Tawassul ialah perantaraan. Dalam istilah tasawwuf, tawassul bermaksud perantaraan untuk membimbing mendekati Tuhan.
Dalam sistem dunia, jika kita hendak berjumpa dengan sultan, perlulah kita berjumpa dengan ketua adat istiadat terlebih dahulu agar kita tidak tersalah adab dengan sultan. Kalau tersalah adab, sultan murka, padah hukumannya. Kita perlu bimbingan dari ketua istiadat agar dia membimbing kita cara menghadap sultan dengan betul, cara bercakap dengan sultan, cara duduk, cara berdiri, cara makan, cara ketawa, cara meminta izin mengundur diri dan macam-macam lagi adab yg perlu dipatuhi.
Di dalam mengharungi perjalanan menuju kepada Allah s.w.t , seseorang itu memerlukan seorang yang Arifbillah untuk membimbingnya supaya dapat membersihkan diri daripada segala kekeruhan dan kekotoran hati sehingga dia sampai mengenal Allah s.wt.
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-maidah ayat 35 :
“ Wahai orang-orang yang beriman takutlah kepada Allah dan carilah wasilah kepadanya ” Di dalam ayat tersebut Allah taala menyatakan dengan wasilah yang bermaksud rabitoh atau perantara. Kata Al-Imam Ibnu Kathir r.a :
“ Wasilah ialah sesuatu yang dapat menyampaikan dengannya untuk menghasilkan maksud”
Kata Imam Sayuti didalam Tafsir Al-Jalalain :
“ Setiap sesuatu yang mendekatkan seseorang kepada Allah taala yang terdiri daripada ketaatan kepadanya ”.
Bagi golongan sufi, wasilah bermaksud seorang Arifbillah yang mampu mentarbiah dan membimbing manusia untuk menggilapkan jiwa daripada nafsu-nafsu yang tercela sehingga ia dapat mengenal Allah taala dengan sebenar – benarnya. Mereka juga dikenali dengan Syeikh, Mursyid atau Murabbi. Tanpa bimbingan daripada mereka manusia akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Kata Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi di dalam kitab Tanwirul Qulub : “Sesiapa yang tiada guru yang membimbingnya maka syaitanlah yang menjadi gurunya.”
HUKUM BERWASILAH
Berwasilah kepada seorang Syeikh yang bersambung sanadnya sampai kepada Rasulullah s.a.w adalah wajib bagi mereka yang mahu mengharungi perjalanan mengenal Allah dengan sebenar - benarnya. Kata Syeikh Tajuddin Naqshabandi di dalam Risalah Al-Makiah : Ruj : Sairus salikin Jilid 3, Abdul Samad Palembang :
“ Mencari guru di dalam perjalanan ahli sufi adalah wajib ke atas setiap murid yang salik dan jikalau adalah ia daripada sebesar - besar ulama sekalipun ”.
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.
No comments:
Post a Comment