Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.
Fitrah bermaksud naluri beragama Tauhid kerana roh itu telah mengaku dan mengenal keesaan, keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.
Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah menciptakan manusia daripada roh dan jasad. Roh sebelum ditiupkan ke dalam jasad belum lagi dinamakan manusia. Ia masih lagi dinamakan roh. Begitu juga halnya dengan jasad. Asal kejadian roh ini adalah di dalam keadaan fitrah.
Firman Allah s.w.t :
“ Dialah fitrah yang Allah taala jadikan sesuai pada manusia,tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah,itulah agama Allah yang betul tetapi ramai manusia tidak mengetahui ”
(Ar-rum ayat 30)
“ Bukankah aku Tuhan kamu ?” jawab sekalian roh :“Bahkan kami telah menyaksikan engkaulah Tuhan kami ”. (Al-A’raf ayat 172)
Kemudian apabila roh ditiupkan ke alam jasad dan jasad menjadi penyatuan dengan roh maka bermulalah titik permulaan dinamakan manusia. Jasad mempunyai dua kegelapan :
1- Kegelapan asal kejadian tanah, air, api dan angin
2- Kegelapan asal kejadian air yang hina
Firman Allah s.w.t :
“ Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendesak supaya melakukan kejahatan”. (Yusof ayat 53)
Fitrah atau naluri beragama Tauhid yang ada pada roh itu berkekalan sehingga jasad manusia dilahirkan ke dunia ini. Kemudian apabila manusia dilahirkan ke dunia ini maka bermulalah nafsu menguasai roh. Sementara roh pula terpaksa mengikuti kehendak asal kejadian jasad. Maka pada ketika itu manusia memerlukan kepada wahyu sebagai panduan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Tanpa wahyu seseorang itu akan dicorak mengikut acuan orang yang melahirkannya. Sekiranya seseorang itu dilahirkan oleh ibu bapa yang A’si, Yahudi, Nasrani atau Wathani maka kanak - kanak itu akan menjadi A’si(pelaku maksiat), Yahudi,Nasrani dan Wathani (penyembah berhala . Sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :
“ Setiap seseorang itu dilahirkan ia di dalam keadaan fitrah ( naluri beragama Tauhid) maka kedua ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani ”
Disebabkan adanya nafsu ini Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul dan disebabkan adanya nafsu ini Allah s.w.t membangkitkan juga para Auliya’ullah sehingga hari Kiamat. Tujuannya ialah untuk membimbing manusia supaya kembali kepada asal kejadian roh dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Wahyu terbahagi kepada dua bahagian :
1. Yang ditilawahkan atau dibaca : iaitu kalamullah yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril a.s. Wahyu ini dinamakan Al-Quranul Karim.
2. Yang tidak ditilawahkan atau tidak dibaca : iaitu perkataan, percakapan Nabi Muhammad s.a.w perbuatannya dan pengakuannya yang diambil oleh alim ulama’ daripada sahabat-sahabat Baginda. Kemudian mereka menyusunnya di dalam kitab - kitab yang dikenali dengan Al-hadis.
Maksudnya : Daripada Anas bin Malik yang meriwayatkannya secara mursal telah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua - duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.
Sumber wahyu daripada Al-Quran dan Al-Hadis juga dipanggil syariat . Ia diselidiki, dikaji dan disusun oleh para ulama dalam bentuk hukum - hakam dan sebagainya dan dinamakan dengan kitab tauhid, feqah dan tasauwwuf untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada manusia untuk kembali kepada tuntutan fitrah atau naluri beragama tauhid. Oleh itu ulama -ulama Muhaqqiqin telah mengariskan empat panduan yang mesti ditempuh oleh manusia untuk memenuhi fitrah dan mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya iaitu :
i. Syariat
ii. Toriqat
iii. Hakikat
iv. Makrifat
No comments:
Post a Comment