02 January 2009

ASAL USUL TASAWUF


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Asal-usul Tasauf

Tasauf berasal daripada perkataan yang menunjukkan satu golongan Sufi.
Berbagai-bagai pendapat dan pandangan telah dikemukakan oleh alim ulama. Asal perkataan tasauf ada ulama yang berpendapat :

Oleh sebab orang-orang sufi mengutamakan kebersihan hati, maka perkataan tasauf diambil dari “Sofa” yang bermaksud bersih.
Oleh sebab orang-orang sufi menjadikan ahlu suffah sebagai ikutan mereka, maka ada yang berpendapat bahawa asal perkataan suffah berasal daripada ahlu suffah yang bermaksud penghuni Masjid Nabawi.
Oleh sebab orang-orang sufi suka memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu, maka ada yang berpendapat bahawa asal perkataan Suf ini bermaksud bulu biri-biri.
Beraneka pandangan dan pendapat yang dikemukakan alim ulama tentang asal-usul tasauf. Namun semuanya itu adalah perbezaan pendapat tentang asal-usul perkataan tasauf dan semua ini bukanlah pokok perbahasannya.

Tujuan atau matlamat tasauf
Tujuan utama tasauf adalah untuk membersihkan hati dan diri serta memperbaiki akhlak supaya sampai kepada maqam ihsan. Itulah pokok perbahasan tasauf yang sebenar.

Tidak ada alasan untuk menolak tasauf
Sebahagian manusia menolak sekeras-kerasnya perkataan tasauf itu digunakan. Alasan mereka ialah kerana perkataan itu tidak terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w dan pada zaman sahabat radiallahu anhum. Alasan itu sedikitpun tidak berasas kerana banyak lagi terdapat perkataan-perkataan yang lain yang diguna pakai secara meluas sebagai istilah-istilah dan ungkapan dalam syariat Islam, sedangkan kesemuanya tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallahuanhum.

Para sahabat nabi adalah suffiyyah
Para-para sahabat radiallahu anhum walaupun mereka tidak menamakan diri mereka orang-orang sufi hakikatnya perbuatan dan tingkah laku mereka adalah sufi kerana asas tasauf bukan terletak pada nama tetapi terletak pada kehidupan dan penghayatan seseorang yang dibuat kerana Allah dan untuk Allah. Mereka menghabiskan masa mereka dengan zuhud dan ubudiyyah, serta memberi tumpuan sepenuhnya setiap waktu dalam sehari dengan menumpukan ruh mereka kepada ALLAH S.W.T.

Pandangan Ulama tentang ahli tasauf
Telah berkata Ibnu Khaldun dalam kitab Muqaddimahnya:
“Ilmu tasauf ini, terkandung dalam ilmu syariat yang ada dalam agama. Asal-usul perjalanan orang-orang sufi telahpun wujud semenjak zaman sahabat, tabi’in dan salafussoleh. Jalan ini juga adalah satu jalan yang benar lagi mendapat petunjuk”.
Katanya lagi,
“Asal perjalanan mereka ,(ahli tasauf) iaitu memberi sepenuh tumpuan ibadah kepada ALLAH S.W.T dan berpaling daripada perhiasan dunia dan apa yang orang ramai cari yang terdiri daripada kelazatan, harta benda, pangkat dan mereka mengasingkan diri daripada manusia untuk beribadah kepada ALLAH S.W.T”.

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment