammad Amin Al-Kurdi dan lain-lain ulama' sufi yang masih hidup dan telah terbuka hijab serta dikurniakan Allah ilmu Laduni (ilmu terus dari Allah Ta'ala). Dan kerana mereka ini mendengar kalam Allah yang terkini. Bukankah Allah itu bersifat Kalam dan Kaunuhu Mutakalliman. Kalam= mampu berkata-kata. Kaunuhu Mutakalliman= keadaan Allah Ta'ala yang berkata-kata.

Semoga Allah Ta'ala menunjukkan kita jalan yg benar dan diredhaiNya.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

1 comment:

  1. assalamualaikum....
    bahaya jugak akal yang tak berhati-hatikan kelak ia akan mempengaruhi kehendak hingga tersirna pada afaal

    ReplyDelete