06 November 2008

PERMULAAN PERJALANAN KESUFIAN



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Mulakan perjalanan kesufian anda dengan 
1. Melihat keburukan diri & menghina diri dihadapan Tuhan dan memperbaiki kelemahan itu
2. Mengosongkan hati dari dunia, memasukkan rasa kehebatan Tuhan kedalamnya.

Apabila anda sibuk lihat keburukan diri sendiri, anda akan sibuk membetulkannya. Mafhum firman Allah Ta'ala "Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka". 

Tetapi jika anda sibuk membetulkan orang lain, anda akan lalai dari menemui kelemahan diri dan alpa dari membetulkannya. Jika di hospital, tentu pesakit tidak ada masa merawat penyakit orang lain kerana dia sedar, penyakit yang dialaminya lebih utama dirawat agar segera sembuh.

Penyakit hati kita perlu rawatan segera dari tenaga pakar iaitu guru mursyid yang berpengalaman.

Bila anda mula menghina diri, anda akan buang segala kemegahan dan sedia terima teguran dari sesiapa bahkan dari seekor anjing yang menyalak. Ketika itu, sedarlah diri bahawa anjing menyalak disebabkan diri kita yang penuh najis maknawi. Bukannya memarahi anjing tersebut.

Hati perlu dikosongkan umpama bekas yang tidak ada air didalamnya. Dengan itu anda akan redha dengan setiap taqdir yang telah Tuhan susun utk diri anda. Anda akan lihat Tuhan telah menyusun sesuatu untuk mendidik anda mengenal DiriNya, perbuatanNya dan sifat-sifatNya. 

Sikap Cerewet akan membutakan hati melihat hikmah sesuatu peristiwa lalu membelakangkan Tuhan dalam setiap tindakan. Anda sebenarnya mengkritik perbuatan Tuhan dalam tidak sedar.

Saya biasa alami perkara ini sejak mula beramal dengan amalan tarekat. Tasbih saya akan hilang apabila saya lalai dari berselawat. Saya temui duit sebagai ujian ketulusan hati. Saya dapat berkenalan dengan kawan yang baik, membantu saya beribadah. Apabila barang saya hilang, sedarlah bahawa saya masih kurang bersedekah.

Semua pengalaman ini menguatkan lagi keyakinan saya terhadap perjalan kesufian yang membantu saya menjadi hamba dan mendekati Tuhan.
 
*Najis maknawi = sifat mazmumah (riyak, takabbur, penipu, hasad dll)
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment