07 November 2008

Ada apa di masjid?


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Antara adab mendekatkan diri kepada Allah ialah melazimkan solat berjemaah di masjid @ surau. Terlalu banyak ayat Quran dan hadith yang menyentuh tentang mengimarahkan masjid. Saya kerap berulangkali baca tulisan khat ayat Quran di sebuah masjid yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada Allah" hingga saya faham akan suruhan perenggan ayat ini. Takkanlah masjid nak diziarahi oleh orang munafik & kafir. 

Alasan yang paling kuat bagi saya solat berjemaah dan mengikuti program di masjid ialah di masjid ada "pengampunan" dan tempat turunnya rahmat (kasih sayang) Allah Ta'ala. Bagi saya yang sudah berusia ini, tidak ada apa yg lebih berharga dari keampunan dari Tuhan sekelian alam. Jika Nabi Adam a.s. bertaubat menangis 40 tahun kerana satu dosa, apatah saya yang lemah, hina, jahil lagi banyak dosa.

Ibadah saya banyak tertumpu kearah mendapat keampunan Tuhan. Jadi, apa sahaja amalan yang Rasulullah s.a.w. sarankan, saya cuba usaha utk laksanakan, tanpa peduli apa orang lain nak kata.

Bagaimana kita hendak mendekati Tuhan kalau rumah Allah pun kita tak kunjungi, tidak beri sumbangan, tidak pedulikan. Sedangkan Tuhan sebenarnya suruh kita kunjungi rumahNya untuk dapatkan belas kasihanNya. 

Saya sempat ziarah masjid Sultan Salehuddin al-Ayyubi di Mesir. Istana dan kuburnya disebelah masjid. Begitulah cintanya baginda terhadap masjid. Rumah ustaz saya di Terengganu pula bersambung dengan surau. Indahnya menjadi jiran Allah Ta'ala.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment