Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.
Dalam ilmu Hadith kita membandingkan periwayat hadith yang kita sebut sebagai ahli sanad. (Sanad ialah sandaran ilmu yang diterima dari seseorang). Melalui nama ahli sanad kita dapat tahu tentang martabat hadith tersebut samada diterima atau ditolak. Jika hadith tersebut diterima dari seorang periwayat yang suka menipu, tentulah hadith tersebut ditolak, tidak boleh diamal bahkan haram meriwayatkannya kepada orang lain (haram menceritakan kandungan hadith tersebut kerana ditakuti ia bukan dari Rasulullah s.a.w. / rekaan orang biasa).
Dalam ilmu tajwid ada sanad bacaan Al-Qur'an. Syeikh dan para qari Al-Quran menerima bacaan dari salah seorang ahli sanad qiraat 7 (qiraat saba'ah) hinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. dan Jibril a.s. Bacaan yang ada sanad menunjukkan bacaan itu betul dan tepat sepertimana yang didengar dan diterima dari Rasulullah s.a.w. melalui para sahabat baginda.
Begitulah juga sanad tarekat. Sanad tarekat menunjukkan bimbingan dan didikan agama, penghayatan agama dan rahsia-rahsia kerohanian yang diterima adalah benar berpunca dari Rasulullah s.a.w. Ahli sanad yg juga merupakan syeikh tarekat / guru mursyid yang pada awalnya menerima bimbingan yang betul dari gurunya terdahulu dan beramal dengannya sehingga berjaya membersihkan diri, menghayati Islam dan mengenal Tuhan sama seperti yang difahami oleh Rasulullah s.a.w.
Kadangkala ada manusia yang cetek akalnya mahu memimpin tarekat. Dengan bermodalkan suara yang merdu, lidah yg petah berkata-kata terus mengumpulkan manusia dan mengangkat dirinya menjadi guru mursyid tanpa melalui proses mujahadah, asuhan, bimbingan dan latihan kerohanian. Dari sebab itulah kecelaruan menimpa nama baik tarekat.
Kelayakan seseorang mursyid sebenarnya datang dari Tuhan. Tuhan yang lantik seseorang dan Tuhan jugalah yang memeliharanya dari diperbudakkan oleh budak-budaj dunia. Hanya mereka yang Tuhan lantik sahaja akan kekal menjalankan tugas berdakwah menyeru dan membimbing manusia mendekati Tuhan.
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.
No comments:
Post a Comment