03 January 2009

ASAL USUL SUFISM


(gambar diatas : wali songo di Indonesia)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Orang yang pertama dinamakan Sufi
Ada tertulis di dalam kitab “Kashfuz Zunun” orang yang mula-mula dinamakan Sufi ialah Abu Hasyim As-Sufi yang telah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah.

Peranan sufiyyah dalam menyebarkan agama Islam

Peranan sufiyyah dalam syariat Islam
Orang-orang sufi bukanlah seperti yang disangkakan oleh pengkritik dan penentang mereka. Mereka bukan hanya tahu menumpukan sepenuh masa dengan ibadah kepada Allah ataupun mengasingkan diri mereka daripada manusia, bahkan orang-orang sufi bergiat cergas dalam keseluruhan aspek syariat Islam yang terdiri daripada ibadah I’tiqad (pegangan tauhid), ibadah dalam akhlak, ibadah dalam ibadat, ibadah dalam mua’malat, ibadah dalam munakahat (nikah kahwin), ibadah dalam mua’syarat (pergaulan) dan ibadah dalam jinayat (hukum qisas dan hudud). Mereka melaksanakan seluruh aspek syariat Islam ini dengan jaya.

Sumbangan Sufiyyah dalam menyebarkan agama Islam
Dalam catatan sejarah perkembangan Islam dan dakwah Islamiah di seluruh dunia , orang-orang sufi juga telah memberi sumbangan yang cukup besar dalam menyebar dan mengembangkan agama Allah. Sumbangan ini ada yang berbentuk karya penulisan yang boleh kita dapat lihat sehingga ke hari ini, iaitu contohnya Imam Al-Ghazali dengan hasil karyanya dan Sheikh Abdul Qoder Al-Jilani dengan hasil karyanya dan Imam Ibnu Arabi dengan karyanya. Ramai lagi penulis-penulis sufi yang terdiri daripada ulama-ulama besar yang ternama dan masyhur.

Kepelbagaian sumbangan Sufiyyah
Ada antara orang-orang sufi ini yang memberi sumbangan mereka dalam bentuk puisi contohnya seperti Al-Imam Jalaluddin Al-Rumi, Sa’di dan ramai lagi. Ada antara mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara seperti Sultan Murad dan anaknya Sultan Muhammad Al-Fateh dan ada antara mereka yang menjadi panglima di medan peperangan seperti Sheikh Omar Mukhtar dan Sheikh Abdul Qoder Al-Jazair. Pendek kata segala tuntutan fardhu kifayah telah dilaksanakan oleh orang-orang sufi. Dalam catatan sejarah juga ada disebutkan, iaitu tersebarnya agama Islam bermula daripada Empayar Turki hingga ke Balkan dan Benua Afrika, adalah hasil kerja keras orang-orang sufi.

Sumbangan Sufiyyah di Asia Tenggara
Di Nusantara, perkembangan dakwah Islamiah kita juga tidak kurang hebatnya. Perkembangan dakwah Islamiah ini dipelopori oleh orang-orang sufi yang bergiat cergas menyebarkan agama Islam seperti Wali Sembilan ataupun Wali Songo di Indonesia, Sheikh Abdul Malik, iaitu penterjemah kitab Al-Hikam yang juga terkenal dengan panggilan Tok Pulau Manis di Malaysia, Sheikh Habib Noh di Singapura dan ramai lagi tokoh-tokoh sufi yang bergiat cergas dalam mengembang dan menyebarkan agama Islam yang suci ini ke seluruh alam sejagat .

Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.